P

August 11, 2011

TILAWAH AL QURAN

MENCERAHKAN HATI BERKARAT

DALAM satu hadithnya Rasulullah s.a.w. menyatakan bahawa hati manusia ini mudah berkarat. Ia bagaikan besi yang direndam dalam air. Para sahabat yang mendengar sabda Baginda itu lantas bertanya.

‘Kalau begitu apakah ubatnya supaya ia kembali bersinar?


Maka dijawab oleh Baginda s.a.w., ‘Ubatnya ialah perbanyakkan mengingat mati dan tilawah Al Quran.’

Hadith riwayat Baihaqi.

Dari hadith ini jelas bahawa membaca Al Quran itu mencerahkan semula hati-hati yang berkarat. Oleh yang demikian hendaklah kita membaca Al Quran sepanjang masa supaya hati itu tetap terlindung dari karatnya.

Antara unsur yang menjadi karat yang ada dalam hati itu ialah perasaan gelisah, bimbang, ragu, syak, dengki, khianat dan buruk sangka. Maka perbanyakkanlah membaca Al Quran supaya ia kembali bercaya seperti asalnya.

Tidakkah Allah telah memberikan jaminannya bahawa dengan membaca Al Quran itu tenang tenteramlah jiwa.

(Surah Ar Ra’ad 28)

Hendaklah sentiasa diingat bahawa tiada perhimpunan jamaah yang membawa ketenangan melainkan perhimpunan kerana membaca kitab Allah dan mentedarusnya.

Abu Hurairah r.a. menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda,

‘Tidak adalah suatu kaum berhimpun di dalam rumah Allah membaca kitab Allah dan mentadarusnya bersama-sama, melainkan diturunkan kepada mereka sakinah, mereka diliputi rahmat dan dikelilingi oleh para malaikat dan Allah menyebut-nyebut mereka di kalangan makhluk yang lain.

(Hadith riwayat Muslim – Riadus Salihin)

Sakinah adalah suatu bentuk anugerah Allah kepada hambanya iaitu ketenangan dan tamakninah dalam kehidupan seharian.

Mafhum dari ayat ini ialah bahawa tiada sumber ketenangan hakiki yang akan diperolehi manusia, melainkan dari usahanya membaca Al Quran.

Dengan membaca Al Quran secara berjamaah itu pula akan memberi rahmat kepada mereka dalam kumpulan tersebut. Mafhumnya, tidak ada perhimpunan yang dirahmati Allah selain dari perhimpunan membaca ayat-ayatNya.

Selain dari itu hendaklah diingat juga bahawa orang-orang yang sentiasa membaca Al Quran, selamanya dikelilingi dan dilindungi oleh para malaikat. Alangkah amannya kehidupan seseorang apabila ia sentiasa dikelilingi oleh malaikat.