P

August 28, 2011

MELAMPAU DIHARI RAYA


MENGENAI puasa Rasulullah s.a.w. menyatakan,

‘Siapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan mengharapkan rahmat Allah, nescaya diampunkan dosanya yang telah lalu.

Riwayat Bukhari dan Muslim.

Dari hadith ini nyata balasan puasa itu sangat tinggi. Dikirakan langsailah hutang dosa yang lama. Bebas dari dosa seolah-olah baru dilahirkan dari perut ibu.

Oleh yang demikian hari raya adalah hari merayakan kembalinya kita kepada fitrah. Hari kemenangan atas kejayaan melawan nafsu hingga terhapusnya dosa. Alangkah besarnya makna kemenangan itu.

Islam mantapkan kemenangan itu dengan galakan bersyukur ke hadhrat Allah melalui kalimah suci takbir dan tahmid.

Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar

La ilaha illallah huallahu akbar

Allahu akbar wa lillahil hamd.

Kebiasaan mendatangi masjid di pagi Syawal untuk solat Aidilfitri adalah perbuatan mulia. Namun setiap individu hendaklah berhati-hati.

Kesucian Syawal dalam merayakan kemenangan ini kerap tercemar akibat perbuatan melampauMelampau dalam memilih pakaian: menampakkan aurat dsb:

Memakai bau-bauan hingga menimbulkan fitnah dan berahi

Pergaulan yang bebas dan merangsang nafsu.

Kaum wanita bersolek melebihi takat yang dibenarkan syarak.

Melampau dalam hal makanan hingga tahap membazir Melampau dalam majlis keraian hingga terluput waktu-waktu solat

Kesemua perbuatan dan tingkah laku yang merugikan ini boleh menjejaskan kemenangan dan kejayaan puasa Ramadhan.

Jika benar puasa kita telah menghapus dosa yang lalu, mengapa diulang pula pada pagi syawal?

Tujuan berpuasa adalah untuk bertaqwa (Surah al Baqarah 183).

Sempena kedatangan Aidil Fitri ini, lakukan muhasabah terhadap diri sendiri. Adakah maksud taqwa itu sudah tercapai. Kalau hendak diukur mengikut geraf, adakah geraf taqwa kita itu sudah meningkat atau ia makin merudum?

Dari segi amalan, muhasabah boleh dilakukan dengan merenung sendiri adakah amal ibadah bertambah atau semakin berkurangan?

Aidilfitri bermakna kembali kepada fitrah semula jadi. Bersih dari dosa dan kesalahan.

Apakah kita dapat mempertahankannya sebelas bulan ke hadapan sebelum berjumpa semula dengan Ramadhan berikutnya?