P

January 3, 2009

PASCA HIJRAH

Dengan peristiwa hijrah ke Madinah, baginda Rasulullah s.a.w. membina suatu tapak baru dalam kehidupan umat Islam dan seterusnya membentuk sebuah negara Islam yang unggul.

Pengalaman 13 tahun menjalankan dakwah dan seruan di Mekah, adalah amat bermanfaat dalam kepimpinan Rasulullah s.a.w. seterusnya. Kerana itulah Rasullah s.a.w. mengambil beberapa strategi penting dalam menyusun semula kehidupan umat Islam di Madinah.

Antara langkah penting yang diambil baginda ialah memupuk semangat kekitaan dengan lambang kita bersaudara. Dengan dorongan dari Rasulullah s.a.w. orang-orang Aus dan Khazraj dapat disatukan.

Orang Mekah yang berlindung di Mekah digelar Muhajirin, penghijrah. Orang Madinah disebut golongan Ansar, yang melindungi. Hungunan mereka dipererat dengan sekukuhnya.

Orang-orang Ansar di Madinah sanggup kahwin dengan orang dari Mekah, walaupun orang Mekah itu miskin, daif dan datang ke Madinah sehelai sepinggang.

Orang-orang Mekah yang digelar Muhajirin dengan mudah diterima sebagai saudara oleh orang-orang Madinah yang digelar Ansar.

Semangat kekitaan itu diperkukuh dengan firman Allah

“innamal Mukminum ikhwatun’ ...

‘Orang-orang Mukmin itu adalah bersaudara antara satu sama lain, maka perbaikilah perhubungan persaudaraan itu. Mudah-mudahan kamu mendapat rahmat.

(Al Hujurat ayat 10)

Amalan bersaudara ini menjadikan umat Islam semakin mantap, kerana bahagian penting komposisi warga Madinah adalah terdiri dari keluarga besar yang ada hubungan saudara mara, ipar duai dan anak menantu.

Rasulullah juga memperkemas lagi hubungan persaudaraan itu dengan mengaitkannya kepada iman. Malah hubungan persaudaraan itu hendaklah sampai ke hari akhirat.

Sabada baginda,

‘Tidak masuk syurga kamu, kecuali kamu beriman. Tidak beriman kamu, kecuali kamu berkasih sayang sesama saudara kamu.’

(Riwayat Muslim).

Malah baginda pernah menyatakan,

‘Tidak sempurna iman kamu, kiranya kamu tidak mengasihi saudaramu seperti mana kamu mengasihi diri sendiri.’

Demikianlah hidup bersaudara yang dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w.

Langkah seterusnya yang diambil oleh Rasulullah s.a.w. ialah mendidik umat supaya sentiasa berkasih sayang antara satu sama lain. Asas pendidikan kasih sayang bukan saja sesama insan tetapi merentasi makhluk-makhluk ciptaan Allah s.w.t.

Dengan sifat kasih sayang, persengketaan dapat dielakkan, pergaduhan dapat dileraikan. Sifat suka menganiaya dan membuli orang lain dapat dinyahkan dari diri seseorang.

Baginda pernah ditegur oleh seorang bernama Aqra’ kerana mencium cucu-cucunya iaitu Hassan dan Hussin. Baginda menjawab, ‘Siapa yang tidak menyayangi maka tidak akan disayangi.

Rasulullah s.a.w. juga menitikberatkan kehidupan berjiran. Ia adalah faktor penyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan umat seluruhnya.

Baginda mengajarkan bahawa jiran itu hampir-hampir sama dengan ahli keluarga. Ia perlu dikasihi dan disayangi serta diambil berat segala kepentingannya.

Baginda mengajarkan supaya keperluan jiran dan perasaan jiran hendaklah diambil berat, walaupun kadang-kadang nampak remeh.

Baginda pernah menegur Abu Zar r.a., ‘Wahai Abu Zar, kalau memasak makanan banyakkan kuahnya, supaya dapat dibagi-bagi kepada jiran.

Demikian lembutnya Rasulullah s.a.w. mendidik para sahabat supaya sentiasa menjaga kebajikan jiran. Ini jelas menunjukkan bahawa berkongsi rahmat dan rezeki dari Allah itu amat dituntut kita melakukannya supaya kita sentiasa dalam keredhaan Allah.

Para wanita juga pernah ditegur baginda supaya jangan menghina seseorang yang bersedekah, walaupun yang disedekahkan itu hanya kaki kambing. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Baginda juga selalu mengingatkan umatnya supaya jangan suka menyakiti hati jiran.

‘Kalau beriman dengan Allah dan hari akhirat, buat baiklah dengan jiran. Kalau beriman dengan Allah dan hari akhirat, muliakanlah tetamu, kalau beriman dengan Allah dan hari akhirat ucapkan kata-kata yang baik. Jika tidak, eloklah diam.

(Riwayat Muslim).

Pembangunan modal insan adalah salah satu perkara penting yang diberi keutamaan oleh Baginda, khususnya setelah berhijrah ke Madinah. Ini ternyata dalam beberapa hadith baginda yang menggalakkan umat Islam sentiasa menuntut ilmu.

Baginda Rasulullah s.a.w. mengaitkan ilmu bukan saja untuk kepentingan duniawi, tetapi juga adalah jalan bagi seseorang untuk mendapat peluang ke syurga di akhirat kelaka.

Sabda baginda s.a.w.

‘Barangsiapa yang berusaha mencari jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah mudahkannya jalan-jalan ke syurga.’

Riwayat Tarmizi.

Malah dalam hadith lain baginda menyatakan bahawa menuntut ilmu adalah FARDHU bagi tiap-tiap orang Islam.

Dengan ini jelas bahawa dalam menuntut ilmu, umat Islam perlu ada keseimbangan antara ilmu mengenai urusan dunia dan ilmu mengenai urusan akhirat.

Hijrah juga adalah proses membawa manusia kembali kepada fitrah semula jadinya iaitu sebagai pemimpin atau KHALIFAH

Seorang khalifah semestinya mempunyai wibawa dan kemampuan untuk memimpin diri sendiri dan memimpin orang lain. Tidaklah layak dia menjadi khalifah, jika dia gagal memimpin dirinya apatah lagi diri orang lain.

Kerana itulah baginda Rasulullah s.a.w. bersabda,

‘Tiap kamu adalah pemimpin dan bertanggung jawab ke atas pimpinannya. Setiap lelaki adalah pemimpin dan bertanggung jawab terhadap ahli keluarganya. Seorang perempuan juga adalah pemimpin dan bertanggung jawab di dalam rumah suaminya. Seorang hamba atau orang gaji juga adalah bertanggung jawab ke atas harta majikannya. Ketahuilah bahawa setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu dipersoal tentang kepimpinannya.

Riwayat Bukhari dan Muslim

Beberapa pengajaran dapat kita ambil dari hijrah Rasulullah s.a.w.

Diantaranya ialah:

  1. Bahawa manusia perlu kembali kepada fitrahnya diciptakan iaitu sebagai khalifah, pemimpin kepada diri, keluarga dan juga orang lain.
  2. Untuk menjadi seorang khalifah (pemimpin) yang berjaya, diri mestilah dilengkapi dengan ilmu yang mencukupi baik mengenai urusan dunia maupun hal akhirat.
  3. Selain dari ilmu yang mencukupi, kita juga perlu ada komitmen dan rasa tanggung jawab yang mendalam terhadap orang dibawah tanggungan kita.
  4. Selain itu, setiap individu di dalam masyarakat hendaklah sentiasa mengamalkan nilai kasih sayang dan perpaduan dalam sebarang tindakan supaya perasaan muhibbah dapat dikekalkan dan agama Islam dapat dipertahankan.

Dengan yang demikian, mudah-mudahan kita dapat hidup aman sejahtera, maju jaya dan seterusnya diridhai Allah dari dunia sampai ke akhirat.

Haji Kamaluddin Md. Zin, kamalzin@yahoo.com