P

February 8, 2011

DIDIK ANAK DALAM TIGA PERKARA

CINTAI NABI, KELUARGANYA DAN TILAWAH AL QURAN

Ali bin Abi Talib berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda, ‘Didiklah anak-anakmu dalam tiga perkara: mencintai nabimu, mencintai ahli keluarga nabi, dan membiasakan diri membaca Al Quran. Pembaca Al Quran berada di sisi Arasy bersama para anbiya dan asfiya pada hari yang tiada perlindungan melainkan perlindungan Allah.

Riwayat At Tabarani.

Hadtih ini mengemukakan tiga perkara yang perlu diberi keutamaan dalam pendidikan.

Pertama: Mencintai Nabi Muhammad s.a.w.

Kedua: Mencintai keluarga Baginda s.a.w.

Ketiga: Melazimkan diri membaca Al Quran

Mencintai Nabi Muhammad s.a.w. bermakna mengikut syariatnya, cara hidupnya dan semua pengajaran daripadanya. Apa yang disuruhnya hendaklah diikuti. Apa yang dilarangnya hendaklah dijauhi.

Mencintai ahli keluarganya untuk menimbulkan penghormatan dan kasih kepada mereka. Abu Bakar As Siddik, adalah bapa mertuanya apabila baginda berkahwin dengan Aishah r.a. Umar Al Khattab r.a. adalah mertua Baginda juga, kerana baginda berkahwin dengan anaknya Hafsah r.a. Usman Bin Affan r.a. adalah menantunya. Usman r.a. menikahi anak baginda, Rukiah dan kemudian Ummu Kalthum r.a. selepas Rukiah r.a. meninggal.

Ali bin Abi Talib r.a. adalah menantu Baginda, kerana Ali r.a. menikahi anak Baginda, Fatimah Azzahraa r.a.

Dengan itu Abu Bakar As Siddik, Umar Al Khattab, Usman bin Affan dan
Ali bin Abi Talib adalah keluarga Nabi s.a.w.

Membiasakan diri membaca Al Quran adalah amalan yang mulia. Di hari akhirat, Al Quran akan datang kepada tuan yang membacanya memberi syafaat.

Dari Abi Umamah r.a. katanya, ‘Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda,

‘Bacalah Al Quran, kerana Al Quran itu akan datang di hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada orang-orang yang membacanya.

Riwayat Muslim.