P

May 30, 2009

MEMBACA SATU HURUF AL QURAN

Dari Ibn Mas’ud r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Barangsiapa yang membaca satu huruf dari kitab Allah (Al Quran) maka ia mendapat satu kebaikan, sedang satu kebaikan itu pula dibalas dengan sepuluh kali ganda. Aku tidak mengatakan alif lam mim itu satu huruf, bahkan alif adalah satu huruf, lam itu satu huruf dan mim itu pun satu huruf juga.

Riwayat At Tarmizi

Di dalam Hadith ini Rasulullah s.a.w. menerangkan bahawa membaca Al Quran adalah ibadah yang sangat bermanfaat kepada seseorang. Setiap kali seseorang itu membaca satu huruf Al Quran ia pasti mendapat pahala kebaikan dari Allah s.w.t.

Rasulullah s.a.w. menjelaskan lagi bahawa pahala membaca Al Quran bukan terhenti setakat itu sahaja, malah ia akan dilipatgandakan sepuluh kali lagi bagi tiap-tiap bacaan tersebut.

Sebagai galakan kepada orang yang membaca Al Quran itu, Rasulullah s.a.w. menerangkan bahawa yang dimaksudkan satu huruf bukan seperti permulaan surah dengan alif lam mim.
Menurut baginda, alif dikira satu huruf. Lam itu juga dikira satu huruf dan demikian juga mim dikira satu huruf.

Tegasnya setiap huruf yang dibaca itu akan diberi ganjaran pahala oleh Allah s.w.t. dengan sepuluh kali ganda banyaknya.


PENGAJARAN

1- Al Quran adalah kitab suci lagi mulia mengandungi wahyu-wahyu yang disampaikan oleh malaikat Jibrail kepada Nabi Muhammad s.a.w.
2- Setiap umat Islam wajib belajar membaca Al Quran dengan kaedah yang betul.
3- Setiap umat Islam juga wajib mempelajari isi kandungan Al Quran.
4- Membaca Al Quran adalah ibadah dan diberi ganjaran berlipat ganda oleh Allah s.w.t.