P

June 29, 2009

KEUTAMAAN MENUNTUT ILMU



JANGAN JADI ORANG KELILMA


Dari Abu Bakrah r.a., dari Nabi s.a.w. katanya,


“Jadikanlah dirimu orang yang alim (berilmu), atau orang yang menuntut ilmu, atau orang yang selalu mendengar pengajian agama, atau orang yang mencinta ketiga-tiga golongan terdahulu. Dan janganlah kamu jadi golongan kelima kerana dengan itu engkau akan binasa.

(Hadis Riwayat Al Bazzar)

Dalam hadis ini ada empat jenis manusia yang disebut oleh Rasulullah s.a.w.

Pertama orang yang berilmu, kedua suka menuntut ilmu, ketiga suka mendengar majlis ilmu, ke empat cinta kepada ketiga-tiga golongan tadi.

Rasulullah tidak menyatakan siapakah golongan kelima itu. Tetapi nyata mereka adalah golongan yang sesat, tidak mendapat pertunjuk malah hidup mereka akan binasa.

Dengan akal yang sihat dapat dianggarkan bahawa golongan kelima itu adalah mereka yang anti ilmu, benci ulama dan para guru, memusuhi mereka dan sentiasa menghalang penyebaran ilmu-imu agama melalu sekolah agama atau majlis-majlis pengajian lainnya.

Kesan dalam kehidupan bagi golongan kelima itu nyata apabila mereka ditimpa kemusnahan, kecelakaan dan kebinasaan. Di dunia mereka menerima petaka yang buruk, sementara di akhirat mereka akan menerima azab dari Allah s.w.t. terhadap apa yang mereka lakukan.


PENGAJARAN


1. Menuntut ilmu adalah wajib
2. Ilmu agama lebih diutamakan
3. Ilmu dunia perlu untuk mengurus diri, keluarga, masyarakat dan negara
4. Menuntut ilmu tiada had tempoh tamatnya.
5. Menuntut ilmu dan memberi galakan menuntut ilmu adalah sesuatu yang mulia.




2 KEWAJIPAN MENUNTUT ILMU









Dari Anas bin Malik r.a.katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda:

Menuntut ilmu adalah suatu fardhu yang wajib ke atas tiap-tiap seorang Islam. (Hadis Riwayat Ibn Maja dan lainnya).


Semua bentuk urusan agama dari sekecil-kecilnya hinggalah kepada pentabiran negara, tidak akan sempurna tanpa ilmu. Para rasul dan nabi sendiri dibimbing oleh Allah dengan ilmu.

Firman Allah,


“Dan Allah mengajarkan ilmu tentang segala sesuatu kepada Adam (Surah Al Baqarah 31).

Imam Syafie dan Imam Al Ghazali menyatakan, tidak sah ibadat seseorang tanpa mempelajari segala hukum-hukum mengenai ibadat itu. Tidak sah sembahyang dilakukan seseorang sehinggalah ia mengetahuinya dengan jelas ibadat tersebut. Akan jadi sia-sialah pekerjaannya.

Tanpa ilmu manusia akan mengalami kepincangan malah kebinasaan dalam hidupnya sama ada pada urusan agama atau urusan dunianya.

Ilmu agama itu pula mestilah dipelajari dan diterima dari mereka yang benar-benar sah ilmunya serta berkelayakan dan ikhlas dalam penyampaiannya.

Menerima ilmu dari ulama atau guru yang tidak muktabar akan menyebabkan kesesatan dan bencana di dunia dan juga diakhirat.

Berwaspadalah terhadap orang yang menjual sedikit ilmunya untuk kepentingan diri dan dunianya.