P

April 12, 2010

PERIBADI UNGGUL



KASIH ALLAH PADA YANG ZUHUD

Dari Abu Abbas, Sahl bin Saad As-Sa'idi r.a, katanya :

"Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW dan bertanya :

'Ya Rasulullah, tunjukkan aku suatu amalan, sekiranya aku buat, nescaya aku dicintai oleh Allah dan orang ramai. '

Maka dijawab oleh Rasulullah:

' Hendaklah engkau zuhud di dunia, nescaya engkau dicintai oleh Allah dan engkau zuhud pada apa yang ada di sisi manusia, maka nescaya engkau dicintai oleh orang ramai. '

Riwayat Ibnu Majah.

Nota:

PENGERTIAN ZUHUD:

ASAL maknanya, berpaling. Atau tidak menghendaki sesuatu.

Pada istilah syara’: mengambil sesuatu itu sekadar yang perlu dengan keyakinan halalnya.

Sedangkan makna WARA’ ialah tidak mengambil atau tidak mengguna sesuatu yang syubahat kerana takut jatuh kepada yang haram.

Kata Imam Ghazali:

Bukanlah orang yang zuhud itu orang yang tiada berharta. Tetapi orang yang zuhud itu ialah orang yang tiada dibimbangkan oleh hartanya – sekalipun harta seluruh alam ini kepunyaannya belaka. (Mustafa Abdurrahman, 40 Hadith 345).

Kata Saidina Ali,

Kalau seorang lelaki mengambil segala yang ada dipermukaan bumi dengan maksud semata-mata kerana Allah maka bukan ia dari orang yang gemarkan dunia. (ibid)

Imam Ahmad pernah ditanya tentang orang yang berharta. Adakah orang itu dikira orang zuhud.

Katanya,

‘Jika dia tidak gembira dengan bertambahnya hartanya dan tiada berdukacita dengan kurangnya harta, maka dia orang yang zuhud.

Dalam hadith ini Baginda Rasulullah menyuruh manusia zuhud pada dunia supaya dia dikasihi Allah.

Zuhud yang dimaksudkan itu bukanlah membenci dunia. Allah menciptakan dunia adalah untuk manusia.

FirmanNya dalam suratul Baqarah ayat 29:

Dialah (Allah) Yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian ia menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan ia Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

FirmanNya lagi,

"Harta kekayaan dikurniakan Allah, gunakanlah untuk hari akhirat. Tetapi jangan melupakan bahagianmu di dunia; dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan dibumi; Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan". Al qasas 77.

Maksud zuhud dengan apa yang ada di sisi manusia, ialah tidak mahu atau tidak meminta dari manusia. Tidak memerlukannya, malah tidak berusaha merebut dan mendapatkan apa yang ada di tangan manusia. Dengann itu dia dikasihi manusia.

Jika ada keinginan untuk memiliki apa yang ada di tangan manusia, maka ia akan berusaha dengan apa cara sekalipun hingga melanggar hukum syara’.

Rasuah, menipu, merompak dan menyamun.

Maka dia tidak lagi bersifat zuhud. Dia dibenci manusia.

Kemuliaan peribadi seseorang adalah bergantung kepada keyakinannya kepada kurniaan Allah terhadap hambanya. Dia tidak mengharap dari ihsan manusia lain.

KESIMPULAN

1. Hadith ini menunjukkan tingginya sifat zuhud pada diri manusia sehingga berupaya menjadikan seseorang itu dikasihi Allah dan juga manusia.

2. Dengan sifat zuhud juga menusia dapat terpelihara dari segala perkara yang merosakkan iman dan akhlaknya.

3. Dengan sifat zuhud juga seseorang dapat melakukan amal salih dengan aman, kerana tiada apa yang dibimbanginya atau yang ditakutinya.