P

February 28, 2011

MEGAH BANGLO

HARTA WARIS LEBIH DICINTAI

Dari Ibn Mas’ud r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda,

‘Siapakah yang mengasihi harta warisnya melebihi kasih hartanya sendiri? Para sahabat menjawab, ‘Ya Rasulullah, kami lebih mencintai harta kami!

Maka sabda Baginda s.a.w. ‘Hartanya ialah apa yang telah ia belanjakan. Harta waris adalah apa yang disimpannya.

Hadith riwayat Bukhari.

Di dalam hadith ini Rasulullah s.a.w. menjelaskan hakikat pemilikan harta seseorang. Semasa hidup biasanya seseorang itu dengan megah mendakwa, ‘Itu hartanya, ini ladangnya, itu kenderaan atau banglonya. Namun Baginda Rasulullah s.a.w. memberi takrif yang berbeza.

Menurut Baginda s.a.w. apa yang telah kita belanjakan, itulah harta kita. Mithalnya seseorang telah membelanjakan hartanya untuk membina sebuah masjid, atau bersedekah. Maka itulah sebenar hartanya. Kerana pahala dari hartanya itu sudah pasti miliknya.

Sebaliknya pula, wang yang belum dibelanjakan, seumpama simpanan di dalam bank, belum tentu miliknya. Jika dia meninggal dunia, maka wang itu sudah menjadi harta peninggalan yang akan dibahagi antara warith menurut hukum faraidh.

Seseorang itu sangat sayang hartanya yang belum dibelanjakan. Sedangkan dia belum tau, adakah harta itu miliknya atau milik warithnya. Sekiranya dibelanjakan untuk jalan Allah maka, nyatalah itu hartanya yang kekal di bawa ke akhirat.

Oleh kerana itu untuk dapat harta yang banyak, segeralah belanjakan di jalan Allah.

SEGERA BERAMAL SEBELUM TUJUH PERKARA

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda,
'Segeralah melakukan amal salih sebelum datang tujuh perkara: Adakah engkau hendak menunggu hingga miskin melarat, atau kaya yang melampau, atau sakit yang tenat. atau tua nyanyuk, atau mati mengejut, atau datangnya dajal, itu seburuk-buruk yang ditunggu, atau kiamat. Itu lebih hebat dan dahsyat.
Riwayat Tarmizi

Dalam hadith ini Rasulullah s.a.w menasihatkan supaya segera dalam membuat amal kebajikan. Jangan bertangguh-tangguh.
Ketika kaya atau berada, maka segeralah bersedekah, jangan tunggu sampai jadi papa.
Jangan tunggu hingga jadi kaya yang lupa daratan.
Jangan tunggu sehingga diri jatuh sakit kronik hingga membawa maut, maka tidak sempat berbuat amal salih.
Jangan tunggu sehingga tua nyanyuk sehingga tidak tau lagi bilangan harta dan anak-anak. Beramallah semasa badan masih tegap.
Jangan tunggu sehingga malaikal maut datang mengejut. Tidak sempat lagi hendak beramal.
Jangan tunggu hingga datang dajjal yang merosakkan seluruh umat.
Dan janganlah tunggu lagi hingga sampai datang hari kiamat, kerana itu lebih dahsyat dari apa yang disangka dan dari apa yang pernah di lihat.


Segeralah melakukan amal kebajikan sebelum datang tujuh perkara.


email: wadenko@yahoo.com

February 27, 2011

RAHSIA PENDIDIKAN SOLAT

SALAH SATU ciri pendidikan keimanan ialah latihan solat kepada anak-anak. Ia adalah satu proses pendidikan unggul yang sangat memberi kesan dan penuh hikmah dalam diri anak-anak.


Firman Allah s.w.t.

'Perintahkan keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah ke atasnya.

Surat Taha 132

Abu Daud dan Al Hakim meriwayatkan dari Ibn Amr bin Al As, Rasulullah s.a.w. bersabda,

Perintahkan anak-anakmu mengerjakan solat waktu umurnya tujuh tahun dan pukullah dia ketika umur sepuluh tahun jika tidak juga menunaikan solat.


Tarmizi meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, Amal seseorang yang mula-mula dihisab pada hari kiamat ialah solatnya.

Hikmat dan kesan dari latihan solat ialah:

1- Tahun tentang perintah yang wajib dari Allah s.w.t.

2- Tahu menghargai masa

3- Tahu menilai kebersihan diri, tempat dan juga kebersihan hati.

4- Tahu menilai hidup bersama - berjamaah

5- Tahu nilai kasih sayang

6- Tahu menilai disiplin

7- Tahu menilai dan mengamal ikhlas

8- Latihan khusyu' membawa kepada laltihan 'konsentrasi'.

9- Keikhlasan melalui konsep ehsan.

10. Sentiasa mengawal diri dari kejahatan dan kemunkaran.



Blog: http://albaiyinah.blogspot.com fb: kamaluddin mad zin email:wadenko@yahoo.com

February 25, 2011

TUNJUK PERASAAN DIJALAN RAYA

ADAB KETIKA DI JALANAN

Dari Abi Sa’id Al Khudri r.a. dari Nabi s.a.w. Baginda bersabda, ‘Berwaspadalah kamu berhimpun di tepi-tepi jalan.

Mereka berkata, ‘Ini memang tempat kami berbincang.’

Maka jawab Baginda s.a.w., ‘Jika penting sangat, patuhilah adab-adab jalan.

Mereka bertanya, ‘Apakah adab-adab itu ya Rasulullah?

Jawab Baginda s.a.w., ‘Mengawal pandangan, menghalang gangguan, menjawab salam, menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran.’

Hadith riwayat Syaikhan. Yusuf 2:16

Hadith ini menyatakan tentang peraturan dan adab di jalan dan di kawasan lalu lintas orang ramai.

Baginda menegah para sahabat dari berhimpun di jalanan tanpa sebab yang munasabah. Keadaan itu boleh menimbulkan gangguan kepada orang yang lalu dan yang berurusan.

Para sahabat memberi alasan bahawa mereka bukanlah sengaja lepak membuang masa, tetapi berbincang sesuatu perkara berfaedah.

Maka Rasulullah lalu menasihatkan mereka supaya menjaga adab dan peraturan jalanraya.

Pertama menjaga pandangan supaya tidak jatuh kepada perkara yang haram dan yang dilarang.

Kedua apabila berkumpul di tepi jalan jangan mengalang lalu lintas atau mendatangkan gangguan kepada orang yang lalu lalang.

Ketiga menjaga hak keharmonian sosial dengan memberi dan menjawab salam.

Keempat menyuruh dan melakukan amar makruf. Misalnya menunjukkan arah bagi orang yang bertanya. Menjaga kebersihan dan memastikan suasana yang aman dan seumpamanya.

Kelima mencegah kemungkaran – nahi mungkar. Mithalnya menghalang sebarang pergaduhan atau perselisihan yang membawa kepada ketegangan sosial dan kekacauan.

February 24, 2011

PAGAR SYURGA

NERAKA DIPAGAR KEBENCIAN

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. b ersabda, ‘Neraka dipagar dengan segala keinginan nafsu. Manakala syurga pula dipagar dengan perkara yang dibenci.

Hadith rieayat Syaikhan.

Dalam hadith ini Rasulullah s.a.w. menerangkan bahawa neraka jahanam itu dipagar sekelilingnya dengan nafsu. Ini bermakna, kerana nafsulah orang terjerumus ke dalam neraka. Kalau pagar runtuh, rosak atau binasa maka dengan mudah saja orang boleh terus ke neraka.

Demikian juga Baginda s.a.w. mengibaratkan syurga itu dipagar dengan segala kebencian. Perkara kebaikan adalah sangat dibenci. Orang benci melakukan kebajikan, maka tidak dapatlah dia memasuki syurga itu, kerana ada pagarnya.

Sekiranya dia meninggalkan kebencian itu maka mudahlah dia masuk ke dalam syurga.

Ingatlah, perkara kebaikan sangat dibenci oleh nafsu. Perkara kejahatan sangat di sukai oleh nafsu dan ia membawa kepada kecelakaan.


email: wadenko@yahoo.com

February 21, 2011

ORANG LAIN LEBIH BAIK

Muhasabah diri

Janganlah merasa diri lebih baik dari orang lain. Anggapan demikian adalah pegangan syaitan.

Iblis ketika diperintah Allah supaya sujud kepada Adam, dia berkata,aku lebih baik dari Adam. Engkau jadikan aku daripada api, sedangkan Adam engkau jadikan dari tanah.’


Surah Al Aaraf ayat 12

Apabila merasa diri lebih baik dari orang lain maka timbul sifat takbur. Orang takbur tidak senang jika dirinya diberi nasihat. Dia ego. Menggunakan bahasa kasar, terutama menunjukkan kelebihan dirinya.

‘Ujub adalah juga penyakit hati. Orang ‘ujub memandang dirinya lebih mulia dan lebik baik dari orang lain. Dia memandang orang lain sangat hina. Dia selalu mengatakan perkataan yang menunjukkan dirinya lebih baik dari orang lain. Dia sebenarnya meniru cara iblis itu tadi.

Alamatnya nyata dalam majlis atau perhimpunan dia mengangkat dirinya dan menggap dirinya lebih berkebolehan dari orang lain.

CARA RAWATAN

Bagi mengelakkan kedua sifat ini, maka sentiasalah bersifat terbuka kerana orang yang baik itu sebenarnya baik di sisi
Allah.

Nasihat Imam Ghazali:

1 Apabila melihat seseorang, anggap dia lebih baik di sisi Allah kerana dia ada beberapa kelebihan dianugerahi Allah.

2 Apabila melihat orang yang lebih muda hendaklah engkau berkata di dalam hati ‘budak ini belum pernah membuat maksiat, sedangkan aku telah banyak buat dosa.’ Maka tidak syak lagi dia adalah lebih baik daripadaku.

3 Apabila melihat orang yang lebih tua darimu, maka hendaklah engkau berkata, ‘Orang ini menyembah Allah lebih dahulu daripadaku, maka tidak syak lagi dia lebih baik daripadaku.

4 Apabila melihat orang alim, maka hendaklah engkau berkata,’Orang alim ini telah dikurniakan bermacam pemberian yang tidak dikurniakan kepadaku dan dia telah sampai ke mertabat yang aku tidak sampai kepadanya, dan ia mengetahui perkara yang tidak aku ketahui. Maka betapa aku boleh sama dengannya.

5 Apabila melihat orang yang jahil maka hendaklah engkau berkata, orang jahil itu berbuat maksiat kapada Allah dengan sebab jahilnya, tetapi aku mengerjakan maksiat dalam keadaan berilmu, maka Allah boleh berhujjah ke atasku.

6 Apabila melihat orang kafir, hendaklah engku berkata, ‘Aku belum tahu lagi, boleh jadi dia masuk Islam lalu ia mengakhiri hidupnya dengan ‘husnul khatimah’ – mati dalam keadaan yang baik- Dengan dia masuk Islam itu, maka telah keluar segala dosanya yang lalu. Sedangkan aku boleh jadi berubah, mencari jalan sesat setelah mendapat pertunjuk.

Bidayatul Hidayat –Imam Ghazali

email: wadenko@yahoo.com

February 20, 2011

USIA LANJUT AMALAN BAIK

Dari Abdullah bin Busrin Al Aslami r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda, 'Sebaik-baik manusia ialah yang panjang umur dan baik amalannya.
Riwayat Tarmizi.
Di dalam hadith ini Baginda Rasulullah s.a.w. menjelaskan bahawa orang yang panjang umurnya dan baik amalannya adalah manusia yang bertuah dan beruntung. Mafhumnya manusia bercita-cita panjang usianya dan sebaik-baik orang yang panjang umur ialah disertai dengan amalan yang sempurnah.

Umur adalah kurniaan dari Allah s.w.t. Ia sepatutnya dipenuhi dengan amal salih dan lain-lain amal yang mendatangkan faedah. Setiap amalan itu pula adalan direkodkan oleh malaikat Raqib dan Atid.

Apabila Allah memberi umur yang panjang, bermakna ada peluang yang banyak bagi seseorang menambah amalnya, di samping dapat memperbaiki kesalahan di masa yang lampau. Jadi, alangkah beruntungnya seseorang itu yang diberi usia lanjut dapat pula memperbanyak amal yang baik.

email: wadenko@yahoo.com

February 19, 2011

JIJIK MINUM BERDIRI

LARANGAN MINUM SAMBIL BERDIRI

Dari Anas r.a. bahawa Nabi s.a.w. melarang minum sambil berdiri.

Kata Qatadah, ‘Kami bertanya kepada Anas. ‘Kalau makan?

Maka jawabnya, ‘Itu lebih buruk dan lebih jijik.’

Riwayat Muslim

Hadith ini menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. melarang seseorang itu minum sambil berdiri.
Para sahabat kemudian bertanya kepada Anas r.a. 'Bagaimana kalau seseorang itu makan sambil berdiri?

Anas r.a. menjawab, 'Perbuatan itu lebih buruk dan lebih jijik dari minum sambil berdiri.

Dalam hadith yang lain dibawakan oleh Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. bersabda, 'Janganlah sekali-kali kamu minum sambil berdiri. Maka sesiapa yang lupa hendaklah ia memuntahkannya.
Hadith riwayat Muslim (lih. Riadus Salihin).

email: wadenko@yahoo.com

February 17, 2011

SEBELUM DATANG FITNAH

SEGERALAH MENGERJAKAN AMAL SALIH

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda,

‘Bersegeralah melakukan amal salih, sesungguhnya akan berlaku fitnah seperti kelumpuk malam yang gelap gelita. Seseorang itu beriman pada waktu pagi, sedangkan petangnya ia kufur. Dan ada kalanya dia beriman pada petangnya esok paginya jadi kufur. Dia menjual agamanya dengan mata benda dunia.

Hadith Riwayat Muslim.

Rasulullah s.a.w. berpesan melalui hadith ini supaya sentiasa segera dalam melakukan kebaikan (amalan salih). Segera mengerjakan amal salih kerana dibimbangi jika terlambat, akan datang fitnah, maka dikala itu seseorang tidak lagi dapat menyelamatkan dirinya.

Antara fitnah yang diberi contoh oleh Baginda s.a.w. ialah seseorang itu pada waktu pagi, nampanyak elok beriman kepada Allah. Tetapi bila sampai waktu petang seolah menjadi kufur, atau benar-benar kufur kepada Allah.

Begitu juga selanjutnya pada waktu petang dia elok beriman. Namun pada esoknya ia jadi kufur pula. Malah yang lebih teruk daripada itu, dia sanggup menjual agamanya kerana desakan dunia. Membelakangkan agama kerana kepentingan keduniaan.

Oleh kerana itu, maka Baginda memerintahkan supaya segera melakukan amal salih, sebelum fitnah datang.

February 16, 2011

SEJENGKAL DEMI SEJENGKAL

MASUK LUBANG BIAWAK


Sebahagian umat kini suka meniru amalan agama orang lain, cara hidup orang lain dan budaya hidup orang lain daripada Islam.

Cara berpakaian ikut cara orang kafir, mendedah aurat dan tidak sempurna. Cara makan ikut orang kafir juga, tanpa menentukan halal dan haram, tidak memastikan kualiti yang baik.

Cara bergaul juga ikut cara orang kafir dengan tinggal bersekedudukan tanpa nikah.

Menyambut hari perayaan orang kafir, sedangkan sambutan memperingati maulidr rasul tidak dipedulikan. Malah dikatakann bid'ah.

Hari Kekasih disambut dengan penuh meriah kerana ada pesta maksiat.

Dari sehari ke sehari ramai yang terpesona dengan cara hidup orang kafir, walaupun ia tidak baik. Akhirnya mereka akan mengikuti sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta hinggalah ke dalam lubang biawak seperti yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w.

MASUK LUBANG BIAWAK

Dari Abu Said Al Khudri, Rasulullah s.a.w. bersabda,

‘Sesungguhnya kamu akan mengikuti jejak mereka sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta. Sehinggalah kalau mereka masuk lubang biawak pun kamu akan ikut sama.

‘Kami (sahabat) berkata, ‘Wahai Rasulullah! Adakah mereka itu Yahudi dan Nasara?

Maka jawab Baginda s.a.w. ‘Siapa lagi!

Riwayat Bukhari dan Muslim.

Hadith ini memberi amaran kepada umat Islam supaya jangan mudah terpengaruh dengan agama, budaya dan cara hidup orang bukan Islam.

Kerana kelalaian dan kejahilan, maka sebahagian umat Islam mudah terikut-ikut amalan agama dan cara hidup orang-orang kafir. Ia merangkumi soal ibadat, kemasyarakatan, ekonomi dan juga pendidikan. Orang –orang itu merasa bahawa segala sesuatu yang ada di dalam agama Islam masih belum mencukupi. Atau mereka menganggap ada kekurangann di dalam agama Islam. Oleh itu mereka mengikut apa yang ada dalam agama lain.

Rasulullah memberi perbandingan tentang kebodohan orang itu. Sikaranya orang yang diikut itu masuk ke dalam lubang biawak sekalipun mereka akan ikut juga.

Dari ibarat yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w. ini jelas bahawa apa yang dibawa oleh orang lain itu adalah tidak baik.

February 15, 2011

BANDINGAN KASIH SAYANG

ORANG MUKMIN BERSAUDARA

Daripada Nu’man bin Basyir r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda,

‘Engkau lihat orang-orang mukmin dalam hubungan kemesraan dan kasih sayang mereka adalah seperti jasad yang satu. Apabila ada salah sastu anggota itu sakit, maka seluruh annggota mengadu berjaga malam dan demam.

Hadith riwayat Bukhari .

Hadith ini menggambarkan eratnya hubungan seorang mukmin dengan mukmin yang lainnya.

Rasulullah s.a.w. mengambil tubuh badan atau jasad sebagai perbandingan. Apabila sesuatu bahagian anggota badan sakit, maka seluruh anggota badan juga akan merasa. Bahagian-bahagian lain juga akan terasa demam.

Begitulah juga kehidupan sebenar seorang mukmin dengan mukmin yang lainnya. Mereka hidup dalam kasih sayang dan saling bantu membantu sesama mereka. Ikatan persaudaraan mereka adalah kukuh.

Firman Allah s.w.t.

‘Sesungguhnya orang-orang beriman itu adalah bersaudara antara satu sama lainnya.

Al Quran surah Al Hujurat 10

Berdasarkan hadith dan firman Allah ini, maka setiap mukmin berkewajipan memelihara dan mengekalkan ukhuwah di kalangan mereka. Mereka dikehendaki sentiasa menghubungkan silaturahim diantara satu dengan yang lainnya. Sifat ukhuwah itulah asas perpaduan mereka.

February 14, 2011

VALENTIN TIADA PERHATIAN

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan: “Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam”.

Kebiasaannya, pasangan yang belum berkahwin menyambut perayaan berskala seni ini akan berakhir dengan aktiviti maksiat seperti berzina, sehingga terjadinya kes melahirkan anak luar nikah, menggugurkan anak dan seumpamanya.

OLEH KERANA ITU MEREKA YANG MENYERTAI SAMBUTAN HARI VALENTINE INI HANYA MENGIKUT TELUNJUK SYAITAN DENGAN MENGADAKAN AKTIVITI MAKSIAT YANG MEROSAKKAN DIRI SENDIRI.

Jika pada pertengahan dekad 1990-an sambutan perayaan berskala seni ini bertembung dengan sambutan bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri maka tahun 2010 menyaksikan perayaan ini tergugat dengan sambutan Tahun Baru Cina yang adakalanya jatuh pada bulan Februari sehingga memaksa masyarakat Cina menyambut perayaan berskala besar tersebut sebagai ganti Hari Valentine.

Tahun ini sambutan Hari Valentine tidak meriah kerana masing-masing bangsa ada perayaan yang lebih relallven. Orang Cina sedang menyambut Tahun Baru mereka. Sementara orang Islam menyambut hari Maulidir Rasul.

Nampaknya Hari Valentine tidak menarik perhatian rakyat negara Malaysia yang maju ini! Inilah suatu tranfomasi ke arah tamadun yang utuh.

VALENTINE HANYALAH SEORANG BANDUAN.
VALENTINE HANYALAH SEORANG BANDUAN.
VALENTINE HANYALAH SEORANG BANDUAN.
VALENTINE HANYALAH SEORANG BANDUAN.
VALENTINE HANYALAH SEORANG BANDUAN.

February 11, 2011

TIGA AMALAN BERFAEDAH

PUASA TIGA HARI TIAP BULAN

Dari Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.aw. berkata menasihatiku supaya berpuasa tiga hari tiap bulan dan sembahyang Dhuha dan sembahyang witir sebellum tidur.

Riwayat Bukhari (Ibn Abi Jamrah 183

Hadith ini menerangkan tentang nasihat Baginda Rasulullah kepada Abu Hurairah tiga amalan penting memantapkan sahsiah seorang muslim.

Pertama: berpuasa seanyak tiga hari dalam setiap bulan. Puasa adalah ibadah yang dapat meningkat kan ketaqwaan seseorang kepada Allah s.w.t. puasa dapat meningkatkan kesabaran dan kekuatan rohani,

Kedua: melakukan solat dhuha dua rakaat tiap pagi.

Ketiga: solat witir sebelum tidur malam.

Ketiga-tiga amalan ini amat berfaedah untuk menjadikan diri sentiasa bertaqarrub kepada Allah s.w.t.

February 8, 2011

MENGABAIKAN NAFKAH BERDOSA

DINAR YANG DIBELANJAKAN

Rasulullah s.a.w. bersabda,

‘Satu dinar yang engkau belanjakan dijalan Allah, satu dinar yang engkau belanjakan untuk memerdekakan hamba, satu dinar engkau sedekahkan kepada fakir miskin, satu dinar yang engkau belanjakan untuk ahli keluargamu, sebesar-besar pahala adalah apa yang engkau belanjakan untuk ahli keluargamu.

Hadith riwayat Muslim.

Menurut hadith ini keutamaan berbelanja adalah untuk ahli keluarga. Sekali gus ia menjadi dalil bahawa suami bertanggung jawab menyediakan nafkah untuk isteri dan anak-anak. Isteri dan anak-anak pula berhak mendapat nafkah daripadanya.

Di dalam hadith lain riwayat Abu Daud Rasulullah s.a.w. bersabda,

‘Cukup seseorang itu menjadi berdosa apabila ia mengabaikan orang yang patut diberinya makan (mengabaikan orang yang di bawah tanggungannya).

Oleh yang demikian adalah menjadi satu kesalahan, apabila dia berbelanja untuk perkara lain sedangkan isteri dan anak-anak serta orang di bawah tanggung jawabnya diabaikan.

DIDIK ANAK DALAM TIGA PERKARA

CINTAI NABI, KELUARGANYA DAN TILAWAH AL QURAN

Ali bin Abi Talib berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda, ‘Didiklah anak-anakmu dalam tiga perkara: mencintai nabimu, mencintai ahli keluarga nabi, dan membiasakan diri membaca Al Quran. Pembaca Al Quran berada di sisi Arasy bersama para anbiya dan asfiya pada hari yang tiada perlindungan melainkan perlindungan Allah.

Riwayat At Tabarani.

Hadtih ini mengemukakan tiga perkara yang perlu diberi keutamaan dalam pendidikan.

Pertama: Mencintai Nabi Muhammad s.a.w.

Kedua: Mencintai keluarga Baginda s.a.w.

Ketiga: Melazimkan diri membaca Al Quran

Mencintai Nabi Muhammad s.a.w. bermakna mengikut syariatnya, cara hidupnya dan semua pengajaran daripadanya. Apa yang disuruhnya hendaklah diikuti. Apa yang dilarangnya hendaklah dijauhi.

Mencintai ahli keluarganya untuk menimbulkan penghormatan dan kasih kepada mereka. Abu Bakar As Siddik, adalah bapa mertuanya apabila baginda berkahwin dengan Aishah r.a. Umar Al Khattab r.a. adalah mertua Baginda juga, kerana baginda berkahwin dengan anaknya Hafsah r.a. Usman Bin Affan r.a. adalah menantunya. Usman r.a. menikahi anak baginda, Rukiah dan kemudian Ummu Kalthum r.a. selepas Rukiah r.a. meninggal.

Ali bin Abi Talib r.a. adalah menantu Baginda, kerana Ali r.a. menikahi anak Baginda, Fatimah Azzahraa r.a.

Dengan itu Abu Bakar As Siddik, Umar Al Khattab, Usman bin Affan dan
Ali bin Abi Talib adalah keluarga Nabi s.a.w.

Membiasakan diri membaca Al Quran adalah amalan yang mulia. Di hari akhirat, Al Quran akan datang kepada tuan yang membacanya memberi syafaat.

Dari Abi Umamah r.a. katanya, ‘Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda,

‘Bacalah Al Quran, kerana Al Quran itu akan datang di hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada orang-orang yang membacanya.

Riwayat Muslim.

February 6, 2011

HIDUP BERMASYARAKAT

MENGHORMATI TETAMU

Dari Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda,

‘Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya. Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menghubungkan silaturahim kaum kerabatnya. Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia berkata yang baik atau hendaklah dia diam.

Riwayat Bukhari

Hadith ini menunjukkan cara hidup bermasyarakat dan berkeluarga. Islam bukan agama yang mementingkan hak individu. Mala Islam mengutamakan kehidupan sosial bersifat global.

Tidaklah sempurna iman kepada Allah dan hari akhirat, sekiranya seseorang itu hidup menyendiri seperti kera sumbang. Hadith ini menggalakkan seseorang sentiasa menghormati hak kejiranan dan saudara yang datang bertamu. Dengan demikian hak kejiranan tetap terpelihara dan hidup penuh mahabbah.

Perkara kedua disebutkan dalam hadith ini ialah pentingnya hubungan akrab ahli keluarga dan sanak saudara. Tegur menegur, nasihat menasihati dalam perkara agama adalah amat bermakna terhadap keakraban kaum keluarga. Ini dapat dihidupkan dalam suasana berjamaah melalui solat dan tilawah al Quran.

Tutur kata adalah alat komunikasi yang sangat berkesan dalam kehidupan keluarga, jiran dan masyarakat. Tutur kata yang baik dan mulia menambat rasa ukhuwah dan perpaduan sesama insan.

Tutur kata yang jahat dan buruk membawa kepada perselisihan dan permusuhan. Sikap berdiam diri lebih baik dari mengeluarkan kata-kata jahat seperti dusta, fitnah dan menghasut.

JALAN MUDAH HISAB RINGAN

JANGAN BERDENDAM

Abu Hurairrah r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda, ‘Sesiapa yang memiliki tiga perkara, maka Allah akan menghisabnya dengan hisab yang ringan dan dimasukkan ke dalam syurga dengan rahmatNya.

Mereka bertanya, ‘Siapakah mereka?

Jawab Baginda s.a.w. ‘Engkau memberi orang yang menahan hakmu, engkau menghubungkan silaturahim dengan orang yang memutuskannya, engkau memaafkan orang yang yang menganiayaimu. Apabila engkau dapat melakukan semua itu, Allah masukkan engkau ke dalam syurga.’

Riwayat Al Bazzar, At Tabarni, Al Hakim.

Hisab yang ringan dan mudah adalah idaman setiap umat di akhirat kelak. Hadis ini menunjukkan dengan terang jalan-jalan untuk mendapat hisab mudah dan ringan di akhirat. Selesai hisab yang mudah itu bererti terbukalah pintu syurga untuk seseorang.

Pertama: orang yang menahan hak engkau hingga engkau tidak mendapat apa-apa pemberian, sedangkan engkau berhak. Keadaan ini tidak bermakna engkau pula bertindak menahan hak orang tersebut. Seolah-olah engkau membalas dendam. Jangan ikut lagak orang itu. Yang diajarkan Rasulullah s.a.w. ialah, berikan orang itu haknya.

Natijahnya engkau akan dihisab dengan hisab yang ringan.

Kedua: Ada orang yang memutuskan hubungan silaturrahim dengan engkau. Jangan pula engkau memutuskan silatur rahim dengannya. Itu balas dendam namanya. Hendaklah engkau hubungkan silaturrahim dengannya.

Natijahnya engkau mendapat hisab yang ringan.

Kektiga: Ada orang yang menganiayai engkau. Maka hendaklah engkau maafkan. Jangan dibalas dengan aniaya juga. Dengan memaafkannya, natijahnya engkau akan dihisab dengan hisab yang ringan.

Apabila ketiga-tiga ini dilakukan pasti Allah akan memasukkan kamu ke dalam syurga dengan rahmatNya, Insya Allah.

February 2, 2011

MUDAH NYA MENDAPAT PAHALA SEDEKAH

BERBAGAI MACAM SEDEKAH

Dari Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda,

‘Tiap-tiap jari manusia ada sedekdah pada tiap hari terbitnya matahari, berlaku adil antara dua orang yang bersengketa adalah sedekah, menolong orang naik tunggangannya dan memungguh barangannya adalah sedekah, perkataan yang baik juga adalah sedekah, tiap langkah untuk pergi solat adalah sedekah dan menghilangkan bahaya di jalan adalah sedekah.

Riwayat Bukhari (Ibn Abi Jamrah).



Begitu mudah seseorang Islam mendapat pahala dan ganjaran dari Allah s.w.t.

Islam tidak membiarkan manusia hidup bermusuhan , kerana itu mendamaikan kedua pihak bersengketa adalah mendapap pahala sedekah.

Jari dikira mewakili keseluruhan anggota. Dengan menunjuk arah kejalan yang baik ada pahala balasannya. Jarilah yang mendatangkan pahala bila digunakan untuk menulis dan mencatit perkara kebaikan dan keamanan sejagat.

Khidmat menolong dalam kerja sosial amat dihargai walaupun sekedar menaikkan orang ke atas tunggangannya atau memungggahkan barangan.

Mulut manis dengan mengeluarkan kata-kata yang baik dan bermafaat adalah juga sedekah yang sangat tinggi nilainya, apatah lagi berupa nasihat dan pengajaran, Sebaliknya sudah tentu kata-kata busuk, jahat, fitnah dan seumpamanya mendapat balasan azab juga akhirnya.

Malah memudahkan laluan orang ramai dengan menghilangkan bahaya hatta duri dari jalanan pun di kira mendapat pahala sedekah juga.