P

August 27, 2011

MEREMPAT DI AKHIRAT


Di dunia, merempat tidak menjadi satu perkara hina. Berbagai agensi ditubuhkan bagi membantu orang merempat. Rumah orang tua, rumah anak yatim dan pelbagai lagi rumah kebajikan untuk membantu orang susah.

Orang yang minta sedekah atau berkelana akan ditangkap dan diletakkan di rumah kebajikan. Diberi makan dan penjagaan kesihatan. Goyang kaki mereka, tanpa perlu bekerja mencari nafkah.

Tetapi merempat di akhirat lain keadaannya.

SUATU ketika pernah Rasulullah s.a.w. bertanya kepada para sahabat siapakah orang muflis.

Abu Hurairah r.a. menceritakan bahawa para sahabat r.a. menjawab, ‘Orang muflis di kalangan kami adalah orang yang tidak ada dirham dan tidak ada harta, ya Rasulullah.’

Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda ‘Orang yang muflis di kalangan umatku ialah mereka yang datang di hari kiamat membawa pahala sembahyang, pahala puasa, pahala zakat. Tapi pada masa yang sama membawa juga kesalahan memaki hamun orang itu dan orang ini, menuduh orang itu. Dia juga memakan harta orang ini, menumpahkan darah orang ini, memukul orang ini. Maka diambil pahala kebajikannnya dan diberikan kepada orang itu dan orang ini, hingga habislah pahalanya itu. Sedangkan dosanya kepada orang masih ada lagi. Maka diambil dosa orang yang dianiayai itu dilunggukkan keatasnya, lalu dia diseret ke dalam neraka.

Hadith riwayat Muslim dan Tarmizi.

Rasulullah s.a.w. menggambarkan keadaan sebenar orang yang nampaknya di dunia ini penuh dengan pahala berbagai jenis ibadatnya. Tetapi pada masa yang sama dia melakukan juga beberapa kesalahan terhadap makhluk manusia. Pahala yang banyak dari amal ibadatnya tidak mencukupi untuk menebus dosanya kepada orang lain. Maka jatuh bengkeraplah dia hingga disifatkan Baginda sebagai ‘Muflis’.

Hendaklah kita beringat, walaupun kita ada banyak amalan kebajikan, selain dari amalan fardhu, namun kerana kita tidak menjaga tingkah laku sendiri, maka kita jadi merempat kehabisan pahala untuk membayar hutang kepada orang yang dianiaya.