P

June 17, 2009

KISAH ANAK JUTAWAN

MUS’AB BIN UMAIR

MUS’AB adalah anak seorang jutawan di Mekah. Dia dibesarkan dalam kehidupan yang mewah kerana ibu bapanya ahli perniagaan. Sehelai pakaiannya dianggarkan berharga dua ratus dirham. Dialah seorang pemuda yang paling maco dan bergaya di kota Mekah.

Dia menjadi pengikut Muhammad s.a.w. dan memeluk Islam tanpa diketahui oleh ibu bapanya. Namun akhirnya berita itu sampai juga ke pengetahuan mereka. Ibu bapanya mengikat Mus’ab dan mengurungnya di rumah beberapa lama.

Sekian lama Mus’ab merengkok di rumah hingga badanya susut, rangka tubuhnya menyebabkan orang menggeleng kepala melihatnya. Saban hari dia berusaha melepaskan dirinya dari ikatan yang membelenggu badannya.

Akhirnya tanpa disedari kedua ibu bapanya,dia dapat melepaskan diri. Dia kemudian menjadi pengikut setia Muhammad s.a.w.

Di dalam peperangan Uhud, Mus’ab di tugaskan memegang bendera Islam. Dia berada diatas bukit Uhud mengebarkan bendera tersebut. Seorang musuh Islam datang menetak tangan kanannya yang memegang bendera. Tangannya putus. Tercampak diatas tanah berlumuran debu dan darah.

Mus’ab tetap bertahan. Dia terus memegang bendera dengan tangan kiri tanpa mempedulikan tangan kanan yang sudah tercampak keatas debu-debu tanah.

Sang musuh tidak berpuas hati. Di sangkanya bendera Islam sudah jatuh bagi menandakan kalahnya pasukan tentera Islam. Tetapi dia melihat bendera itu masih berkibar lagi di tangan kiri Mus’ab.

Musuh Islam terus menerpa Mus’ab lalu menetak tangan kirinya yang memegang bendera Islam. Dia tidak berupaya mengelak kerana sudah cedera di tangah kanan. Dengan tetakan kuat dari pedang tajam musuh, tangan kiri Mus’ab putus.

Bendera Islam hampir jatuh ke tanah. Mus’ab masih tabah dan cekal. Dia maklum jika bendera itu jatuh ke tanah maka bererti kemenangan di pihak musuh. Kekalahan di pihak Islam.

Mus’ab segera mengepit bendera itu dengan kedua lengannya yang masih ada. Dia tetap berdiri dengan gagahnya di atas bukit itu.

Namun seorang musuh lain telah memanah Mus’ab dan menembusi dadanya menyebabkan dia hampir-hampir rebah. Seorang tentera Islam yang hampir denganya segera mencapai bendera yang dipegangnya itu dan terus menjulang dengan lafaz takbir.

Dengan izin Allah s.w.t. Mus’ab gugur syahid disitu juga.

Ketika dia hendak dikebumikan, suasana sangat muram. Kesedihan meliputi para sahabat. Kain yang menutupi jenazahnya amat singkat. Diiabaratkan kalau ditutup kaki, terbuka kepala. Jika ditutup kepala terbuka kakinya.

Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda,

‘Selimutkanlah kepalanya, dan tutuplah kakinya dengan dau-daun azkhar.’
Atas nasihat dari Rasulullah s.a.w. itu akhirnya jenazahnya dikebumikan dengan selamat.

Inilah kisah seorang lelaki yang semasa hidupnya pernah memakai pakaian berharga dua ratus dirham, tetapi ketika wafatnya kain sehelaipun tidak dapat menutup seluruh badan.

Namun Mus’ab adalah seorang yang syahid. Disunting dari Fadhail Aamal.