P

November 27, 2010

BAKTI KEPADA IBU BAPA

Penderitaan ibu bapa membesarkan anak digambarkan Allah dalam firmanNya Surah Al Ahqaf ayat 15:

15. dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah, dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah tiga puluh bulan.

Allah memerintahkan manusia supaya berkhidmat bakti kepada ibu bapa:

“Dan Tuhanmu memerintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai usia tua dalam peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar), sekalipun perkataan ‘uh’ . Dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi ucapkanlah kepada mereka perkataan mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah mereka, dengan berkata, “Wahai Tuhanku, cucurkanlah rahmat kepada mereka berdua seperti mereka mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku ketika kecil.” (Surah al-Israk ayat 23-24).


Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud r.a katanya:


‘Aku pernah bertanya Rasulullah SAW: Apakah amalan paling utama?

Baginda bersabda: ‘Sembahyang pada waktunya.

Aku bertanya lagi: ‘Kemudian apa lagi?

Baginda bersabda: ‘Berbakti kepada kedua ibu bapa.

Aku bertanya lagi: ‘Kemudian apa lagi?

Baginda bersabda: ‘Berjuang pada jalan Allah.

Kemudian aku bertanya lagi kepada baginda, semata-mata ingin menemani dan menjaga perasaan Baginda. (Riwayat Muslim)
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru bin al-'As r.a katanya:

Rasulullah SAW bersabda, ‘Antara dosa besar ialah seorang lelaki mencerca ibu bapanya.’

Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Adakah akan berlaku seorang lelaki memaki-hamun ibu bapanya?

Rasulullah SAW menjawab dengan bersabda:

‘Ya. Seorang lelaki memaki hamun bapa seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu memaki kembali bapanya. Begitu juga sekiranya seorang lelaki memaki hamun ibu seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu juga akan memaki hamun ibunya. (Riwayat al-Bukhari- jamrah)
MENDERHAKA
Rasulullah SAW menganggap perbuatan menderhaka kepada ibu bapa sebagai dosa besar selepas syirik. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a. katanya: Nabi SAW pernah menceritakan tentang dosa besar:

Baginda bersabda, “Ia itu Menyengutukan Allah, menderhaka kepada ibu bapa, membunuh dan berkata dengan kata palsu.” (semuanya itu dosa besar). Riwayat Muslim

Abul-Laith Assamarqandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Ibn Abbas r.a. berkata:

"Tiada seorang mukmin mempunyai kedua ibu bapa lalu ia pagi-pagi taat dan baik pada keduanya melainkan Allah s.w.t. membukakan untuknya daun pintu syurga, dan tidak mungkin Allah s.w.t. ridha padanya jika salah satu ibu atau bapanya murka kepadanya . Ditanya orang, ‘Meskipun orang tua itu zalim?

Jawabnya: ‘Meskipun zalim’. (Tanbih).

Abdullah bin Umar r.a. berkata: "Seorang datang kepada Nabi Muhammad s.a.w dan berkata: "Saya ingin berjihad (perang fisabilillah)."

Nabi Muhammad s.a.w. bertanya:

"Apakah kedua ibu bapamu masih hidup?"

Jawabnya: "Ya, kedua-duanya."

Sabda Rasulullah s.a.w.: "Di dalam melayani keduanya ada jihad.’

Hadis ini menunjukkan bahawa taat bakti kepada orang tua itu lebih besar daripada jihad fisabilillah. Kerana itu maka seseorang tidak boleh keluar untuk juhad jika tidak diizinkan oleh kedua orang tuanya selama panggilan jihad itu tidak umum, maka tetap taat kepada orang tua lebih afdhal dari jihad fisabilillah.

Bahz bin Hakim dari ayahnya dari neneknya berkata: "Saya tanya kepada Rasulullah s.a.w.: "Ya Rasulullah, siapakah harus saya taat?"

Jawab Rasulullah s.a.w.: "Ibumu."

Kemudian siapakah? tanya saya lagi.

Jawab Rasulullah s.a.w.: "Ibumu."

Saya bertanya sekali lagi.

Rasulullah s.a.w. menjawab: "Ibumu."

"Kemudian siapa?" tanya saya lagi."

Rasulullah s.a.w. menjawab: "Ayahmu, kemudian yang terdekat dan kerabat."

ADAB KEPADA IBU BAPA

Imam Ghazali menggariskan adab kepada ibu bapa seperti berikut:

1 mendengar dan mengikut segala perkataan ibu bapa dan segala yang disuruh.

2 Hendaklah berdiri kerana menghormatinya

3 Jangan berjalan dihadapan

4 Jangan mengangkat suara lebih dari suara ibu bapa

5 Segera menjawab panggilan ibu bapa dengan sopan dan membesarkannya, seumpama ‘Saya bapa, saya ibu.

6 Bersungguh-sungguh memelihara keridhaannya, sama ada perkataan atau perbuatan.

7 Jangan mengungkit segala kebajikan (pemberian atau pertolongan) yang diberikan kepadanya

8 Jangan memandang mereka denganpandangan marah atau menyakitinya

9 Jangan memasamkan muka didepan mereka kerana marah

10 Jangan musafir melainkan denganizin ibu bapa, kecuali keran menunaikan haji wajib dan menuntut ilmu.

KHIDMAT KEPADA IBU BAPA SELEPAS MATI

- Mengurus janazah

- Mendoakannya

- Memjelaskan hutang

- Membayar nazar

- Melaksanakan haji

- Menghubungkan silaturrahim dengan rakannya

Seorang lelaki bertanya kepada Rasullah s.a.w. ‘Apakah khidmatku terhenti setelah ibu bapaku meninggal?

Baginda s.a.w. menjawab, ‘Lakukan empat perkara: doakan mereka, mohonkan keampunan untuk mereka, penuhi perjanjian mereka, muliakan sahabat-sahabat mereka, hubungkan silaturrahim dengan yang kenal mereka- Riwayat Muslim.

Dari Abdullah bin Abbas, katanya ‘Seorang perempuan bertanya,

‘Ya Rasulullah bahawasanya fardu haji dari Allah kepada ayahku tiba waktu usia sangat tua. Tidak mampu naik kenderaan. Apakah aku boleh mengerjakan haji gantinya.

Baginda s.a.w. menjawab, ‘Iya.’

Yang demikian adalah pada haji wada’ (Bukhari – Abu Jamrah)

SEDEKAH BAGI ARWAH IBU

Dari Ibn Abbas bahawa ibu Saad bin Ubadah telah meninggal sedangkan Saad pada masa itu tidak hadir. Saad berkata kepada Rasulullah,

‘Ya Rasulullah, ibu ku meninggal sedang aku tiada. Adakah dia dapat menfaat jika aku sedekahkan sesuatu?

Rasulullah s.a.w. menjawab, ‘Iya.’

Maka kata Saad, ‘Aku menyaksikan kepadamu Ya Rasulullah, kebunku yang dikenali sebagai Al Mikhraf, untuk sedekah ibuku. Bukhari – Ibn Jamrah

Ibnu Abbas menceritakan seorang perempuan dari suku Juhainah bertanya Rasulullah s.a.w.

‘Ibuku telah bernazar untuk mengerjakan haji hingga dia meninggal (tidak dapat menunaikannya). Bolehkah saya mengerjakan haji untuk ibuku itu?

Rasulullah s.a.w. menjawab, ‘Ya boleh, buatkanlah haji untuknya. Bagaimana pendapatmu, kalau ibu mu ada meninggalkan hutang? Tidakkah engkau yang membayar hutang itu. Oleh itu hendaklah engkau membayar hutang ibumu kepada Allah, kerana hutang kepada Allah lebih utama dilangsaikan.

November 17, 2010

KORBAN UNTUK AGAMA

TELADAN yang ditunjukkan oleh para rasul terdahulu membuktikan bahawa pengorbanan adalah suatu tuntutan yang sangat mulia. Yang dikorbankan bukan sahaja harta benda, malah juga nyawa.

Di zaman Rasulullah s.a.w., para sahabat sanggup mengeluarkan harta benda untuk menegakkan agama Islam. Mereka menghulurkan bantuan untuk peperangan, menyumbang ribuan unta dan kuda serta peralatan perang, demi mencari keredhaan Allah s.w.t.

Mereka turut berjuang di medan perang demi cinta kepada agama Allah dan RasulNya. Pilihan mereka tidak lain dari menang atau mati syahid.

Diriwayatkan bahawa Saidina Abu Bakar r.a. pernah mendermakan seluruh hartanya untuk jihad. Apabila diketahui oleh Rasulullah s.a.w., baginda bertanya,

‘Apa yang tinggal pada engkau?

Saidina Abu Bakar r.a. menjawab, ‘Aku ada Allah dan RasulNya.’

Mafhumnya bahawa Allah s.w.t. dan Nabi Muhmmad s.a.w. itu lebih utama dari segala harta dunia ini.

Dalam hal mengorbankan nyawa kerana agama, maka Al Quran banyak merakamkan peristiwa yang boleh menjadi teladan kepada seluruh umat.

Nabi Ibrahim dipilih Allah untuk menunjukkan contoh ketaatan yang tidak berbelah bagi kepada Allah s.w.t.

Kemuncak ujian yang diterima Ibrahim ialah apabila Allah s.w.t. memerintahkannya menyembelih anaknya Ismail.

Apabila perintah itu diberitahukan , anaknya Ismail dengan tegas ia menjawab,

‘Lakukanlah apa yang diperintahkan. Insya Allah ayah akan dapati daku dari kalangan orang yang sabar. (As Safat 102).

Nabi Ibrahim menyangka bahawa perintah Allah itu benar-benar untuk menyembelih anaknya yang dikasihinya itu. Semua peralatan menyembelih disediakan. Tiada sebarang gentar dirasai oleh kedua-dua mereka walaupun Ibrahim telah merebahkan anaknya di atas tanah dan parang berada di leher Ismail.

Allah menerima ketaatan yang tulin dari Ibrahim dan anaknya Ismail. Lalu firmanNya,

‘Wahai Ibrahim , engkau telah menyempurnakan maksud perintah Kami. Sesungguhnya inilah perintah yang nyata. Dan Kami tebuskan anaknya itu dengan sseekor hewan yang besar - Surah As Safat 105

Allah gantikan tempat Ismail itu dengan seekor ternakan qurban.

Gambaran yang dipaparkan oleh Al Quran itu mencabar tingkat ketaatan dan semangat korban setiap mukmin.

Visit: Albaiyinah.blogspot.com

HIKMAT QURBAN

FIRMAN ALLAH S.W.T.

‘Hewan-hewan qurban itu Kami jadikan buatmu sebagai salah satu kebaktian kepada Allah. Manfaatnya banyak sekali bagi kamu. Maka sebutlah nama Allah waktu menyembelihnya. Setelah hewan –hewan itu tumbangg, makanlah sebahagiannya dan berikanlah pula kepada yang meminta dan orang yang tidak meminta. Demikianlah kami beri kemudahan kepada kamu. Tidaklah sampai kepada Allah dagingnya maupun darahnya. Tetapi yang sampai ialah ketaqwaan dari kamu.

Surah Hajj 36-37.

QURBAN ialah hewan ternak yang disembelih kerana ibadat pada Hari Raya Ad-ha dan hari-hari Tasyriq, iaitu hari ke 11, 12,dan 13 Zul Hijjah.

HUKUM

1. Melakukan qurban ini hukumnya sunat muakad. Makruh meninggalkannya jika mampu.

Kata Anas r.a. bahawa Nabi s.a.w. melakukan qurban dengan dua ekor kibas berbacak-bacak dan bertanduk. Disembelihnya sendiri dengan menyebut nama Allah dan bertakbir. (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim – Fiqh Sunnah).

Pernah juga Baginda s.a.w. menyerahkan sebanyak 100 ekor unta untuk qurban. Ia adalah pemberian secara sukarela (tatawwu’). – Syed Sabiq.

2. Ia menjadi wajib dengan dua perkara:

1. Apabila dinazarkan. Sabda Rasulullah s.a.w. ‘Sesiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah ia melakukan ketaatan itu.

Lafaz nazarnya seumpama, ‘Aku bernazar ternakan ini untuk qurban.’ Maka wajiblah dia berqurban dengan hewan tersebut. Jika dilafaznya, ‘Hewan ini untuk qurban.’, maka jadi wajib hewan itu untuk qurban.

2. Apabila dia berkata, ‘Hewan ternak ini untuk Allah,’ atau ‘Hewan ternak ini untuk qurban.’ Maka wajiblah dia berqurban dengan hewan tersebut.

HIKMAH

Di syariatkan qurban sebagai satu cara bersyukur dan mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. dengan mengingatkan peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. yang diperintahkan menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s.

SIAPA LAYAK

Sunat bagi yang berkemampuan.

Tidak sah melakukan qurban bagi seseorang yang masih hidup tanpa izinnya.

Harus seorang wali melakukan qurban untuk orang dibawah tanggungannya, walaupun tanpa izinnya.

HEWAN QURBAN

Ada empat jenis hewan yang boleh dijadikan qurban:

1 Unta yang telah berumur lima tahun

2 Lembu dan kerbau yang telah berumur dua tahun

3 Kambing yang berumur dua tahun

4 Biri-biri yang telah berumur satu tahun

YANG AFDHAL

Keutamaan: hewan yang afdhal ialah unta. Kemudian lembu atau kerbau, kemudian kambing dan kemudian kibas - (Matlaa).

Seekor unta boleh dikongsi tujuh orang. Begitu juga seekor lembu boleh dikongsi bersama oleh tujuh orang.

Kata Jabir r.a., ‘Kami berqurban di Hudaibiyah bersama Nabi s.a.w. seekor unta untuk tujuh orang dan seekor lembu untuk tujuh orang juga.’

Riwayat Muslim, Abu Daud dan Tarmizi.

Hewan ternak tersebut hendaklah bebas dari sebarang kecacatan.

1. Tiada telinga atau terputus sebahagiannya

2. Tiada ekor

3. Terputus lidahnya

4. Gila, tidak mahu makan dan minum, jadi ganas.

5. Berkudis

6. Sangat kurus

7. Buta

8. Sakit

9. Tempang

10. Bunting

11. Baru beranak

Tidak sempurna qurban dengan haiwan yang cacat itu kecuali bila sesorang itu telah menazarkannya untuk qurban.

Jika seseorang berkata mengenai haiwan yang cacat itu, ‘Ini adalah qurbanku’ atau ‘aku jadikan ini qurban’ maka wajiblah disembelih sebagai hewan qurbannya. Kerana ia menjadi nazar.

JANTINA

Hewan yang dibuat qurban ini harus sama ada jantan, betina atau khunsa. (Matla’ul Badrain)

MASA MENYEMBELIH QURBAN

1 - selepas waktu terbit matahari Hari Nahar (10 Zulhijjah) sesudah selesai Solat Aidil Adha dan khutbahnya.

2 - tempoh akhirnya menyembelih qurban ialah terbenamnya matahari 13 Zulhijjah.

Kata Abu Bardah, Baginda s.a.w. bersabda,

‘Sesiapa yang menyembelihnya sebelum solat Aidil Ad-ha, itu untuk dirinya sendiri. Sesiapa yang menyembelih selepas solat dan dua khutbah maka sempurna qurbannya dan sunnahnya – (Syed Sabiq).

Di sunatkan tuan punya qurban itu menyembelih sendiri hewan qurbannya. Baginda s.a.w. menyembelih sendiri qurbannya iaitu kibas sambil membaca:

Bismillahirrahmanirrahim, Allahu Akbar, Wahai Tuhan Kami, Hewan qurban ini dari dan dari umatku.’ – Riwayat Abu Daud dan Tarmizi.

Jika tidak mahir menyembelih maka hendaklah hadir menyaksikan upacara penyembelihan itu. Baginda s.a.w. berkata kepada anaknya Fatimah,

‘Wahai Fatimah! Hadirlah saksikan penyembelihan qurbanmu. Sesungguhnya diampun dosamu ketika darahnya menitis ke bumi. Bacalah doa,

Inna solati wa nusuki..

Sesungguhnya sembahyang ku, ibadatku, hidupku, matiku, hanya kerana Allah Rabbul Alamin. Tiada sekutu bagiNya. Demikianlah aku diperintah, dan aku termasuk orang muslimin.

NIAT

Disyaratkan niat ketika menyembelih qurban seumpama, ‘Ini dariku untuk Allah.’

Jika diwakilkan kepada orang lain, disunatkan niat ketika menyerahkan haiwan tersebut dan penyembelih itu berniat untuk tuan punya ketika menyembelihnya.

DAGING QURBAN

Bagi qurban sunat, sunat tuan punya qurban itu memakannya, mensedekahkan nya kepada fakir miskin, dan menghadiahkannya kepada orang lain, termasuk orang kaya.

36. dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian dari Syiar ugama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta Yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian Yang lain) kepada orang-orang Yang tidak meminta dan Yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan Dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur.

37. daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi Yang sampai kepadanya ialah amal Yang ikhlas Yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan Yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang Yang berusaha supaya baik amalnya.

Maka makanlah sebahagiannya dan beri makanlah pula orang yang malang dan miskin.’

Sabda Rasulullah, ‘Makanlah, beri makan dan simpanlah sebahagiannya.’

Surah Al Hajj 36-37

Setengah ulamak berpendapat harus memakan satu pertiga, disedekahkan satu pertiga dan disimpan satu pertiga. (Fiqhus Sunnah).

Wajib mensedekahkan daging mentah dari qurban sunat, untuk dimakannya sendiri atau dijualnya. (matla ul Badrain)

Tidak harus memberi sesuatu dariada quran kepada fakir miskin dari kalangan kafir, walaupun zimmi (Matla’)

Menurut setengah ulamak, ‘Afdhal di makan satu pertiga, disedekah satu pertiga dan disimpan satu pertiga.’ – (Fiqhus Sunnah).

QURBAN WAJIB

Bagi qurban wajib (Qurban nazar) , HARAM tuan punya qurban dan orang yang dibawah tanggungannya memakan daging qurban yanag dinazarkannya itu.

SEMUA bahagian qurban yang disembelih itu hendaklah disedekahkan, termasuk kulitnya dan tanduknya. Wajib disedekahkan semuanya. Jika dimakannya, maka wajib digantikan dengan daging lain dan disedekahkan dengan yang sebanyak yang dimakannya itu.

Jika ia makan sesuatu daripadanya, hendaklah diganti dengan daging lain kemudian disedekahkan. (Matlaa)

MASALAH

Haram bagi orang yang berqurban itu menjual sesuatu dari hewan yang telah disembelih, sama ada daging, kulit, tanduk atau bulunya.

Haram juga dijadikan sebagai upah kepada tukang sembelih.

Harus diberi kepada tukang sembelih sebagai sedekah.

Tidak harus memberi sesuatu dari hewan qurban itu kepada fakir miskin orang kafir, walaupun zimmi.

RUJUKAN:

- Al Quran

- As Sunnah

- Fiqhus Sunnah, Syed As Sabiq,

- Matla’ul Badrain, Sheikh Muhammad bin Ismail Daud Fatani.

SELAMAT MENYAMBUT AIDIL AD-HA

SANGGUPKAH KITA BERKORBAN SEPERTI NABI IBRAHIM DAN NABI ISMAIL?

November 15, 2010

SEPULUH TAHUN ZAUQ TASAWUF


Ilmu yang perlu dituntut ada tiga macam:

1. Ilmu Usuluddin - tauhid

2. Ilmu Syara’ –ilmu fekah

3. Ilmu batin – ilmu tasauf.


ILMU TASAUF

Ilmu tasauf adalah ilmu yang sayugia dituntut walaupun di umur lanjut, iaitu untuk kemenangan di dunia dan di akhirat.

Biarlah dihabiskan umur seseorang dengan mengaji ilmu tasauf dan mengamalkannya. Tiap-tiap kali membanyakkan mengetahui ilmu tasauf, maka banyak takutnya akan Allah s.w.t.

PENTINGNYA ILMU TASAUF

KATA Imam Ghazali di dalam Ehya Ulumuddin:

Barangsiapa tiada baginya ilmu tasauf nescaya ditakuti atasnya suul khatimah yakni mati dalam maksiat. – dinaqal Abdus Samad Al Falembani dalam Hidayatus Salikin.

Ibn Khaldun dalam kitabnya AL MUQADDIMAH menyebut,

‘Ilmu Tasawuf merupakan salah satu dari Ilmu Syariat dalam agama Islam. Asal mula jalan yang dilalui oleh golongan ahli tasawuf adalah jalan biasa yang dilalui oleh para sahabat, tabiin dan orang yang datang selepas mereka. Ia adalah merupakan jalan benar dan beroleh hidayah.

Jelas dari apa yang dinukil oleh Ibn Khaldun ini ialah Ilmu Tasawuf itu merupakan sebahagian dari Ulum Syar’iyah.

Para jumhur ulamak fekah juga berpendapat serta menganggap ia sebagai sebahagian dari ilmu syari’at.

Kata Imam Malik, seseorang yang mempelajari ilmu fekah dan mengabaikan ilmu tasawuf, maka sesungguhnya dia menjadi fasiq. seseorang yang mempelajari ilmu tasawuf dan mengabaikan ilmu fekah, sesungguhnya dia menjadi zindiq. Dan seseorang yang menghimpunkan kedua-duanya maka dia seorang yang berjaya merealisasikan yang haik.

Oleh yang demikian maka ilmu Tasawuf adalah sebahagian dari ilmu-ilmu syari’at yang perlu dipelajari.

Imam Syafie berkata,

‘Aku cintai tiga perkara: meninggalkan kepura-puraan, melembutkan perwatakan dengan kebajikan dan mengikuti jalan yang dilalui ahli tasawuf.

KEUTAMAAN TASAWUF

Ilmu tasawuf tidak boleh dipisahkan daripada keseluruhan syariat Islam. Tasawuf adalah amalan kerohanian kelompok manusia yang tumbuh berkembang dalam agama Islam.

Dikatakan juga bahawa apa-apa amalan kerohanian yang tidak dapat disahihkan oleh syariat Islam, maka ia sama sekali tidak boleh dihubungkaitkan dengan apa-apa istilah tasawuf.

Dengan yang demikian sayugia diambil perhatian bahawa apa sahaja amalan kerohanian yang bercanggah dengan kehendak syariat maka dengan nyata ia bukanlah amalan tasawuf Islam. Sekaligus amalan-amalan sedemikian adalah tertolak sama sekali.

Rasulullah s.a.w. bersabda,

Daripada Ummul Mukminin, Ummi Abdullah Aisyah r.a. katanya : Telah bersabda Rasulullah SAW,

‘ Barangsiapa yang mengada-adakan sesuatu dalam agama yang bukan darinya adalah tertolak.

Diriwayatkan dari Al-Bukhari dan Muslim. Dan pada riwayat yang lain oleh Imam Muslim : " Barangsiapa yang melakukan sesuatu amalan yang tidak dari perintah kami, maka ia adalah tertolak.


BELAJAR TASAWUF

Proses aprisiasi ilmu tasawuf mungkin memakan masa yang agak lama bagi seseorang individu. Pengalaman Imam Al Ghazali menunjukkan yang beliau mengambil masa sepuluh tahun sebelum dapat merasai ZAUQ tasawuf itu sendiri.

Hal ini dinyatakannya dalam kitab otobiografinya Al Munqidh man ad Dhalal. Selama tempoh tersebut beliau telah melalui pengisian amalan tasawuf seumpama al uzlah, al khalwah, ar riadhah, al mujahadah, az zikr dan lain-lain amalan biasa ahli sufi.

Ada kemungkinan dari fenomena ini menyebabkan sebahagian orang yang nampaknya mula berjinak dengan ilmu tasawuf, akhirnya meninggalkan alam yang indah itu selepas beberapa tahun mengikutinya.

Adakah mereka tidak tahan ujian dari alamnya atau kurangnya ilmu yang dapat memandu mereka ke arah taqarrub ilallah.

ILMU ASAS

Menceburi bidang tasawuf memerlukan ilmu-ilmu asas dalam syari’ah. Tokoh-tokoh tasawuf sunni seperti Ibn Ataillah al Sakandari, tokoh dalam tarikat As Syazaliah di Mesir mendalami ilmu fekah, usul fekah, ilmul kalam, mantiq, dan lain-lain ilmu asas syariat.

IMAM GHAZALi juga adalah seorang fakih. Beliau belajar ilmu fekah sejak masih kecil lagi.

ANDAIAN

Ada setengah pengkritik menyebut bahawa Ibn Taimiyah anti tasawuf?

Sebenarnya kedua-dua mereka adalah tokoh sufi golongan sunni bermazhab Hambali. Memang mereka pada beberap bahagian bersikap keras terhadap beberapa ciri tertentu dalam amalan ahli tasawuf mengenai pakaian dan doktrin lain. Kitab Talbis menghuraikan hal ini hingga lebih 200 halaman.

Ibn Aljauzi sangat gigihmeringkaskan kitab Hilyat Al Awliya karangan Abu Nuaim Al Asfahani menjadi kitab Sifatul Safwah.

Kitab Ihya Ulumuddin Imam Ghazali diringkaskannya kepada kitab MINHAJUL QASIDIN. Beliau juga mengarang kitab Fadhail dan kitb Manaqib yang menyanjung tokoh-tokoh tasawuf terdahulu sperti Rabiatul Adawiyah, IbrahimAdham, Hassan Al Basri, Bisyr Al Hafi dan Maruf Al Karkhi. (Zakaria Stapa).

TAQWA

Taqarub kepada allah salah satu matlamat amalan tasawuf. Taqarub pula tujuannya ialah menjadi insan bertaqwa kepad aAllah.

Matlamat taqwa itu seperti dijelaskan oleh Al Ghazali dalam MINHAJUL ABIDIN: 250


rujukan:

Minhajul Abidin trj. Ungku Ali Ungku Endut

Akhal dan Tasawuf Islam Zakaria Stapa









































































Minhajul Abidin trj. Ungku Ali Ungku Endut

Akhal dan Tasawuf Islam Zakaria Stapa

November 7, 2010

ILMU DAN AKAL

Salah satu hak dan kewajipan hamba Allah ialah menjaga kesihatan akal. Allah membuat satu perbandingan tentang akal ini dengan firmanNya dalam surah al Baqarah 44,

Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?

Menyuburkan akal dengan ilmu.

Akal disuburkan dengan siraman ilmu sepanjang masa.

Imu di sisi orang Islam adalah kemuliaan – lihatlah kisah penciptaan Adam di dalam al Quran, surah Al Baqarah.

Kata Imam Al Ghazali dalam Minhajul Abidin:

Seungguhnya orang yang beramal tanpa ilmu itu, berkemungkinan melakukan perkara-perkara yang merosakkan amalannya lebih banyak dari perkara yang memperbaikinya.

Awasilah bahawa amalan taat itu sendiripun tidak akan berhasil bagi seseorang hamba melainkan disertakan dengan ilmu. Oleh kerana itu wajib di dahulukan ilmu pada melaksanakan urusan ibadat. (Minhaj 46).

Mencari ilmu adalah wajib

Sabda Rasulullah s.a.w.

‘talabul ilmi faridhatun ala kuli muslim. Riwayat BUKHARI

DENGAN ILMU MANUSIA BOLEH BERTAQWA DAN TAKUT KEPADA LARANGN ALLAH TAALA.

Ilmu memandu manusia berasaskan syariat.

Ilmu menjadi benteng manusia dari kejahatan.

Firman Allah s.w

28. Sesungguhnya yang takut melanggar perintah Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun. Surah Fatir 28,

Firman Allah s.w.t.

Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. dan (ingatlah), Allah Maha mendalam pengetahuannya tentang apa Yang kamu lakukan. Al Mujadilah 11.

Ada empat modal dalam diri manusia:

a- a kecerdasan jasad - jasmani

b kecerdasan akal – akliah

c kecerdasan rohaniah - spiritual

d kecerdasan emosi

Tanpa kecerdasan emosi manusia tidak bahagia di dunia.

Kesemua kecerdasan adalah berlandaskan ilmu.


Firman Allah


9. "Katakanlah lagi (kepadanya): "Adakah sama orang-orang Yang mengetahui Dengan orang-orang Yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang Yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang Yang berakal sempurna.

Azzumar 9