P

February 28, 2011

MEGAH BANGLO

HARTA WARIS LEBIH DICINTAI

Dari Ibn Mas’ud r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda,

‘Siapakah yang mengasihi harta warisnya melebihi kasih hartanya sendiri? Para sahabat menjawab, ‘Ya Rasulullah, kami lebih mencintai harta kami!

Maka sabda Baginda s.a.w. ‘Hartanya ialah apa yang telah ia belanjakan. Harta waris adalah apa yang disimpannya.

Hadith riwayat Bukhari.

Di dalam hadith ini Rasulullah s.a.w. menjelaskan hakikat pemilikan harta seseorang. Semasa hidup biasanya seseorang itu dengan megah mendakwa, ‘Itu hartanya, ini ladangnya, itu kenderaan atau banglonya. Namun Baginda Rasulullah s.a.w. memberi takrif yang berbeza.

Menurut Baginda s.a.w. apa yang telah kita belanjakan, itulah harta kita. Mithalnya seseorang telah membelanjakan hartanya untuk membina sebuah masjid, atau bersedekah. Maka itulah sebenar hartanya. Kerana pahala dari hartanya itu sudah pasti miliknya.

Sebaliknya pula, wang yang belum dibelanjakan, seumpama simpanan di dalam bank, belum tentu miliknya. Jika dia meninggal dunia, maka wang itu sudah menjadi harta peninggalan yang akan dibahagi antara warith menurut hukum faraidh.

Seseorang itu sangat sayang hartanya yang belum dibelanjakan. Sedangkan dia belum tau, adakah harta itu miliknya atau milik warithnya. Sekiranya dibelanjakan untuk jalan Allah maka, nyatalah itu hartanya yang kekal di bawa ke akhirat.

Oleh kerana itu untuk dapat harta yang banyak, segeralah belanjakan di jalan Allah.