P

May 27, 2009

TIGA JALAN SELAMAT

Untuk keselamatan dunia dan akhirat.
(AN NAJATU MINAN NAR)

Uqbah bin Amir r.a. berkata,
‘Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w.,

‘Wahai Rasulullah, apakah keselamatan itu?

Baginda s.a.w. menjawab,

‘Peliharalah lidahmu (dari sebarang yang memudaratkanmu), hendaklah rumahmu mendatangkan ketenanganmu, dan tangisilah kesalahanmu.”

(Riwayat Termizi – Al Azkar 663)

Dalam hadith ini Baginda Rasulullah s.a.w. menjelaskan jalan-jalan yang boleh menyelamatkan seseorang dari azab.

Pertama: Lidah selalunya membawa bencana kepada manusia kerana pertuturan yang diucapkannya. Oleh yang demikian Rasulullah menasihatkan supaya menahan lidah dari bertutur dengan perkara yang boleh memudaratkan.

Perkara yang memudaratkan akibat pertuturan ialah kata-kata yang mendatangkan dosa dan kemungkaran. Dengan menjaga lidah manusia akan selamat di dunia dan juga akhirat.

Hal kedua yang disebut oleh Rasulullah ialah ‘rumah yang membahagiakan’. Sayugia diingat, rumah adalah tempat tinggal atau tempat berteduh. Tempat berehat, mencari ketenangan (sakinah) dan yang penting sekali rumah adalah tempat mengasuh dan mendidik keluarga.

Oleh kerana itu rumah sepatutnya mendatangkan kebahagiaan, ketenangan dan keselesaan kepada penghuninya. Suasana rumahtangga yang tidak aman tenteram, menimbulkan pelbagai masalah kepada penghuninya. Ini akan membawa kepada kerosakan sistem keluarga dan akhirnya menjadi porak puranda.

Antara perkara yang boleh mengeruhkan suasana rumahtangga ialah:

1. Tidak menghidupkan amalan sunnah di dalam rumah
2. Rumah tidak dibacakan ayat-ayat suci Al Quran
3. Tidak mendirikan solat.
4. Melakukan perkara maksiat di dalam rumah
5. Tidak berzikir di dalam rumah
6. Hiburan diluar batas syarak
7. Pakaian, makanan dan barang-barang yang haram

Untuk mendatangkan kebahagiaan rumahtangga hendaklah; menghidupkan sunnah Rasulullah s.a.w. Sentiasa membaca dan dibacakan Al Quran

Sentiasa solat berjamaah.
Membanyakkan amalan salih dan bersedekah

Perkara ketiga yang disebut Rasulullah s.a.w. ialah jalan bertaubat.
Sabda Baginda, ‘Tangisilah kesilapanmu.’

Menyesali akan diri sendiri terhadap sebarang kesilapan atau kesalahan yang dilakukan adalah satu cara yang ditunjukkan oleh Rasulullah untuk bertaubat kepada Allah.

Tangisan adalah tanda penyesalan, dengan itu mudah-mudahan akan bangkit rasa insaf yang mendalam untuk meninggalkan perkara yang mendatangkan dosa itu.

Wallahu a’alam.