P

January 6, 2009

HADIS PALSU MENUNTUT ILMU

KENALI HADITH PALSU DAN DHAIF

PENYEBARAN hadith-hadith palsu kini masih terus berlaku melalui media cetak seperti akhbar dan majalah, serta media elektronik termasuk radio dan televisyen.

Dalam pada itu mimbar khutbah khususnya pada hari Jumaat, juga menjadi tempat kerap kali hadith palsu disebarkan.

Antara hadith palsu yang kerap didengar dari khutbah dan dipapar dalam media cetak ialah sabda Rasulullah yang bermaksud, ‘Tuntutlah ilmu walau ke negeri China.’

Hadith ini adalah diragui kesahihannya. Seorang pengkaji hadith, Drs Abdul Ghani Azmi Haji Idris telah menukil beberapa pendapat ulamak tentang hadith ini. Dalam bukunya berjudul ‘Himpunan Hadith Dhaif dan Maudhu’ (palsu) terbitan 1999 beliau memetik pendapat Al Albani bahawa hadith tersebut adalah maudhu’ (palsu). Ini kerana di dalam sanadnya terdapat Abu Atikah iaitu Tharif bin Sulaiman yang disepakati ulama akan kedhaifannya.

Al Uqaili pula memandangnya sangat dhaif. Al Bukhari berkata, Abu Atikah mungkar hadithnya.

Kata An Nassai, dia tidak thiqah Kata Abu Hatim: dia zahibul hadith

As Sulaimani menyebut dia dikenal antara orang yang membuat hadith.

Sementara Imam Ahmad bin Hanbal sangat mengingkari hadith ini.

Semua pendapat ini sebenarnya terhimpun dalam kitab Al Maudhuaat yang dikarang oleh Abdur Rahman bin Ali Al Jauzi Al Quraisyi.

Drs Abdul Ghani telah memilih beberapa hadith palsu yang ‘popular’ dan menghimpunkannya dalam buku beliau dengan diberi ulasan dan pandangan ulamak-ulamak hadith mengenainya.

Satu lagi hadith palsu yang sering digunakan dan tersebar meluas ialah sabda Rasulullah yang bermaksud, ‘Orang alim (berilmu) itu 70 kali lebih tinggi darjatnya dari orang kaki ibadat.

Al Albani mengatakan hadith ini sangat dhaif.

Kadang-kadang hadith yang direka-reka dan tersebar juga dikira sampai ke peringkat melampau. Misalnya, dikatakan bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud, ‘Duduk-duduk bersama ulama adalah suatu ibadah.’

Menurut Al Albani hadith ini sangatlah dhaif.

Malah kalau difikirkan dengan otak yang waras pun, tidak semudah itu seseorang mendapat pahala ibadah.

Satu lagi hadith yang agak popular terutama di musim pilihanraya ialah dikatakan Rasulullah bersabda yang bermaksud, ‘ Dua golongan manusia yang apabila keduanya baik maka baiklah manusia seluruhnya, dan apabila keduanya rosak, maka rosaklah manusia seluruhnya; iaitu para ulama dan para umara’ (pemimpin)

Kata Al Albani hadith ini adalah maudhu’

Ada juga disebut-sebut bahawa kata-kata berikut sebagai hadith: ‘Duduk bersama orang alim seakan-akan duduk bersama seorang nabi.’

Kata Assakhawi dalam kitabnya, Al Maqasid, ‘Aku tidak tau asalnya.


- Disunting oleh Kamaluddin Md. Zin

RUJUKAN:

# Riadhus Salihin, Imam An Nawawi

# Himpunan Hadis Dhaif dan Maudhu’

(Oleh Drs. Abdul Ghani Azmi Haji Idris

Terbitan Al Hidayah Publishers, Kuala Lumpur 1999).