P

February 6, 2011

HIDUP BERMASYARAKAT

MENGHORMATI TETAMU

Dari Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda,

‘Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya. Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menghubungkan silaturahim kaum kerabatnya. Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia berkata yang baik atau hendaklah dia diam.

Riwayat Bukhari

Hadith ini menunjukkan cara hidup bermasyarakat dan berkeluarga. Islam bukan agama yang mementingkan hak individu. Mala Islam mengutamakan kehidupan sosial bersifat global.

Tidaklah sempurna iman kepada Allah dan hari akhirat, sekiranya seseorang itu hidup menyendiri seperti kera sumbang. Hadith ini menggalakkan seseorang sentiasa menghormati hak kejiranan dan saudara yang datang bertamu. Dengan demikian hak kejiranan tetap terpelihara dan hidup penuh mahabbah.

Perkara kedua disebutkan dalam hadith ini ialah pentingnya hubungan akrab ahli keluarga dan sanak saudara. Tegur menegur, nasihat menasihati dalam perkara agama adalah amat bermakna terhadap keakraban kaum keluarga. Ini dapat dihidupkan dalam suasana berjamaah melalui solat dan tilawah al Quran.

Tutur kata adalah alat komunikasi yang sangat berkesan dalam kehidupan keluarga, jiran dan masyarakat. Tutur kata yang baik dan mulia menambat rasa ukhuwah dan perpaduan sesama insan.

Tutur kata yang jahat dan buruk membawa kepada perselisihan dan permusuhan. Sikap berdiam diri lebih baik dari mengeluarkan kata-kata jahat seperti dusta, fitnah dan menghasut.