P

March 21, 2011

MEMBERSIH HATI DARI KEKOTORAN

Binasa akibat riya’

Baginda Rasulullah s.a.w. mensifatkan riya’ ini sebagai syirik khafie (Syirik yang tersembunyi).

Syirik yang nyata ialah percaya kepada kuasa selain dari Allah s.w.t.

HUKUM: Riya’ nyata hukumnya haram menurut majoriti ulama'.

Allah berfirman dalam surah Al Ma''un.

1. Tahukah Engkau akan orang yang mendustakan ugama (meliputi hari pembalasan)?

2. orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim,

3. dan ia tidak menggalakkan untuk memberi makanan Yang berhak diterima oleh orang miskin.

4. (Kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan ugama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang ahli sembahyang -

5. (laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya;

6. (juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riak (bangga diri).

Surah Al Ma’un

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda, ‘Tahukah kamu siapa yang muflis (bankrap)?

Para sahabat menjawab, ‘Orang yang muflis di kalangan kami ialah mereka yang tidak ada dirham dan tidak ada harta.’

Maka Baginda s.a.w. bersabda lagi,

‘Sesungguhnya orang muflis di kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat dengan membawa pahala solat, puasa dan zakat. Namun dia juga membawa dosa memaki hamun, menuduh orang, memakan harta orang, menumpahkan darah, memukul orang. Maka diambil pahala kebajikannya lalu diberikan kepada orang-orang itu. Kemudian bila habis pahala kebajikan itu sebelum habis dibayar kesalahan yang ditanggungnya, maka diambil kesalahan orang yang dianiaya itu dan ditimpakan keatasnya. Lalu ia dihumbankan ke dalam api neraka.

Hadith riwayat Muslim.

SENGSARA ORANG YANG RIYA’

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda,

‘Antara manusia yang mula dibicarakan di hari kiamat ialah yang gugur syahid di medan perang. Dia dibawa mengadap Allah dan dinyatakan nikmatNya dan dia mengaku menerimanya. Allah bertanya, ‘Apa yang engkau lakukan terhadap nikmat itu?

Dia menjawab, ‘Aku berperang untukMu hingga aku gugur syahid.

Allah berfirman, ‘Engkau berdusta, sebenarnya engkau berperang supaya orang mengatakan engkau gagah berani. Dan engkau sudah dapat gelaran itu.

Dia diseret dalam keadaan tertiarap lalu dihumban ke neraka.

Seorang yang menuntut ilmu dan mengajarkan ilmu serta membaca Al Quran di bawa mengadap Allah dan dinyatakan segala nikmat yang telah diberikan kepadanya. Allah bertanya, ‘Apa yang telah engkau lakukan dengan nikmat itu?

Dia menjawab, ‘Aku telah menuntut ilmu dan mengajarkannya serta membaca Al Quran.

Allah berfirman, ‘Engkau berdusta, sebenarnya engkau menuntut ilmu supaya dikatakan engkau itu orang alim. Engkau baca Al Quran supaya diakatakan engkau itu seorang qari’. Dan engkau sudah dapat gelaran itu.

Dia diseret dalam keadaan tertiarap lalu dihumban ke neraka.

Kemudian seorang yang dimewahkan Allah dengan rezeki harta dibawa mengadap. Allah bertanya tentang segala nikmat yang telah diberikan kepadanya. ‘Apa yang telah engkau lakukan?

Dia menjawab, ‘Semua jalan untuk keridhaanmu telah aku belanjakan.’

Allah berfirman, ‘Engkau berdusta. Engkau lakukan supaya orang mengatakan engkau itu dermawan. Dan engkau sudah dapat gelaran itu.

Dia diseret dalam keadaan tertiarap lalu dihumban ke neraka.

Riwayat Muslim, Tarmizi dan An Nassai.

Hadith ini menyatakan bahawa orang-orang yang melakukan amalan dengan riya’, yakni menuntut kepujian dari manusia, maka balasannya adalah neraka jahanam.

Riya' adalah kerja hati - hati yang kotor adalah sarang riya'. Hati yang kotor tidak akan dapat bertaqwa. Untuk bertaqwa hendaklah hati dibersihkan dari sebarang kekotoran (mazmumah) termasuk riya'.

Rujukan:

Abdullah Basmeh, Mustika Hadith 1.116

Abdus Samad Falembani, Hidayatus Salikin