P

May 19, 2009

MUFLIS DI AKHIRAT

SIAPAKAH ORANG MUFLIS



Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?

Sahabat-sahabat baginda menjawab, “Orang muflis di kalangan kami ialah orang yang tidak ada dirham (wang) dan tidak ada harta benda.”

Nabi s.a.w. bersabda,

“Sebenarnya orang muflis di kalangan umatku ialah yang datang di hari kiamat membawa pahala sembahyang, puasa dan zakat, sedang datangnya itu dengan kesalahan (dosa) memaki hamun orang ini dan menuduh orang itu, memakan harta orang ini (cara haram) dan menumpahkan darah orang itu (cara haram), dan juga memukul orang. Maka akan diambil dari pahala amal kebajikannya lalu diberikan kepada orang-orang itu. Kiranya habis pahala amal kebajikannya sebelum habis dibayar (hutang) kesalahannya, maka akan diambil pula dosa orang yang dianiayanya itu serta ditimpakan ke atasnya. Akhirnya ia dihumbankan ke dalam neraka.

(Hadith riwayat Tarmizi)

Hadith ini menceritakan keadaan bagaimana manusia dihisab amalnya di hari akhirat. Setiap amalan akan dikira dan diberi ganjaran yang setimpal oleh allah s.w.t.

Amal kebajikan akan dibalas dengan syurga. Sedangkan perbuatan jahat, mungkar atau maksiat akan dibalas dengan azab neraka.

Apabila seseorang melakukan kejahatan atau aniaya terhadap orang lain, maka orang itu akan menuntutnya di akhirat kelak. Lalu pahala kebajikannya akan diberikan kepada orang yang dianiayai itu.

Jika di dunia dia mengambil harta orang secara haram, maka di akhirat pahala kebajikannya akan diberikan kepada tuan punya harta yang diambilnya itu menurut kadarnya.

Demikian juga jika dia melakukan khianat terhadap orang lain, maka pahala kebajikannya akan diberikan kepada orang itu.

Akhirnya habislah pahala kebajikan (dari ibadat dan lainnya) yang dibawanya. Nyatalah dia sudah menjadi muflis. Tetapi ‘hutang’nya masih banyak terhadap orang lain. Maka sebagai ganti, dosa orang yang dianiaya itu dihumbankan keatasnya.

Pahala sudah habis, dosa orang lain pun ditanggung, maka sudah pasti dia dihumbankan ke dalam neraka.

PENGAJARAN

1. Setiap amal perbuatan manusia, baik atau jahat adalah dicatit oleh para malaikat dan akan
dihisab di hari akhirat.
2. Hendaklah sentiasa menambah amal kebajikan sebagai bekal di hari akhirat kelak.
3. Hendaklah sentiasa berlumba membuat kebajikan dan berusaha meninggalkan segala
kejahatan.
4. Setiap perbuatan jahat hendaklah segera disusuli amal kebajikan.
5. Sentiasa taubat kepada Allah atas segala kesalahan.