P

June 1, 2009

KEUTAMAAN MEMBACA AL QURAN

PEMBACA AL QURAN BERSAMA MALAIKAT

Dari Aisyah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Orang yang membaca Al Quran dan ia sudah mahir bacaannya, maka ia adalah bersama para malaikat yang mulia. Orang yang membacanya, tetapi tidak lancar dan sukar membacanya, maka ia mendapat dua pahala.

Hadith Muttafaq Alaihi.

Dalam Hadith ini Rasulullah s.a.w. menerangkan bahawa orang-orang yang membaca Al Quran sangat tinggi darjatnya di sisi Allah s.w.t. Orang-orang yang mahir membaca Al Quran dengan bacaan menurut kaedah yang betul serta beramal dengan isi kandungannya, kelak mendapat kedudukan mulia bersama para malaikat.

Ini menunjukkan bahawa baginda amat menggalakkan umatnya mempelajari bacaan Al Quran dengan cara yang betul dan berusaha memahami kandungannya. Seterusnya dikehendaki beramal dengan isi kandungannya.

Selain dari itu, bagi orang-orang yang menghadapi kesukaran dalam mempelajari Al Quran, maka disediakan dua pahala untuknya. Ini bermakna, orang-orang yang lemah dalam belajar Al Quran, tetapi masih gigih mempelajarinya, maka diberi galakkan mendapat ganjaran yang lebih dari Allah s.w.t.

PENGAJARAN

1. Al Quran adalah kitab suci yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. untuk disampaikan kepada seluruh umat.

2. Setiap umat Islam mesti meyakini isi kandungan kitab Al Quran, kerana ia adalah salah satu rukun iman.

3. Setiap umat Islam wajib mempelajari kitab Al Quran: bacaan dan makna isi kandungannya.

4. Membaca Al Quran adalah ibadah dan diberi pahala kepada orang yang membacanya.

5. Orang-orang yang mahir membaca Al Quran dan mengamalkan isi kandungannya akan dapat penghormatan di akhirat kelak.

6. Orang-orang yang sukar mempelajari Al Quran akan diberi ganjaran dua kali ganda dari orang biasa.