P

February 25, 2009

DAUN-DAUN BERGUGURAN

IBARAT SOLAT YANG KHUSYU'


Di musim sejuk daun berguguran dari dahannya. Demikianlah ibarat dosa yang gugur selepas seseorang itu menunaikan solatnya dengan khusyuk dan sempurna syarat rukunnya.

Abu Zar r.a. pernah meriwayatkan, bahawa pada suatu ketika Baginda Rasulullah s.a.w. keluar dari rumahnya pada musim sejuk. Ketika itu daun-daun berguguran. Baginda mengambil sebatang ranting dari suatu pohon. Daun-daun yang lebat mula jatuh berguguran.

Baginda lalu bersabda, 'Wahai Abu Zar! Apabila seorang Islam menunaikan solatnya untuk mendapatkan keredhaan Allah s.w.t., maka dosanya gugur seperti mana daun-daun ini gugur dari rantingnya.
- Riwayat Ahmad.

February 21, 2009

SOLAT DAN MASALAH KELUARGA

SELESAIKAN MASALAH KELUARGA DENGAN SOLAT

Alam keluarga sememangnya sering diberi ujian oleh Allah s.w.t. Krisis dan masalah adalah lumrah kehidupan berkeluarga. Ketabahan, kesabaran dan iman yang kental adalah tunjang mempertahankan kedamaian rumahtangga.
Dalam hubungan ini, solat sebagai suatu rahmat dari Allah s.w.t. berupaya menyelesaikan sebarang krisis atau masalah. Selain dari solat lima waktu, solat hajat dan solat sunat yang lain adalah sangat membantu.
Abdullah bin Salam r.a. memberitahu bahawa ketika keluarga Rasulullah s.a.w. menghadapi sesuatu masalah atau kesusahan, maka Baginda memerintahkan mereka bersolat dan membaca ayat 132 surah Taha.
'Dan perintahkan umatmu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki darimu, Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu. Dan akibat yang baik itu adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.'

MOHON DENGAN SOLAT

SELESAIKAN MASALAH DENGAN SOLAT

SOLAT adalah suatu rahmat dari Allah dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi manusia. Huzaifah menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. ketika berhadapan dengan sesuatu kesulitan, maka segera Baginda melakukan solat. (Riwayat Ahmad dan Abu Daud dan Ibn Jarir).
Oleh yang demikian bersolat ketika kita menghadapi sesuatu masalah atau kesulitan adalah suatu usaha mencari rahmat Allah s.w.t. untuk meminta pertolongan. Apabila rahmat dan pertolongan Allah tiba, maka sudah tentu segala masalah atau kesulitan dapat diatasi.
Rasulullah s.a.w. melakukan solat ketika menghadapi masalah atau peristiwa sedih. Kemudian membaca ayat 45 Surah Al Baqarah
Firman Allah, 'Dan mintalah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan Solat'
Ketika mendengar berita kematian anak Ibn Abbas r.a., Baginda Rasulullah turun dari untanya dan bersolat. Kemudian bersabda,
'Aku menunaikan perintah Allah dalam kitabNya (Ayat 45 Surah Al Baqarah).

SUNGAI DEPAN RUMAH


BERSOLAT IBARAT MANDI SUNGAI DEPAN RUMAH

Baginda Rasulullah s.a.w. mengibaratkan solat lima waktu sehari semalam, seperti sebatang sungai di hadapan rumah seseorang dan orang itu mandi di dalamnya lima kali sehari semalam. Dengan demikian hilanglah daki di badannya.

Dari Abu Hurairah, katanya, 'Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda,
'Adakah engkau semua mengetahui, andai kata pada pintu rumah seseorang kamu ada sebatang sungai dan kamu mandi di dalamnya sebanyak lima kali sehari, apakah masih ada kotoran yang tertinggal di badannya?
Para sahabat menjawab, 'Tidak ada yang tinggal sedikit pun ya Rasullullah.
Baginda bersabda pula, 'Demikianlah umpama kesan solat lima waktu ke atas diri seseorang. Dengan limpah rahmat Allah ia menghapus segala dosa.' (Riwayat Bukhari dan Muslim).

February 20, 2009

Bercium sebelum solat


SOLAT MENGHAPUS KEJAHATAN
Dari Ibn Mas'ud, bahawasanya ada seorang lelaki yang mencium seorang wanita. Kemudian dia mendatangi Nabi Muhammad s.a.w. lalu memberitahukan hal tersebut kepada Baginda. Selepas itu Allah menurunkan wahyu yang artinya,
'Dirikanlah solat pada kedua hujung siang dan beberapa ketika waktu malam. Sesungguhnya kebaikan itu dapat menghapus kejahatan.' (Surah Hud 115).
Orang itu lalu bertanya Baginda,
'Adakah ayat itu untuk saya seorang sahaja?
Baginda menjawab, 'Untuk seluruh umatku.'
Hadith Muttafaq Alaihi.

February 19, 2009

BENCANA DARI BOHONG


DUSTA atau bohong adalah suatu bencana lidah yang amat berbahaya kepada sahsiah seseorang. Banyak ayat Al Quran yang menceritakan perbuatan mendustakan ajaran para anbiya dan rasul-rasul yang dilakukan oleh umat yang engkar.
Di kalangan umat Nabi Muhammad sendiri perbuatan mensia-siakan anak yatim dan membiarkan orang miskin kebuluran tanpa makan, pun di anggap sebagai pendusta agama.
FirmanAllah s.w.t. surah Al Ma'un.
'Adakah kamu tahu siapa yang mendustakan agama itu. Mereka itulah golongan yang mensia-siakan anak yatim. Dan tidak berusaha memberi makan orang-orang miskin.'
Nabi Muhammad s.a.w. amat keras kecamannya terhadap orang yang berdusta.
Sabda Baginda,
'Tiga sifat yang jika ada salah satu daripadanya dalam diri seseorang maka dia adalah munafiq tulin.Walaupun dia puasa, sembahyang dan mendakwa dirinya muslim: bila berkata-kata, dia dusta. Bila berjanji dia mungkir, dan bila dipercayai, dia khianat.
(Riwayat Bukhari dan Muslim - Ihya Ulumuddin bab Lidah).
Allah s.w.t. berfirman,
Apabila orang-0rang munafiq datang kepadamu (wahai Muhammad), mereka berkata: 'Kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau benar-benar Rasul Allah.' Dan memang Allah mengetahui bahawa engkau adalah RasulNya. Allah menyaksikan bahawa orang-orang munafiq itu adalah sebenarnya berdusta. (Surah Muhammad ayat 1).

February 5, 2009

PENGURUSAN MASA BERKUALITI


ADA sebahagian manusia sering merungut, 'Saya tak ada masa'. Ada pula yang berkata, 'Saya tak cukup masa.' Malah tidak kurang pula yang berkata, 'Saya sibuk.
Keadaan ini membuktikan bahawa mereka tidak berupaya mengurus masa dengan berkesan.
Masa adalah anugerah yang diberi Allah kepada manusia. Terpulang kepada mereka bagaimana hendak mengurusnya supaya mendatagkan manfaat kepada diri seseorang.

Allah telah mengingatkan manusia dengan firmanNya yang bermaksud,
'Demi masa. Sesungguhnya manusia berada di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salih. Dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran, serta berpesan-pesan dengan sabar. (Surah Al 'Asr)
Kecuaian manusia mengisi masa itu menyebabkan mereka mengalami kerugian.
Apakah bentuk kerugian yang dialami manusia?. Kerugian utama yang dialaminya ialah kehilangan modal besar, iaitu usia atau umur.(Abdullah Basmeh, Tafsir Pimpinan Ar Rahman).
Umur manusia sentiasa beredar hilang dari detik ke detik sejak ia dilahirkan. Umur itu semakin kurang dan bukan semakin bertambah.
Apabila seseorang, pada suatu ketika tidak dapat menggunakan masa untuk kebaikan diri, maka bererti hilanglah masa keemasan itu. Kehilangan sedemikian adalah satu kerugian yang tidak akan dapat ditebus lagi.

Orang-orang beriman yang sentiasa beramal salih, terkecuali dari mendapat kerugian. Mereka sentisa berpesan mengenai perkara yang hak dan kebenaran. Mereka juga sentiasa bersabar dalam menjalankan kewajipan dan menghadapi sebarang ujian dari Allah.
Al Quran merakamkan berbagai surah yang menunjukkan pentingnya masa. Allah bersumpah dengannya.
Allah bersumpah, demi masa Dhuha (Surah Ad Dhuha)
Allah juga bersumpah 'Demi masa tibanya malam (SurahAl Lail)
Demikian juga Allah bersumpah demi masa perjalanan matahari (Surah\Ash Shams). Allah bersumpah dengan masa pagi (Al Fajr).
Rasulullah s.a.w. juga mengingatkan umatnya tentang penggunaan masa.
Sabdanya, 'Rebutlah lima peluang (masa) sebelum datang lima perkara. Umur muda sebelum masa tuamu. Masa sihat sebelum datang sakitmu. Waktu kaya sebelum datang masa miskinmu. Waktu lapang sebelum datang masa sibuk. Waktu hidup sebelum datang ajalmu. (Hadith riwayat Tarmizi).
Hadith ini menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w. menggesa umat supaya merebut peluang (masa) keemasan yang terbentang luas di hadapan mereka.
Jelas dipaparkan dalam hadith tersebut perbandingan masa yang akan hilang sekiranya manusia tidak merancang. Muda akan jadi tua. Sihat jatuh sakit. Kaya akan jadi papa. Lapang akan jadi sibuk dan maut mengakhiri segalanya.
Bagaimanakah merancang pengurusan masa?
Empat perkara harus diberi pertimbangan.
Pertama masa untuk Tuhan
Kedua masa untuk diri sendiri
Ketiga masa untuk keluarga
Keempat masa untuk masyarakat.

Rasulullah s.a.w. bersabda,
'Bersegeralah membuat amal salih sebelum datang tujuh perkara. Kamu menjadi fakir melarat, atau kamu jadi kaya yang merosakkan, sakit yang amat tenat, atau tua nyanyuk, atau mati mengejut, atau datang dajjal. Maka itu sejahat-jahat perkara yang ditunggu. Atau hingga datang kiamat, maka itu lebih dahsyat lagi. (Riwayat Tarmizi)
Apa yang dinyatakan oleh Rasulullah itu berupa halangan untuk seseorang melakukan amal salih.
Orang miskin menunggu kaya baru hendak beramal atau bersedekah. Sedang kekayaan boleh merosakkan iman.
Ketika fakir pula banyak pintu amal tertutup.
Pada masa sihat orang bertangguh melakukan amal, maka ketika sakit dia sangat teringin membuat kebajikan.
Ketika muda dan masih gagah, diri berjanji hendak beramal di masa tua. Tetapi tertangguh terlalu lama, sampai umur nyanyuk, tidak juga beramal.
Jika ada yang menunggu kelahiran dajjal atau terjadi kiamata, maka ketika itu tidak berguna lagi sebarang penyesalan.
Rasulullah juga mewasiatkan supaya umatnya tidak mengabaikan masa dengan sia-sia untuk menjalankan perkara makruf dan mencegah kemungkaran.
Sabdanya,
'Demi Allah yang diriku di dalam kekuasaanNya, hendaklah kamu menyuruh melakukan yang makruh dan mencerah yang mungkar, atau pun Allah menurunkan seksanya ke atas kamu. Ketika itu kamu berdoa kepadaNya (minta perlindungan), maka tidak akan diperkenankan doamu. (Riwayat Tarmizi).
Kebijaksanaan membahagi-bahari masa bergantung kepada kemitmen seseorang terhadap perintah Allah. Apabila sesuatu urusan bertembung antara dua kepentingan, maka hendaklah di utamakan hak Allah Taala.
Mengutamakan hak Allah Taala bererti kesejahteraan hidup akhirat. Ini kerana kehidupan akhirat itu lebih bai lagi kekal berbanding kehidupan dunia.

February 4, 2009

HASAD DENGKI MEMBINASAKAN DIRI

Hasad dengki adalah salah satu maksiat batin yang membinasakan diri seseorang.
Kata Imam Al Ghazali, ia adalah sebesar-besar kejahatan manusia yang dicela oleh syara'. Katanya lagi,
'Ketahuilah bahawa hasad itu haram. Makna Hasad itu ialah, 'Engkau suka hilang nikmat daripada orang yang engkau dengki itu, atau turun bala kepada orang itu (Hidayatus Salikin 206).
Sifat hasad itu mendatangkan kemurkaan Allah s.w.t. Ia boleh membinasakan seseorang dan amalannya. Sabda Nabi s.w.t.
'Takutlah kamu semua akan sifat dengki, sebab sesungguhnya dengki itu memakan segala kebaikan sebagaimana api memakan kayu bakar. (Hadith riwayat Abu Daud dari Abu Hurairah - Riadhus Salihin jil 4).
Menurut Al Ghazali lagi dengki itu ada tiga macam.
Pertama, menginginkan agar kenikmatan orang lain itu hilang dan ia dapat menggantikannya.
Kedua, menginginkan agar kenikmatan orang lain itu hilang sekalipun ia tidak dapat menggantikannya, sama ada kerana merasa mustahil dirinya dapat menggantikannya atau memang kurang senang memperolehinya, atau sebab-sebab lain. Asal orang itu jatuh, dia gembira. Ini lebih jahat dari dengan jenis pertama.
Ketiga, tidak ingin kalau kenikmatan orang lain itu hilang, tetapi dia benci kalau orang itu akan mendapat kenikmatan lebih dari apa yang dimilikinya sendiri.
Dengki ketiga ini pun dilarang, sebab jelas tidak redha dengan apa-apa yang telah dikurniakan Allah.
Dengki hanya dimiliki oleh orang-orang yang berjiwa rendah dan sifat ini mendorongnya berangan-angan kosong untuk mendapatkan kenikmatan yang dimiliki orang lain. Di dalam diri setiap orang memang ada keinginann kepada persaingan, untuk melebihi atau mendapat yang sama. Sifat ingin bersaing secara sihat adalah halal. Ia dikenal sebagai ghibtah.
Seseorang yang menyedari dirinya serba kurang, apabila melihat orang lain maju dan mendapat lebih nikmat, maka ia berusaha bersungguh-sungguh seperti yang dilakukan oleh orang lain itu. Ini bukanlah dengki namanya.

Ibn Mas'ud r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda,
'Tidak digalakkan adanya perasaan irihati (hasad) melainkan pada dua keadaan.
Pertama, keadaan orang yang dikurniakan Allah harta benda dan membelanjakannya pada kepada perkara kebajikan.
Kedua, keadaan orang yang dikurniakan ilmu pengetahuan agama lalu ia beramal dengannya dan mengajarkannya. (Riwayat Bukhari dan Termizi)
Dalam hadith ini Rasulullah menerangkan bahawa dua nikmat pemberian tersebut amat besar kelebihannya sehingga mustahaklah tiap-tiap orang beriri hati dan berusaha dengan bersungguh-sungguh, semuga Allah mengurniakan nikmat itu.
Dengan itu dapatlah ia menggunakannya menurut cara sebaik-baiknya seperti yang dilakukan oleh dua orang yang tersebut itu.
Kesimpulannya, hasad yang membawa kerosakan dan bala tidaklah dihalalkan. Yang dituntut oleh agama ialah rasa iri hati untuk turut berusaha bersungguh-sungguh mendapat nikma Allah dan menggunakannya kepada perkara yang diredhaiNya.

February 3, 2009

SENDA GURAU LUCAH

SENDA gurau dianggap setengah orang sebagai cara untuk bergembira. Adakah senda gurau diharuskan?

Salah satu bencana yang dilakukan oleh lidah ialah gurauan. Termasuk dalam istilah gurauan ini ialah kelakar, lawak jenaka dan olok-olok.

Sheikh Abdus Samad Falembani dalam kitab Hidayatus Salikin menyebut gurauan itu sebagai ALMIZAH. Beliau membawa hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, 'Jangan engkau bantah saudaramu dan jangan engkau guraukan dia.' (Hidayatus Salikin 170)
Menurut Imam Al Ghazali bergurau itu ditegah oleh syara' kerana ia membawa kepada banyak tertawa. Banyak tertawa mematikan hati dan boleh menanggalkan hati.
Paling dahsyat lagi menurut beliau, guauan boleh membawa kepada derhaka. Ini berdasarkan hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud,
'Seseorang lelaki yang berkata dengan suatu perkataan supaya rakan-rakannya tertawa, maka dia dijatuhkan ke dalam neraka selama tujuh puluh tahun.

Imam Al Ghazali menasihati supaya manusia menjaga lidahnya daripada berkata-kata yang menimbulkan gelak ketawa.
Kata-kata gurau dan senda boleh menghilangkan rasa malu seseorang. Ini kerana dalam mencari bahan ketawa, manusia sanggup membuat cerita bohong dan tidak munasabah. Untuk mereka-reka bahan lucu, mereka cipta cerita ganjil dan tidak masuk akal yang kebanyakannya adalah cerita palsu belaka.
Inilah puncanya orang-orang yang membuat kelakar boleh hilang malu dari dirinya. Pada hakikatnya malu adalah senjata orang yang beriman. Malu adalah alamat atau tanda orang yang beriman. Hilang malu, hilanglah iman.
Yang paling mengaibkan pula, sebahagaian manusia suka membawa cerita lucah dalam perkataan mereka semata-mata untuk menimbulkan gelak ketawa orang lain.
Rasulullah bersabda,
Malu adalah cabang dari Iman.'
Dalam sabda yang lain, 'Malu dan iman adalah seganding. Apabila terongkai salah satu, maka terongkailah keduanya.'
Dapat difaham dari hadith ini, bahawa jika hilang malu dari diri seseorang maka hilang jugalah imannya.

February 2, 2009

BERADAB DI MASJID

MASJID adalah tempat untuk sujud. Apabila dikatakan tempat untuk sujud, mafhumnya tempat itu adalah mulia dan suci. Dengan itu setiap pengunjungnya berkewajipan menjaga status mulia dan sucinya masjid.
Tangggung jawab ini sudah pasti hanya dapat dipenuhi oleh orang-orang yang mantap akidah dan imannya seperti yang digambarkan oleh Allah s.w.t. dalam firmanNya,
'Hanya sesunggguhnya orang yang layak memakmurkan masjid Allah itu ialah mereka yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah. Dengan sifat itu mudah-mudahan mereka menjadi golongan yang mendapat hidayat (At Taubah 12)
Maka bagi orang-orang yang benar-benar beriman kepada Allah, Hari akhirat dan suka sujud di dalam masjid, tentu tidak tergamak untuk mencemarkan masjid dengan sesuatu perkataan atau perbuatan yang di larang Allah.
Mereka tentu dapat menolak godaan dan hasutan syaitan untuk menjadikan masjid sebagai tempat menimbulkan kekecohan atau apa saja perkara yang boleh memecah belahkan masyarakat. Kerja syaitan memang melaga-lagakan manusia hingga timbul kebencian di kalangan mereka.
Firman Allah,
'Sesungguhnya syaitan itu suka menghasut kamu supaya berlaku kebencian dan permusuhan di kalangan kamu. (Al Maidah 91)
Oleh kerana itulah apabila seseorang masuk ke masjid, maka ia perlu menjaga adab. Adab zahir dan adab batin.
Allah menegaskan adab-adab tersebut dalam firmanNya,
'Wahai anak Adam, ambil perhiasanmu tiap kalli kamu memasukI masjid. (Al A;araf 31)
Perhiasan zahir ketika di masjid sudah pasti dengan pakaian bersih, halal, menutup aurat, Perhiasan batin ialah taat, taubat, syukur, khauf, sabar, ikhlas tawakkal dan redha.
Tidak layak seseorang muslim datang ke masjid dengan pakaian indah, sedangkan mulut dan perbuatannya kotor dengan umpat, fitnah dan menimbulkan perselisihan serta kebencian kalangan jamaah.
Dalam satu riwayat dinyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. menegah para penyair menyampaikan syair di masjid dan juga melarang berjual beli di dalam masjid. (Riwayat Termizi).
Duduk beriktikaf selepas sembahyang-sembahyang sunat adalah lebih baik dari mengelurkan kata-kata yang tidak berfaedah. Ini menepati dengan apa yang dibaca ketika masuk masjid,
'Ya Tuhan kami, aku memohon darimu limpah kurniamu.
Ketika melangkah keluar masjid pula berdoa,
'Ya Tuhan kami, aku memohon keampunan dari sisimu.
Dengan doa yang demikian sudah pasti apa yang kita cari dan lakukan di masjid adalah keridhaan Allah semata-mata.

February 1, 2009

APABILA MATI ANAK ADAM

TIGA perkara yang dapat menyelamatkan kita selepas kita mati. Sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak saleh yang mendoakan kita.

Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda,
'Apabila seorang manusia meninggal dunia, maka putuslah amalannya, kecuali tiga perkara: Sedekah jariahnya, ilmu yang memberi manfaat dan juga doa dari anak yang salih. (Hadith rieayat Imam Ahmad.

Apabila seseorang meninggal dunia, tidaklah dapat ia melakukan apa-apa amal lagi. Bermakna dia tidak menerima apa-apa pahala lagi kecuali dari tiga sumber.
Pertama pahala dari sedekah yang dilakukannya semasa dia hidup.
Kedua pahala ilmu yang baik yang diajarkannya.
Ketiga doa-doa yang dikirim oleh-anak-anaknya yang salih.