P

August 25, 2011

PENGHALANG PAHALA SEDEKAH

SEDEKAH JANGAN DIUNGKIT

Firman Allah s.w.t.

‘Wahai orang-orang beriman! Janganlah kamu membatalkan sedekah kamu dengan ungkitan dan juga penganiayaan, seperti orang yang menafkahkan hartanya kerana riya’, dan tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Ia ibarat batu licin. Di atasnya ada debu tanah. Bila ditimpa hujan tinggallah batu itu licin. Mereka tidak dapat pahala sedikit pun dari apa yang mereka usahakan. Allah tidak memberi hidayah kepada orang kafir.

Al Baqarah 264.

Apa-apa yang kita sedekahkan tidaklah boleh diungkit-ungkit lagi. Perbuatan itu menimbulkan riya’ di dalam hati. Mungkin diungkit-ungkit itu supaya ia disebut sebagai jasanya kepada orang lain, atau untuk menunjukkan yang ia seorang yang dermawan. Sudah pasti yang demikian itu ada unsur riya’ menunjuk-nunjuk dan mengharapkan pujian dari manusia.

Maknanya pemberian atau sedekah itu tidak ikhlas. Dia bersedekah kerana hendakkan pujian manusia, dan bukan ikhlas kerana Allah s.w.t.

Rasulullah s.a.w. bersabda,

‘Tidak masuk syurga orang penipu, orang bakhil dan juga orang yang suka mengungkit-ngunkit pemberian, bantuan atau sedekah.

Riwayat Tarmizi


Bersedekah juga tidak boleh disertai dengan menyakiti atau mengugut orang yang menerimanya.

Misalnya seorang memberi sedekah kepada si fakir dengan mengeluarkan kata-kata, ‘Lain kali aku tak akan beri kepadamu.’

Atau dengan kata-kata, ‘Ini kali terakhir aku beri kamu.’

Perkataan atau ucapan yang menyinggung perasaan orang yang menerima sedekah itu boleh membatalkan pahala sedekah.

Allah mengibaratkan sedekah yang demikian itu seperti debu diatas batu licin. Apabila datang hujan ia akan mengalir bersama air hujan. Maka tinggallah batu itu licin seperti asal.

Oleh yang demikian bersedekah sebanyak-banyaknya dengan ikhlas kerana mengharap keridhaan Allah s.w.t.

HIASI HIDUP ANDA DENGAN TILAWAH ALQURAN

SABDA NABI S.A.W.

SEBAIK-BAIK kamu ialah yang belajar Al Quran dan mengajarkannya.
Riwayat Bukhari

Pelajari Al Quran walau berapa usia anda
di DARUL QURAN WASSUNNAH
Lot 2021 Jenderam Hulu, Sepang, Selangor. MALAYSIA

TEL 0122637313 UST SITI KAMAL