P

February 21, 2011

ORANG LAIN LEBIH BAIK

Muhasabah diri

Janganlah merasa diri lebih baik dari orang lain. Anggapan demikian adalah pegangan syaitan.

Iblis ketika diperintah Allah supaya sujud kepada Adam, dia berkata,aku lebih baik dari Adam. Engkau jadikan aku daripada api, sedangkan Adam engkau jadikan dari tanah.’


Surah Al Aaraf ayat 12

Apabila merasa diri lebih baik dari orang lain maka timbul sifat takbur. Orang takbur tidak senang jika dirinya diberi nasihat. Dia ego. Menggunakan bahasa kasar, terutama menunjukkan kelebihan dirinya.

‘Ujub adalah juga penyakit hati. Orang ‘ujub memandang dirinya lebih mulia dan lebik baik dari orang lain. Dia memandang orang lain sangat hina. Dia selalu mengatakan perkataan yang menunjukkan dirinya lebih baik dari orang lain. Dia sebenarnya meniru cara iblis itu tadi.

Alamatnya nyata dalam majlis atau perhimpunan dia mengangkat dirinya dan menggap dirinya lebih berkebolehan dari orang lain.

CARA RAWATAN

Bagi mengelakkan kedua sifat ini, maka sentiasalah bersifat terbuka kerana orang yang baik itu sebenarnya baik di sisi
Allah.

Nasihat Imam Ghazali:

1 Apabila melihat seseorang, anggap dia lebih baik di sisi Allah kerana dia ada beberapa kelebihan dianugerahi Allah.

2 Apabila melihat orang yang lebih muda hendaklah engkau berkata di dalam hati ‘budak ini belum pernah membuat maksiat, sedangkan aku telah banyak buat dosa.’ Maka tidak syak lagi dia adalah lebih baik daripadaku.

3 Apabila melihat orang yang lebih tua darimu, maka hendaklah engkau berkata, ‘Orang ini menyembah Allah lebih dahulu daripadaku, maka tidak syak lagi dia lebih baik daripadaku.

4 Apabila melihat orang alim, maka hendaklah engkau berkata,’Orang alim ini telah dikurniakan bermacam pemberian yang tidak dikurniakan kepadaku dan dia telah sampai ke mertabat yang aku tidak sampai kepadanya, dan ia mengetahui perkara yang tidak aku ketahui. Maka betapa aku boleh sama dengannya.

5 Apabila melihat orang yang jahil maka hendaklah engkau berkata, orang jahil itu berbuat maksiat kapada Allah dengan sebab jahilnya, tetapi aku mengerjakan maksiat dalam keadaan berilmu, maka Allah boleh berhujjah ke atasku.

6 Apabila melihat orang kafir, hendaklah engku berkata, ‘Aku belum tahu lagi, boleh jadi dia masuk Islam lalu ia mengakhiri hidupnya dengan ‘husnul khatimah’ – mati dalam keadaan yang baik- Dengan dia masuk Islam itu, maka telah keluar segala dosanya yang lalu. Sedangkan aku boleh jadi berubah, mencari jalan sesat setelah mendapat pertunjuk.

Bidayatul Hidayat –Imam Ghazali

email: wadenko@yahoo.com