P

February 25, 2011

TUNJUK PERASAAN DIJALAN RAYA

ADAB KETIKA DI JALANAN

Dari Abi Sa’id Al Khudri r.a. dari Nabi s.a.w. Baginda bersabda, ‘Berwaspadalah kamu berhimpun di tepi-tepi jalan.

Mereka berkata, ‘Ini memang tempat kami berbincang.’

Maka jawab Baginda s.a.w., ‘Jika penting sangat, patuhilah adab-adab jalan.

Mereka bertanya, ‘Apakah adab-adab itu ya Rasulullah?

Jawab Baginda s.a.w., ‘Mengawal pandangan, menghalang gangguan, menjawab salam, menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran.’

Hadith riwayat Syaikhan. Yusuf 2:16

Hadith ini menyatakan tentang peraturan dan adab di jalan dan di kawasan lalu lintas orang ramai.

Baginda menegah para sahabat dari berhimpun di jalanan tanpa sebab yang munasabah. Keadaan itu boleh menimbulkan gangguan kepada orang yang lalu dan yang berurusan.

Para sahabat memberi alasan bahawa mereka bukanlah sengaja lepak membuang masa, tetapi berbincang sesuatu perkara berfaedah.

Maka Rasulullah lalu menasihatkan mereka supaya menjaga adab dan peraturan jalanraya.

Pertama menjaga pandangan supaya tidak jatuh kepada perkara yang haram dan yang dilarang.

Kedua apabila berkumpul di tepi jalan jangan mengalang lalu lintas atau mendatangkan gangguan kepada orang yang lalu lalang.

Ketiga menjaga hak keharmonian sosial dengan memberi dan menjawab salam.

Keempat menyuruh dan melakukan amar makruf. Misalnya menunjukkan arah bagi orang yang bertanya. Menjaga kebersihan dan memastikan suasana yang aman dan seumpamanya.

Kelima mencegah kemungkaran – nahi mungkar. Mithalnya menghalang sebarang pergaduhan atau perselisihan yang membawa kepada ketegangan sosial dan kekacauan.