P

April 17, 2011

HAK DAN TANGGUNG JAWAB MUSLIM TERHADAP DIRI DAN KELUARGA

TAZKIRAH

MENDAPATKAN RAWATAN

Menjaga kesihatan badan adalah suatu kewajipan. Sekiranya ditimpa apa-apa penyakit hendaklah segera mendapatkan rawatan dan berubat.

Sabda Nabi s.a.w.

‘Tiap penyakit itu ada ubatnya. Apabila ubat itu sesuai dengan penyakit, ia akan sembuh dengan izin Allah s.w.t. – riwayat Muslim dan Ahmad (Nasih 251).

Usamah bin Syarik berkata, ‘Saya berada di sisi Rasulullah s.a.w. bila tiba satu rombongan orang Arab dusun, mereka bertanya kepada Rasulullah, ‘Apakah kami mesti berubat?

Baginda s.a.w. menjawab, ‘Benar wahai hamba Allah. Berubatlah kamu. Sesungguhnya Allah azza wa jalla tidak menjadikan penyakit, melainkan dijadikannya juga ubat, kecuali satu penyakit? Mereka bertanya, ‘Apakah dia?

Maka jawab Baginda, ‘Tua.’ Hadith riwayat Ahmad dan An Nasai.

Hadith ini menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. menyuruh umatnya berubat ketika sakit. Selain menurunkan penyakit, Allah juga menyediakan ubatnya. Maka manusia hendaklah berusaha mencari ubat tersebut.

Tua adalah usia lanjut yang dianggap Rasulullah s.a.w. sebagai penyakit. Tidak ada ubat bagi menyembuhkannya.

Abu Daud meriwayatkan bahawa Kharijah bin As Salt dan pakciknya berkata,

‘Aku datang menemui Nabi s.a.w. lalu masuk Islam. Kemudian pulang. Di tengah jalan aku bertemu dengan satu kaum dan bersama mereka ada orang gila yang dipasung dengan besi. Keluarganya berkata, ‘Kami diberitahu bahawa sahabatmu itu ada membawa kebaikan. Adakah kalian mempunyai sesuatu yang boleh mengubati orang ini?

Maka aku ubatinya dengan bacaan Fatihatul Kitab (Surah Al Fatihah), maka diapun sembuh. Mereka menghadiahkan aku seratus ekor kambing.

Aku datang menemui Nabi s.a.w. dang memberitahukannya hal itu. Lalu baginda bersabda, ‘Apa lagi yang kau baca?

Jawabku, ‘Tidak ada.

Maka sabda Baginda, ‘Ambillah kambing-kambing itu, demi Allah umurku di dalam genggaman Tuhan. Ada orang yang memakan upah dari pengubatan yang batil, tetapi sesungguhnya engkau memakan hasil upah dari pengubatan yang hak (halal). Riwayat Abu Daud (Al Azkar 258).

Hadith ini menunjukkan kewajipan untuk berubat selain dari kewajipan menolong mengubati orang lain.

Harus juga menerima upah dari usaha mengubati orang secara benar seperti yang dinyatakan dalam hadith.

Hadith juga menjadi dalil harus berubat dengan ayat-ayat Al Quran Al Karim.

BERUBAT DENGAN BAHAN DAN CARA YANG HALAL

Ada orang berubat dengan benda haram seperti arak dan seumpamanya.

Rasulullah s.a.w. melarangnya. Ada orang berhujah di depan Baginda, bahawa dia mengambil arak hanya sebagai ubat.

Baginda menjawab, ‘Sesungguhnya dia itu bukan ubat, tetapi dia adalah penyakit. Riwayat Muslim dan Ahmad. (Nasih 281)

Dalam hadith yang lain Baginda bersabda,

‘Seungguhnya Allah menurunkan penyakit dan ubat, dan dia menjadikan bagi tiap penyakit itu ada ubatnya, maka berubatlah, tetapi jangan berubat dengan yang haram. Riwayat Abu Daud.

Baginda juga menegaskan,

‘Sesungguhnya Allah tidak menjadikan penawar diri kamu dari benda-benda yang diharamkan ke atas kamu.
Riwayat Bukhari.