P

August 18, 2011

SUNNAH HASANAH


GANJARAN SADAQAH BERTERUSAN

Al Munzir mengambil dari bapanya Jarir r.a. katanya,

‘Kami sedang duduk di sisi Rasulullah s.a.w. pada suatu tengahari di Masjid Madinah, tiba-tiba datang satu rombongan yang sangat miskin, berkaki ayam dan memakai pakaian compang camping’.

Melihatkan keadaan mereka yang sangat dhaif itu, berubah air muka Baginda s.a.w. kerana terlalu sedih dengan keadaan mereka.

Baginda s.a.w. masuk ke rumahnya dan kemudian keluar semula. Lalu Baginda s.a.w. menyuruh Bilal melaungkan azan kerana waktu zuhur telah masuk. Kemudian selesai azan, Baginda solat bersama yang ada di masjid.

Selesai solat Baginda s.a.w. berkhutbah dengan membaca ayat pertama Surah An Nisaa,

‘Wahai sekalian manusia! bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu bermula dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripadanya itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati kamu.

An Nisaa ayat 1.

Kemudian Baginda s.a.w. membaca dua ayat dari Surah al Hasyru,

18. Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan untuk hari esok (hari Akhirat). dan (sekali lagi diingatkan): bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat meliputi pengetahuannya akan segala yang kamu kerjakan.

Selepas itu orang ramai mula memeri sadaqah dengan wang dinar, ada dengan wang dirham, dengan pakaian dan beberapa gantang gandum dan beberapa gantang kurma. Hingga Baginda bersabda, ‘bersedekahlah walaupun dengan sebelah kurma.’

Kemudian datang pula seorang lelaki Ansar membawa satu karung besar lagi berat hampir tak terdaya tangannya mengangkatnya.

Berikutnya orang ramai berterusan menghulurkan sadaqah hingga aku melihat satu longgokan besar mengandungi makanan dan pakaian.
Pada ketika itu aku melihat air muka Rasulullah ceria kerana gembira. Baginda bersabda,

‘Barangsiapa memulakan rancangan baik dalam Islam, ia mendapat pahala dan juga pahala dari orang yang melakukannya, dengan tidak sedikit pun mengurangkan pahala orang yang mengerjakannya. Dan barangsiapa yang membuat rancangan jahat maka ia menanggung dosanya dan dosa orang yang melakukannya dengan tidak mengurangkan sedikit pun dosa orang yang melakukannya itu.

Hadith riwayat Muslim.