P

January 4, 2009

SEDEKAH KIAN PUPUS



KEMATIAN kadang-kadang menjadi pendorong orang suka bersedekah. Bila datang ke rumah orang mati, akan ternampak dua tiga jag putih diletakkan depan rumah, di tengah rumah dan di sisi jenazah.



Orang yang datang berziarah pun mula memenuhkan jag itu dengan wang-wang kertas. Jarang orang hulurkan wang syiling. Kerana tempat letak jag itu terdedah kepada pandangan mata ramai, maka jag itu banyak menampung wang besar belak.


Nampak sangAt mudahnya orang menghulurkan ‘sedekah’ kepada keluarga si mati.



Keluarga berkenaan pun bermurah hati bersedekah kepada orang yang menyembahyangkan jenazah. Semasa menadah tangan sambil mengaminkan doa imam lepas sembahyang jenazah, para jamaah dihulurkan wang kertas oleh waris terdekat tuan rumah. Semua yang sembahyang mendapat habuan termasuk imam.



Di tanah perkuburan sekali lagi orang yang mengiringi jenazah, mendapat sedekah dari keluarga ketika mengangkat tangan mengaminkan doa tahlil.



Namun senario ini banyak dilihat kira-kira sedekad yang lalu. Kini jarang-jarang lagi tersua sedemikian. Di rumah orang mati tak ramai orang memenuhkan jag yang disedikan. Tetapi di masjid atau lepas sembahyang jenazah pun tidak ada orang yang bersedekah.

Malah di kubur pun, lepas imam membaca talqin dan tahlil orang ramai sapu punggung dan terus pulang.



Yang menjadi tanda tanya, adakah semangat suka bersedekah itu kian pudar?


Bukankah sedekah itu boleh melepaskan seseorang dari azab api neraka. Malah Rasulullah menyatakan bersedekahlah walau dengan sebelah tamar sekali pun.


Haji Kamaluddin bin Md. Zin- kamalzin@yahoo.com