P

June 9, 2009

AMAL IBADAT YANG KEKAL

TIGA MENGIRINGI JENAZAH

Dari Anas bin Malik r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda,


“Tiga perkara akan mengiringi orang yang mati hingga ke kuburnya. Dua daripadanya akan balik dan satu yang tinggal bersamanya. Dia diiringi oleh keluarganya, hartanya dan amalannya. Keluarga dan hartanya akan pulang dan tinggallah amalannya bersamanya.”

(Riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi dan An
Nassai).



Hadith ini menjelaskan keadaan apabila seseorang meninggal dunia. Menurut kelazimannya, selepas jenazah dimandikan, dikapankan dan disembahyangkan, dia akan diusung ke tanah perkuburan.

Dia akan diikuti oleh tiga perkara. Pertama kaum keluarga, sahabat handai dan rakan sekerjanya.


Kedua diikuti oleh hartanya seumpama kereta dan lain-lain kelengkapan miliknya, atau bintang kebesarannya. Ketiganya ia diikuti oleh amalan-amalan semasa hayatnya.

Dua yang terdahulu itu akan kembali, selepas selesai urusan pengkebumian mayatnya. Kaum keluarga dan sahabat handainya akan pulang meninggalkannya. Hartanya, kereta dan segala bintang kebesarannya juga akan dibawa pulang.

Yang tinggal bersamanya di dalam kubur ialah amalannya itu. Kiranya amalan yang dibawanya berupa kebajikan, maka berbahagialah ia. Jika sebaliknya, maka akan disiksalah ia.

Dalam hadis yang lain baginda bersabda, apabila mati anak Adam, maka putuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat yang diajarkannya dan anak-anak soleh yang mendoakannya.


PENGAJARAN

1. Setiap yang hidup akan menemui ajalnya jua.

2. Selain dari menguruskan jenazah itu, orang-orang Islam dikehendaki menghormatinya dengan mengiringinya hingga ke kuburnya.

3. Harta yang banyak tidak memberi faedah kepada si mati jika tidak disedekahkan atau dibelanjakan di jalan Allah.

4. Apabila mati seseorang Islam, maka putuslah amalannya kecuali sedekahnya yang berkekalan, ilmu yang dimanfaatkan dan anak salih yang mendoakannya.

5. Ajal dan maut adalah ketentuan dari Allah s.w.t.