P

April 4, 2011

MEMBERSIH JIWA DARI SIFAT MAZMUMAH

TAKBUR (Membesarkan diri)

Amaran dari Allah kepada mereka yang suka takabbur, membesar diri disebutkan dalam Al Quran.

72. (setelah itu) dikatakan kepada mereka: "Masuklah ke pintu-pintu neraka jahannam itu dengan keadaan tinggal kekal kamu di dalamnya; maka seburuk-buruk tempat bagi orang-orang yang sombong takbur ialah neraka jahannam. Az zumar 72

Tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang mereka-reka perkara-perkara yang dusta terhadap Allah, atau mendustakan kebenaran setelah kebenaran itu disampaikan kepadaNya. Bukankah neraka jahannam disediakan tempat tinggal bagi orang-orang yang kafir? Al Ankabut 68.

Rasulullah s.a.w. dalam satu hadithnya dengan tegas menyatakan,

‘Tidak masuk syurga orang yang di dalam hatinya sehalus biji sawi dari sifat takbur. Riwayat Muslim.

Sifat takbur lahir dari rasukan syaitan. Al Quran merakamkan peristiwa takburnya Iblis apabila diperintahkan Allah sujud kepada Nabi Adam a.s.

12. Allah berfirman: "Apakah penghalang yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?" Iblis menjawab: "Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (Wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dia dari tanah." Al A’araf 12

Pada sangkaan Iblis api itu lebih mulia dari tanah. Dia menggunakan ukuran nilai makhluk, bukan ukuran nilai khalik yakni Allah s.w.t.

Hakikat takbur itu ialah ‘seseorang itu melihat dirinya terlebih tinggi, terlebih besar dan terlebih mulia dari orang lain. Orang lain pada pandangannya rendah dan hina daripadanya.

Tanda orang takabur itu ada kalanya pada perkataan. Mithalnya seseorang yang takbur berkata, ‘Aku lebih baik dari si polan.’ ‘Aku lebih mulia dari si polan.

Seperti kata Iblis, Ana khairun minhu. Al Aaraf12

Ada kalanya tanda takbur itu nyata pada kedudukan. Orang takbur itu suka meninggikan kedudukannya dari orang lain.

Ada pula masanya nyata sifat takbur itu pada masa berbicara. Tidak mahu kalah bila berhujah. Tidak mahu mengikut pandangan orang lain walaupun pendapatnya salah.

Tanda orang takbur juga ialah, dia tidak boleh ditegur. Dia akan marah. Dia menegur orang lain dengan keras dan kasar.

MUHASABAH

Barangsiapa yang melihat dirinya lebih mulia dari manusia lain, atau lebih lebih mulia dari haiwan sekalipun, maka itu dia adalah takbur.

Orang yang mulia itu adalah yang mulia di sisi Allah (Al Hujurat ayat13).

BAGAIMANA HENDAK MENGUKUR DIRI TAKBUR?

Kata Imam Ghazali,

1. Apabila melihat seseorang, anggap dia lebih baik di sisi Allah kerana dia ada beberapa kelebihan dianugerahi Allah.

2. Apabila melihat orang yang lebih muda hendaklah engkau berkata di dalam hati ‘budak ini belum pernah membuat maksiat, sedangkan aku telah banyak buat dosa.’ Maka tidak syak lagi dia adalah lebih baik daripadaku.

3. Apabila melihat orang yang lebih tua darimu, maka hendaklah engkau berkata, ‘Orang ini menyembah Allah lebih dahulu daripadaku, maka tidak syak lagi dia lebih baik daripadaku.

4. Apabila melihat orang alim, maka hendaklah engkau berkata,’Orang alim ini telah dikurniakan bermacam pemberian yang tidak dikurniakan kepadaku dan dia telah sampai ke mertabat yang aku tidak sampai kepadanya, dan ia mengetahui perkara yang tidak aku ketahui. Maka betapa aku boleh sama dengannya.

5. Apabila melihat orang yang jahil maka hendaklah engkau berkata, orang jahil itu berbuat maksiat kapada Allah dengan sebab jahilnya, tetapi aku mengerjakan maksiat dalam keadaan berilmu, maka Allah boleh berhujjah ke atasku.

6. Apabilamelihat orang kafir, hendaklah engku berkata, ‘Aku belum tahu lagi, boleh jadi dia masuk Islam lalu ia mengakhiri hidupnya dengan ‘husnul khatimah’ – mati dalam keadaan yang baik- Dengan dia masuk Islam itu, maka telah hapus segala dosanya yang lalu. Sedangkan aku boleh jadi berubah, mencari jalan sesat setelah mendapat pertunjuk.

Bidayatul Hidayat –Imam Ghazali

Rujukan:

Al Quran

Abdullah Basmeh, Mustika Hadith 1.116

Abdus Samad Falembani, Hidayatus Salikin

Bidayatul Hidayah.