P

August 6, 2011

MUHASABAH DIRI TENGAH PUASA

HIKMAH PUASA

‘Wahai orang-orang-orang yang beriman, difardhukan puasa ke atas kamu seperti mana diwajibkan ke atas mereka sebelum kamu, semuga kamu bertaqwa.
Suratul Baqarah – 183.

Puasa diwajibkan pada tahun kedua Hijrah dengan turunnya ayat tersebut.

Puasa di kalangan umat Nabi Muhammad s.a.w. mempunyai beberapa hikmat yang sangat berkesan dalam perjalanan menuju taqwa kepada Allah s.w.t.

Pertama: sebagai menunjukkan ketaatan kepada Allah s.w.t. selaku hambanya. FirmanNya,

‘Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepadaKu

– Az Zariyat 56.

Sebagai hamba Allah, kepatuhan dan ketaatan kepadanya tidak boleh berbelah bagi. Apa sahaja yang diperintahkannya hendaklah ditunaikan. Perintah puasa tidaklah berat dibandingkann perintah-perintah lain yang dikehendaki manusia melaksanakannya.

Tidakkah Nabi Ibrahim menerima perintah yang lebih berat dari itu. Baginda dianugerahkan anak lelaki, Nabi Ismail ketika usianya sudah lanjut. Namun apabila sampai umur dewasa Allah memerintahkannya supaya menyembelih anak kesayangannya itu.

Kedua: Sebagai tanda syukur seorang hamba Allah diatas segala nikmat dan rahmat yang dilimpahkannya. Alangkah banyaknya nikmat yang kita terima selama sebelas bulan sebelum tiba Ramadhan. Puas makan dan minum sepanjang tahun, maka wajarlah puasa sebulan sebagai tanda syukur.

Ketiga: Satu usaha intensif meningkatkan hidup dari orang awam ke tingkat muqarrabun. Ibadah puasa menghendaki kita melakukannya dengan jujur kepada diri sendiri serta IKHLAS kepada Allah s.w.t.

Jujur kepada diri dengan mematuhi segala aturan puasa. Ikhlas kepada Allah s.w.t. melalui niat dan ketaatan sepanjang masa dari terbit fajar hingga ghurubnya matahari.

Dikatakan bahawa Nabi s.a.w. bersabda, ‘Puasalah kamu, pasti kamu akan sihat.

Muhasabahlah puasa yang dilakukan hari-hari melalui hidangan waktu berbuka. Lihatlah betapa banyaknya makanan yang terhidang.

Timbanglah badan selepas dua minggu berpuasa. Bertambah berat atau semakin ringan?

Nabi menggalakkan berbuka dengan tamar atau air sejuk atau susu cair. (Hadith riwayat Ibn Khuzaimah).