P

August 10, 2011

AMALAN MULIA BULAN RAMADHAN

TILAWAH AL QURAN CERAHKAN HATI

Dari Ibn Abbas r.a.

'Adalah Rasulullah s.a.w. seorang yang sangat pemurah lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadhan. Malaikat Jibrail datang menemui Baginda tiap-tiap malam Ramadhan sama-sama bertadarus Al Quran. Baginda s.a.w. benar-benar pemurah dan lebih laju dari hembusan angin pembawa rahmat.

Hadith riwayat Bukhari.

Dari hadith ini dapat difaham bahawa tilawah Al Quran dan bertadarus di malam Ramadhan adalah sangat digalakkan. Ia adalah amalan yang sangat di tuntut untuk dilakukan pada malam-malam Ramadhan.

KEUTAMAAN BELAJAR AL QURAN

Al Quran sebagaii kitab wahyu kepada Nabi Muhammad s.a.w. adalah kitab yang wajib dipelajari. Keutamaan mempelajari Al Quran dinyatakan baginda dalam hadithnya,

‘Orang yang membaca Al Qurandengan mahir, dia bersama para malaikat yang mulia, sedang orang yang membacanya dalam keadaan tergagap maka ia mendapat dua pahala.

Hadith muttafaq alaihi.

Jelas dari hadith ini bahawa mereka yang membaca Al Quran dalam keadaan yang sukar, kerana tidak lancar, atau gagap dan merangkak-rangkak kerana belum fasih, maka ia mendapat dua ganjaran pahala dari Allah s.w.t. atas usahanya itu.

Ini menunjukkan bahawa mempelajari Al Quran itu adalah suatu usaha yang sangat di hargai di sisi agama Islam. Jerih payah mempelajarinya diberi ganjaran sewajarnya. Oleh kerana itu tidak wajar seseorang mudah putus asa jika tidak dapat mempelajari Al Quran dengan sempurnal. Segala usaha bersungguh-sungguh mesti ditumpukan supaya dapat menguasai bacaannya dan dalam masa yang sama, mempelajari juga isi kandungannya.

Al Quran hendaklah dibaca setiap hari sebagai satu usaha mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.

Baginda s.a.w. bersabda,

‘Bacalah Al Quran kerana sesungguhnya ia akan datang kepada tuannya sebagai syafaat kepada orang yang membacanya.

Hadith riwayat Muslim.

Al Quran yang kita baca itulah yang akan membela kita di hari akhirat kelak.

Suatu ketika Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda bahawa hati manusia sentiasa berkarat. Maka para sahabat bertanya, ‘Apakah ubatnya supaya ia bersinar kembali?

Maka baginda menjawab, ‘Ingat mati dan tilawah Al Quran.