P

August 7, 2011

KUALITI PUASA YANG IDEAL

LONJAKAN KE DARJAT TAQWA

Firman Allah s.w.t.
Maka Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang bertaqwa.
(Surah Aali Imran 176).

Matlamat puasa ialah untuk mencapai tingkat taqwa (Surah Al Baqarah 183).
Taqwa adalah maqam tertinggi dalam kehidupan manusia di sisi Allah.
Ini diberi jaminan oleh Allah s.w.t. dalam firmannya,

13. Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan dan beramah mesra antara satu dengan yang lain. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, . Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya akan keadaan dan amalan kamu.

(Surah Al Hujurat ayat 13)

Bagi mencapai tingkat taqwa melalui ibadah puasa, sayugialah diketahui tingkat atau kualiti puasa itu sendiri.

Ahli-ahli tasawuf memberikan tiga kategori puasa.


Pertama: puasa awam. Menahan diri dari makan minum dan yang membatalkan puasa, tanpa menahan maksiat zahir dan batin,
Dia menahan diri dari segala perkara yang membatalkan puasa, tetapi dia tidak menahan anggota zahir dan anggota batin dari melakukan maksiat.
Dia tidak menahan matanya, telinganya dari perkara maksiat.
Dia tidak menahan tangannya dari melakukan maksiat.
Dia tidak menahan kakinya dari melakukan maksiat.
Dan seterusnya...

Begitu juga hal batinnya. Dia puasa tetapi batinnya tidak dipuasakan. Batinnya tetap hidup dengan perkara yang mazmumah: batinnya hasad, dengki, bongkak, takbur, buruk sangka, busuk hati, dendam dan seumpamanya.

Kedua: puasa khusus. Menahan diri dari makan minum dan yang membatalkan puasa, serta menahan maksiat zahir. Tetapi tidak menahan maksiat batin.

Ketiga: puasa terbaik. Menahan diri dari makan minum dan yang membatalkan puasa, serta menahan maksiat zahir dan maksiat batin.

Dipuasakan perut dari sebarang makanan dan minuman.
Dipuasakan anggota zahir dari segala kejahatan.
Dipuasakan pula batin dari segala maksiat.
Maka inilah kualiti puasa yang sungguh tinggi. Mudah-mudahan puasa seperti ini dapat melonjakkan kita ke darjat taqwa.

‘Sesungguhnya Allah kasih kepada orang-orang yang bertqwa. – Aal Imran 176.

Rujukan:
Al Quran
Tafsir Al Azhar – Hamka
Sahih Bukhari
Mustika Hadith – Abdullah Basmeh
Puasa dan Penghayatan Ramadhan – Safwan Fathi