P

August 31, 2009

SYAITAN TERBELENGGU



PINTU SYURGA TERBUKA

Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda,

‘Apabila masuk bulan Ramadhan maka terbukalah pintu-pintu rahmat dan tertutuplah pintu-pintu neraka, serta terbelenggu syaitan-syaitan.

Hadith riwayat Muslim.

Dalam hadith yang lain dari Abu Hurairah juga, Rasulullah s.a.w. bersabda,

‘Apabila datang bulan Ramadhan, terbukalah pintu-pintu syurga.’

Riwayat Bukhari.

Pada fahaman zahir, kedatangan Ramadhan membuka peluang bagi orang-orang beriman untuk beramal bersunggguh-sungguh hingga berjaya merebut peluang pahala berganda sepanjang bulan tersebut. Dengan yang demikian mudahlah mereka memasuki syurga. Dalam masa yang sama juga para syaitan terbelenggu kerana tidak berupaya menggoda orang-orang yang sungguh-sungguh berpuasa.

Peluang pahala berganda dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadithnya,

‘Barangsiapa yang mendampingkan dirinya kepada Allah dalam bulan Ramadhan dengan perkara kebajikan, samalah seperti ia mengerjakan satu amalan fardhu yng diwajibkan pada bulan-bulan lain. Baangsiapa yang menunaikan satu perkara yang diwajibkan sama seperti ia menunaikan tujuh puluh perkara wajib di bulan lain.

Riwayat Ibn Khuzaimah.

August 29, 2009

RAMADHAN PENUH KEMULIAAN



KEUTAMAAN BULAN RAMADHAN


Dari Salman r.a. katanya Rasulullah s.a.w. telah berucap kepada kami pada hari akhir bulan Syaaban, sabdanya,

“Wahai umat manusia, kamu sedang dinaungi bulan Ramadhan yang penuh kemuliaan lagi keberkatan. Bulan yang mengandungi satu malam lebih baik dari seribu malam (Lailatul Qadar). Bulan yang Allah jadikan puasa sebagai suatu fardhu dan disunatkan sembahyang tarawih pada malamnya.

“Barang siapa yang mendampingkan diri kepada Allah pada bulan Ramadhan dengan suatu kebajikan, samalah seperti dia mengerjakan satu perintah yang diwajibkan pada bulan-bulan yang lain. Dan barangsiapa yang menunaikan satu perkara yang diwajibkan pada bulan ini, samalah seperti dia menunaikan tujuh puluh perkara yang diwajibkan pada bulan lain.

“Ramadhan juga adalah bulan sabar, sedang kesabaran itu balasannya adalah syurga. Ia juga bulan untuk bersedekah. Bulan yang ditambahkan rezeki orang-orang mukmin.

“Barangsiapa yang menjamu orang berpuasa untuk berbuka puasa, maka diampunkan dosanya. Dan amalan itu menjadi penebus dirinya dari api neraka. Dan dia dapat pahala seperti pahala orang yang berpuasa yang dijamu itu dengan tidak mengurangkan pahala orang itu sedikt pun.

Para sahabat berkata,

“Ya Rasulullah, kami semua bukanlah orang yang ada sesuatu untuk menjamu orang berpuasa.”

Lalu Rasulullah bersabda,

“Allah memberikan pahala tersebut kepada sesiapa yang menjamu orang berpuasa untuk berbuka sama ada dengan sebiji tamar, atau segelas air sejuk atau dengan sedikit susu bercampur air.”

Sabdanya lagi, “Bulan Ramadhan adalah bulan yang di awalnya dilimpahi rahmat, di pertengahannya keampunan dan di akhirnya dipenuhi dengan pahala penebus diri dari api neraka.”

“Barangsiapa meringankan beban orang gajinya (pekerjanya) dalam bulan Ramadhan, akan diampunkan Allah dosanya dan dibebaskan dari api neraka. Banyakkanlah olehmu mengerjakan empat perkara.

“Dua perkara dilakukan untuk mendapat keredhaan Allah dan dua perkara lagi sangat-sangat kamu harapkan.

“Dua perkara untuk mendapat keredhaan Allah, ialah dengan mengucap syahadat (lailaha illal lah) dan mohon keampunanNya. Dua perkara yang sangat kamu perlukan, ialah memohon dimasukkan ke dalam syurga dan berlindung kepadaNya dari azab api neraka.

“Barangsiapa yang memberi minum seseorang yang berpuasa (ketika berbuka puasa), maka Allah akan memberi minum air dari kolamku (Telaga Al Kauthar). Dengan sekali minum sahaja dia tidak akan merasa haus lagi selama-lamanya hingga dia dimasukkan ke dalam syurga.

(Riwayat Ibn Khuzaimah dalam kitab sahihnya).

Dalam Hadith ini Rasulullah s.a.w. menjelaskan keistimewaan bulan Ramadhan berbanding bulan-bulan yang lain. Ia dianggap sebagai bulan yang agung, penuh keberkatan dan rahmat. Bulan yang diwajibkan berpuasa pada siang harinya dan mengerjakan amal-amal sunat pada sebelah malamnya.

Ganjaran pahala ibadat pula dilipatgandakan.

Rasulullah juga menerangkan bahawa bulan ini adalah bulan kesabaran, dengan erti kata orang-orang Islam dikehendaki lebih banyak bersabar dalam segala hal. Balasan bagi orang yang bersabar itu adalah syurga.

Bulan ini juga untuk umat Islam memperbanyak sedekah, derma dan bantuan kepada yang memerlukan. Selanjutnya Baginda menerangkan rezeki orang-orang mukmin juga semakin bertambah.

Menurut baginda, orang-orang yang bermurah hati memberi jamuan berbuka puasa kepada orang yang berpuasa, akan mendapat keampunan dari Allah terhadap dosa-dosanya.

Malah mereka yang memberi sebiji tamar, atau air sejuk atau susu kepada orang berpuasa untuk berbuka, juga mendapat pahala dari Allah.

Di permulaan bulan ini adalah rahmat, di pertangahannya keampunan dari Allah dan di akhirnya penebus dosa dari api neraka.

Baginda juga menyeru supaya umat Islam sentiasa memohon dimasukkan ke dalam syurga dan dijauhkan dari api neraka.


PENGAJARAN

# Puasa adalah rukun Islam yang diwajibkan kepada umat Islam seperti mana pernah diwajibkan ke atas umat terdahulu.

# Setiap umat Islam wajib menunaikan perintah tersebut dan juga menghidupkan malamnya seumpama sembahyang tarawih dan ibadat-ibadat sunat yang lain.

# Pahala ibadat di bulan Ramadhan dilipatgandakan oleh Allah s.w.t.

# Umat Islam hendaklah sentiasa sabar dalam segala hal terutama ketika melakukan ibadah puasa di bulan Ramadhan.

# Umat Islam digalakkan bersifat pemurah dengan banyak bersedekah dan menghulurkan bantuan di bulan Ramadhan.

August 27, 2009

SEJARAH PUASA

RASULULLAH PUASA 3 HARI DALAM SEBULAN

Ibadah puasa difardhukan dalam tahun kedua Hijrah Rasulullah s.a.w. ke Madinah.

Ibadah puasa telah juga diwajibkan ke atas umat terdahulu. Umat Nabi Daud diwajibkan berpuasa enam bulan dalam setahun. Puasanya adalah berselang hari. Sehari berpuasa sehari berbuka.

Ibn Jarir meriwayatkan bahawa Muaz bin Jabal berkata, Semasa Rasulullah s.a.w. memasuki Madinah selepas hijrah, baginda berpuasa pada hari Asyura 1o Muharram, tiga hari dalam sebulan. Kemudian ALLAH memfardukan PUASA Ramadhan melalui ayat 183 suratul Baqarah

TAKRIF PUASA

Puasa di sudut bahasa bermakna menahan diri dari sesuatu. Dari segi syarak puasa bermaksud, menahan diri daripada segala yang membatalkan puasa mulai dari masa terbit fajar hinggalah tenggelam matahari dan disertai dengan niat.

Perkara-perkara yang membatalkan puasa itu termasuklah makan, minum dan bersetubuh.

August 26, 2009

PERISAI UNTUK YANG BERPUASA

Banyak ruang untuk seseorang mencapai taraf taqwa di dalam bulan Ramadhan.

Muaz bin Jabal r.d. pernah ditanya oleh Rasulullah s.a.w.

‘Mahukan kamu aku tunjukkan pintu-pintu kebajikan hai Muaz.

Jawab Muaz, ‘Mahu ya Rasulullah.’

Maka sabda Rasulullah s.a.w.,
‘Puasa itu adalah perisai. Sedekah itu pula menghapuskan dosa-dosa, sebagaimana air memadamkan api.’
Hadith riwaya At Tarmizi.

Mafhum dari hadith tersebut, bahawa puasa itu berupaya menjadi perisaI kepada diri seseorang dari melakukan perkara mungkar. Yakni dengan berpuasa seseorang mampu menegah dirinya dari melakukan apa yang ditegah Allah s.w.t. Sekali gus dia berjaya menegakkan taqwa dalam dirinya.

Dalam kehidupan harian, perisai itu terdiri dari berbagai jenis. Perisai daripada kayu atau daripada besi.
Untuk lebih terjamin keselamatan, tentu orang memilih perisai dari besi. Supaya dirinya selamat dari ancaman musuh.

Kerana itulah para ahli tasawuf menggariskan tiga jenis puasa.
Puasa biasa, iaitu puasa orang yang hanya menahan diri dari makan minum. Menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa.


Sedangkan anggotanya tidak dipuasakan. Mulutnya tetap becok mengeluarkan kata-kata firnah, dusta, mengumpat dan seumpamanya. Begitu juga anggota-anggota yang lain.

Satu lagi jenis puasa ialah menahan dari perkara yang membatalkan puasa dan juga menahan anggota-anggota lahir dari melakukan dosa. Akan tetapi hatinya tidak dipuasakannya. Perut dan anggota-anggota lain, berpuasa. Hatinya penuh hasad, buruk sangka, inginkan dunia dan nafsu dan seumpamanya.

Ada satu jenis puasa yang sangat disukai oleh para ahli tasawuf, iaitu puasa dari makan dan minum, puasa anggota dan juga puasa hati. Pendeknya, perut puasa menahan lapar dahaga. Anggota teruitama mulut juga puasa. Lebih-lebih lagi hati dipuasakan.

Hati dipuasakan supaya tidak ada keinginan kepada perkara mungkar dan dosa. Hati dipuasa supaya ia bersih dari pra sangaka dan niat tidak elok kepada orang lain. Hati dipuasakan supaya ia ikhlas kepada Allah, dan puasanya adalah kerana ingin mencapai keridhaan Allah.

Itulah dia puasa kelas pertama. Mudah-mudahan ia dapat mencapai tujuan bertaqwa firman Allah s.wt.


‘Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana puasa itu diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. Puasa itu hanya beberapa hari yang ditentukan sahaja.
Suratul Baqarah 183

August 25, 2009

RAMADHAN MELEBUR DOSA

MAKNA RAMADHAN

Menurut taqwim Islam atau Hijriah, Ramadhan adalah bulan kesembilan. Dari segi bahasa, Ramadhan bermakna panas atau panas terik. Orang Arab menamakan bulan Ramadhan kerana kebiasaannya cuaca bulan ini sangat panas. Ia lebih panas dari bulan-bulan lainnya.

Tentu ada hikmat yang sangat besar mengapa Allah memilih bulan yang panas untuk mewajibkan ibadah puasa kepada hamba-hambaya.

‘Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana puasa itu diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.’

Suratul Baqarah 183

Sekali imbas dapat diambil iktibar, bahawa bulan yang panas itu harus dijadikan pemangkin untuk menghancur leburkan dosa-dosa yang ada. Dengan itu kita dapat membersihkan segala kekotoran di dalam diri, hingga dapat mengeluarkan jasad dan ruh kita dari gelumang maksiat dan kemungkaran.

Ambillah contoh bagaimana barang-barang perhiasan yang mahal-mahal harganya itu diperbuat. Dari dalam tanah yang kotor ia dikeluarkan, dibersihkan dan dibakar atau disepuh dengan api yang sangat panas, barulah ia menjadi emas tempawan yang bernilai tinggi.

Begitulah mudah-mudahan Ramadhan yang terik itu dapat membentuk diri kita melalui ibadah puasa supaya lota menjadi insan yang bertakwa yang dikehendaki Allah s.w.t.

August 24, 2009

ORANG BERTAQWA DICINTAI ALLAH




Allah s.wt. memerintahkan hambanya berpuasa melalui firmanNya,

‘Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana puasa itu diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. Puasa itu hanya beberapa hari yang ditentukan sahaja.
Suratul Baqarah 183


Allah menyatakan bahawa tujuan puasa adalah untuk bertaqwa kepadanya.

Taqwa adalah kemuncak hala tuju hidup manusia, kerana orang bertaqwa adalah menjadi kekasih Allah.

Firman Allah s.w.t.
‘Dan bertaqwalah kamu kepada Allah. Dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertaqwa.

Suratul Baqarah 194.

Jelas dalam ayat tersebut bahawa sebab taqwalah maka seseorang itu dicintai oleh Allah s.w.t.

Di dalam surah At Taubah beberapa kali Allah mengulang jaminanNya mencintai orang-orang yang bertaqwa.

‘Sesungguynya Allah mencintai orang-orang yang bertaqwa.’
At Taubah ayat 4
‘Ketahuilah bahawa Allah sentiasa bersama orang-orangbertaqwa.
At Taubah 36
‘Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertaqwa.’
At Taubah ayat 73.

‘Sesiapa yang menunaikan janjinya dan bertaqwa, maka sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertaqwa.’
Surah Aal Imran ayat 76.


BALASAN ORANG BERTAQWA

Allah s.w.t. memberi jaminan bahawa orang-orang yang bertaqwa di akhirat kelak akan dimasukkan ke dalam syurga.

‘Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa ditempatkan dalam syurga dan penuh nikmat.

At Tur ayat 17


Firmannya lagi,
‘ Sesungguhnya orang-orang bertaqwa ditempatkan di bawah naungan dan berdekatan dengan punca air.
Mereka menikmati segala buah-buahan yang mereka ingini,
Makanlah dan minumlah dengan penuh kelazatan sebagai balasan apa yang kamu lakukakan di dunia dahulu.

Al Mursalat 41.

Orang bertaqwa tidak perlu bimbang dari apa-apa bencana,

‘Allah menjadi pelindung kepada orang-orang yang bertaqwa.
Al Jaathiah 18.

Sewaktu di dunia, Allah memberikan rezeki dan berbagai kelebihan kepada orang-orang yang bertqwa.

‘Barang siapa yang bertaqwa kepada Allah sudah pasti Allah menunjukkan kepadanya jalan keluar (menyelesaikan masalahnya). Dan Allah akan beberinya rezeki yang tidak disangka-sangka.

At Talak ayat 3.

‘Barang siapa yang bertaqwa pasti Allah pasti Allah akan mudahkan segala urusannya.’
At Talak ayat 4

‘Barang siapa yang bertaqwa pasti Allah menghapuskan kesalahannnya dan melipatgandakan pahala-pahalanya.
At Tahrim ayat 5.

‘Sekiranya penduudk sesuatu negeri itu beriman dan bertaqwa pasti Kami bukakan berkat dari langit (rezeki yang banyak), tetapi mereka mendustakan Rasul, lalu kami timpakan mereka dengan azab atas apa yang mereka lakukan.

Al A’araf 96.


email: wadenko@yahoo.com

RUANG MENCAPAI TAQWA

Banyak ruang untuk seseorang mencapai taraf taqwa di dalam bulan Ramadhan.

Muaz bin Jabal r.d. pernah ditanya oleh Rasulullah s.a.w.

‘Mahukan kamu aku tunjukkan pintu-pintu kebajikan hai Muaz.

Jawab Muaz, ‘Mahu ya Rasulullah.’

Maka sabda Rasulullah s.a.w.,
‘Puasa itu adalah perisai. Sedekah itu pula menghapuskan dosa-dosa, sebagaimana air memadamkan api.’
Hadith riwaya At Tarmizi.

Mafhum dari hadith tersebut, bahawa puasa itu berupaya menjadi perisa kepada diri seseorang dari melakukan perkara mungkar. Yakni dengan berpuasa seseorang mampu menegah dirinya dari melakukan apa yang ditegah Allah s.w.t. Sekali gus dia berjaya menegakkan taqwa dalam dirinya.

August 23, 2009

PUASA UNTUK BERTAQWA

Firman Allah s.wt.
‘Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana puasa itu diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. Puasa itu hanya beberapa hari yang ditentukan sahaja.
Suratul Baqarah 183

Ayat ini menjadi dalil wajibnya orang Islam berpuasa di bulan Ramadhan sepemuhnya. Sesiapa yang mengengkari wajibnya maka maka ia menjadi kafir dan dikira terkeluar dari agama Islam.

Dalam ayat tersebut Allah menyatakan; puasa itu seperti telah difardhukan ke atas orang-orang sebelum kamu. Ini adalah satu bentuk kemudahan dan keringanan dalam agama Islam. Allah menunjukkan perbandingan bahawa puasa ini bukanlah sesuatu yang berat untuk ditunaikan. Dan bukan pula sesuatu perintah yang baru, ganjil atau amat payah dilaksanakan.

Allah memberikan bandingan bahawa umat terdahulu juga telah pernah diperintahkan melakukan ibadah puasa. Malah jika disingkap sejarahnya, umat terdahulu lebih banyak puasanya. Nabi Daud a.s. misalnya puasa selang sehari sepanjang tahun. Sedangkan puasa untuk nabi Muhammad hanyalah sekadar sebulan sahaja. Inilah satu bentuk keringanan atau cara memujuk hati umat Islam untuk tidak merasa sesuatu yang berat melaksananannya.

Orang-orang yang beriman. dengan mudah merasa gembira terhadap ayat perintah ini bila mengetahui bahawa umat terdahulu juga telah pernah melakukan puasa seperti yang diperintahkan Allah s.w.t.


Dalam ayat tersebut juga Allah menyatakan objektif umat Islam berpuasa. Objektif tersebut tidak lain dari meningkatkan taqwa seseorang.

Siapakah mereka yang bertaqwa?

Allah berfirman,

‘Mereka yang beriman dengan perkara ghaib, (kuasa Allah), mendirikan solat, dan menginfakkan rezeki Allah kepada Sabilillah (Zakat). Dan mereka yeng beriman kepada apa yang diturunkan kepada mu (wahyu al Quran) dan yang sebelum dari kamu (wahyu kepada nabi-nabi terdahulu, dan mereka yakin akan ketibaan hari akhirat).

Suratul Baqarah ayat 3.

Dalam ayat tersebut dijelaskan bahawa orang bertaqwa adalah orang yang beriman kepada Allah, kepada Nabi dan Rasul, kepada kitab-kitab, dan juga beriman kepada hari akhirat.

Banyak ruang untuk seseorang mencapai taraf taqwa di dalam bulan Ramadhan.

Muaz bin Jabal r.d. pernah ditanya oleh Rasulullah s.a.w.

‘Mahukan kamu aku tunjukkan pintu-pintu kebajikan hai Muaz.

Jawab Muaz, ‘Mahu ya Rasulullah.’

Maka sabda Rasulullah s.a.w.,
‘Puasa itu adalah perisai. Sedekah itu pula menghapuskan dosa-dosa, sebagaimana air memadamkan api.’
Hadith riwaya At Tarmizi.

Mafhum dari hadith tersebut, bahawa puasa itu berupaya menjadi perisa kepada diri seseorang dari melakukan perkara mungkar. Yakni dengan berpuasa seseorang mampu menegah dirinya dari melakukan apa yang ditegah Allah s.w.t. Sekali gus dia berjaya menegakkan taqwa dalam dirinya.