P

May 8, 2009

RUMAH YANG TENANG

Uqbah bin Amir berkata,
‘Aku bertanya ‘Wahai Rasulullah, apakah keselamatan itu?

Baginda menjawab,

‘Peliharalah lidahmu (dari sebarang yang memudaratkanmu), hendaklah rumahmu mendatangkan ketenangan padamu, dan tangisilah kesalahanmu.
(Riwayat Termizi – Al Azkar 663)


Maksud pertanyaan Uqbah selamat itu ialah selamat di dunia dan selamat di akhirat. Maka Rasulullah s.w.a. menyatakan bahawa selamat adalah untuk kedua-duanya sekali.


Hendak selamat di dunia maka jagalah lidah. Lidah yang menyebabkan manusia rosak. Pepatah Melayu banyak menyebut tentang bencana lildah. Lidah bercabang bagi orang yang engkar janji. Lidah tidak bertulang bagi orang yang suka mempermainkan kata-kata.

Kerana lidah badan binasa.

Kerana lidah juga manusia terseret ke neraka.


Mu’az bin Jabal pernah bertanya kepada Rasulullah,

‘Adakah apa-apa yang kami ucapkan diambil kira dan diberi pembalasan?

Rasulullah menjawab,

‘Ibumu kehilanganmu. Tiada orang yang tersungkur mukanya ke dalam api neraka melainkan adalah kerana tutur kata dari lidahnya.’

(Riwayat Termizi - al azkar 664)

Rumahtangga adalah tempat mencari ketenangan. Itu yang dinyatakan oleh Rasulullah kepada Uqbah. Malah Baginda pernah menganggap tempat tinggalnya sebagai ‘Rumahku Syurgaku’.

Jika rumah tidak mendatangkan ketenangan kepada penghuninya maka kembalilah ke pangkal jalan iaitu syariat dan sunnah Rasulullah s.a.w.

Hindarilah sebarang perbuatan maksiat di dalamnya.
Banyakkan zikir dan tilawah Al Quran.
Hidupkan sunnah dan amalkan cara hidup berjamaah menurut Islam.,

Terakhir yang dipesan oleh Rasulullah kepada Uqbah ialah supaya menangisi akan sebarang kesilapan dan kesalahan yang telah dilakukan.

Mafhumnya. untuk menimbulkan penyesalan terhadap sebarang kesalahan atau maksiat yang dilakukan, hendaklah ia ditangisi. Kerana dengan menangis, keinsafan akan lebih mendalam. Dengan itu timbul keinginan yang bersungguh-sungguh untuk taubat kepada Allah s.w.t.