P

August 30, 2011

KESINAMBUNGAN PUASA


MEMPERTAHAN NILAI TAQWA


01 Syawal 1432

Tidak ada kehebatan hari menahan diri dan mendisiplinkannya selain dari berpuasa. Dengan berpuasalah kita dapat mencapai tingkat taqwa. Kerana itulah diwajibkan berpuasa.

‘Wahai orang-orang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa seperti mana telah diwajibkan kepada umat terdahulu, supaya kamu bertaqwa.

Al Baqarah 183.

Kejayaan mendidik diri menjadi taqwa, diberi penghargaan yang sangat tinggi, hingga dihari penghargaan itu diharamkan berpuasa. Bebaslah makan minum dan lainnya seperti biasa. Kembali kepada fitrah. Lalu dinamakan hari itu hari raya fitri.

Namun bagi diri yang sudah mendapat selempang taqwa itu tidaklah semudahnya ia mencemarkan nilai tinggi yang telah diperolehi melalu ‘pendidikan puasa ramadhan’. Bagi mengekalkan kehebatan Ramadhan itu, disyairatkan pula amalan berpuasa sunat yang pahalanya dapat diperolehi sepanjang masa.

Baginda s.a.w. meneruskan kesinambungan kekuatan puasa itu lagi. Sabdanya,

‘Siapa yang puasa Ramadhan lengkap, kemudian diiringinya pula enam hari dalam bulan Syawal, maka puasanya bagai puasa sepanjang masa.

Riwayat Muslim.

Mungkin jarak jauh antara Syawal bagi menemui Ramadhan akan datang. Maka disunatkan syariat pula, berpuasa sunat pada hari arafah, iaitu 9 Zulhijjah b agi yang tidak mengerjakan haji.

Sabda Baginda s.a.w.

‘Ia menghapuskan dosa tahun sebelumnya dan dosa tahun ini.’

Riwayat Muslim.

Di sunatkan juga berpuasa sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah bagi mereka yang tidak menunaikan haji.

Sabda Baginda s.a.w.

‘Tidak ada hari yang lebih disukai Allah bagi orang-orang yang mengerjakan amal salih selain dari hari yang sepuluh ini (bulan Zulhijjah). Riwayat Tarmizi.

Kehebatan berpuasa itu akan terasa lagi dengan puasa mingguan tiap Isnin dan Khamis. Ini amalan Baginda Rasulullah s.a.w. dengan alas an,

‘Segala amalan dibawa para Malaikat ke hadzrat Allah s.w.t. pada tiap hari Isnin dan Khamis. Maka aku gemar supaya amalanku dibentangkan kepada Allah sedangkan aku berpuasa.

Riwayat Tarmizi.

Dengan alas an itulah Baginda s.a.w. berpuasa tiap Isnin dan Khamis.

Selain itu kata Aishah Baginda s.a.w. sangat banyak berpuasa sunat di bulan Sya’aban. (Riwayat Bukhari).

Peliharalah kesinambungan hebatnya puasa dalam mengekalkan taqwa kepada Allah s.w.t.