P

March 14, 2011

PENDIDIKAN AKHLAK ANAK-ANAK

2. SUKA MENCURI

Anak-anak mencuri dengan sengaja atau tidak sengaja. Biasanya tabiat mencuri ini adalah lanjutan dari sifat dusta. Seorang yang dengan bebas suka bercakap bohong akhirnya akan mencuri. Apabila seseorang sentiasa bercakap bohong tanpa sekatan dan tanpa ada orang yang menegur dan menegahnya, maka terbukalah ruang baginya untuk mencuri.

Pepatah Melayu menyebut: Siakap sinohong,

gelama ikan duri.

Bercakap bohong,

lama-lama mencuri.

Memang pada hakikatnya orang yang mencuri itu telah biasa berbohong. Kerana itulah bila disiasat dan ditanya adakah dia mencuri, maka dia akan berbohong membuat penafian.

Tabiat suka mengambil hak orang lain tanpa sah ini berkembang sejak dari kecil, kerana ibu bapa tidak perihatin terhadap segala barang yang ada pada tangan anaknya. Dari kecil mereka tidak diasuh mengenal hak dan kewajipan memelihara harta. Malah ibu bapa tidak peka tentang bahaya memiliki barangan yang bukan hak mereka atau hak anak-anak mereka.

Contoh mencuri kecil-kecilan:

# curi pensel kawan, buku atau pemadam

# curi buah jirah

# curi dalam kedai – hingga ke pasar raya

# curi basikal/motor

UJIAN

Perhatikan apa yang berlaku apabila anak-anak dibawa bertandang ke rumah jiran. Mereka tertarik dengan barang mainan anak jiran. Apa terjadi ketika keluar atau pulang meninggalkan rumah jiran?

KISAH ABDUL QADIR JAILANI

Abdul Qadir seorang tokoh sufi terkenal, diberi ibunya 40 dinar untuk pergi belajar. Dia meninggalkan Mekah menuju Baghdad untuk menuntut ilmu. Di tengah jalan dia dirompak sekumpulan penjenayah. Semua harta bendanya disamun. Seorang perompak bertanya, ‘Apa yang engkau ada?

Abdul Qadir menjawab dengan jujur, ‘Aku ada 40 dinar.’

Perompak itu tidak menghiraukan jawapannya.

Perompak lain pula bertanya soalan yang sama. Dijawab Abdul Qadir dengan jawapan yang sama.

Ketua perompak pula bertanya, Abdul Qadir memberikan jawapan serupa.

Ketua Perompak bertanya, ‘Mengapa engkau bercakap benar?

Abdul Qadir menjawab bahawa ibunya mengajarnya bercakap benar dan melarangnya berdusta.

‘Ibuku berwasiat supaya bercakap benar. Aku telah berjanji untuk mematuhi wasiat itu. Aku takut mengkhianati janji itu.’ Demikian tegas jawapan Abdul Qadir.

Ketua perompak itu merasa gerun mendengar jawapan tersebut. Dia insaf dan berkata, ‘Engkau takut hendak mengingkari janji ibumu. Sedang aku tidak taku mengkhianati janjiku kepada Allah.

Ketua Perompak itu tiba-tiba mengarahkan semua pengikutnya supaya memulangkan segala harta yang disamun mereka.

Katanya, ‘Sekarang juga aku bertaubat kepada Allah s.w.t. dihadapanmu!

Para pengikutnya pula berkata, ‘Engkau ketua kami semasa merompak. Sekarang engkau ketua kami juga apabila kami semua bertaubat.’ (Abdullah Nasih Ulwan).

KHALIFAH UMAR MENGUJI GEMBALA

Abdullah bin Dinar meriwayatkan, ‘Aku dalam perjalanan ke Mekah bersama Umar Al Khattab r.a. Kami bertemu dengan seorang gembala mengiringi banyak kambing. Maka Umar hendak mengujinya dengan berkata, ‘Hai gembala, jualkanlah kepadaku seekor kambing itu.

Gembala itu menjawab, ‘Hai Tuan, saya hanyalah hamba tukang jaga kambing ini. Ia milik tuan saya.

Umar berkata, ‘Jika ditanya oleh tuanmu, katakanlah kambing itu di makan serigala!

Gembala itu menjawab, ‘Wahai Tuan, di manakah Tuhan?

Umar lantas bercucuran air mata mendengar jawapann itu. Lalu diikutnya gembala itu pulang. Dia membeli hamba itu lalu membebaskannya.

(Nasih Ulwan).



APAKAH UNTUNGNYA MEROKOK?

PEROKOK TIDAK BOLEH MENGUASAI DIRINYA, YANG MENGUASAI DIRINYA ADALAH NAFSUNYA.

FIKIRKANLAH!