P

November 17, 2010

KORBAN UNTUK AGAMA

TELADAN yang ditunjukkan oleh para rasul terdahulu membuktikan bahawa pengorbanan adalah suatu tuntutan yang sangat mulia. Yang dikorbankan bukan sahaja harta benda, malah juga nyawa.

Di zaman Rasulullah s.a.w., para sahabat sanggup mengeluarkan harta benda untuk menegakkan agama Islam. Mereka menghulurkan bantuan untuk peperangan, menyumbang ribuan unta dan kuda serta peralatan perang, demi mencari keredhaan Allah s.w.t.

Mereka turut berjuang di medan perang demi cinta kepada agama Allah dan RasulNya. Pilihan mereka tidak lain dari menang atau mati syahid.

Diriwayatkan bahawa Saidina Abu Bakar r.a. pernah mendermakan seluruh hartanya untuk jihad. Apabila diketahui oleh Rasulullah s.a.w., baginda bertanya,

‘Apa yang tinggal pada engkau?

Saidina Abu Bakar r.a. menjawab, ‘Aku ada Allah dan RasulNya.’

Mafhumnya bahawa Allah s.w.t. dan Nabi Muhmmad s.a.w. itu lebih utama dari segala harta dunia ini.

Dalam hal mengorbankan nyawa kerana agama, maka Al Quran banyak merakamkan peristiwa yang boleh menjadi teladan kepada seluruh umat.

Nabi Ibrahim dipilih Allah untuk menunjukkan contoh ketaatan yang tidak berbelah bagi kepada Allah s.w.t.

Kemuncak ujian yang diterima Ibrahim ialah apabila Allah s.w.t. memerintahkannya menyembelih anaknya Ismail.

Apabila perintah itu diberitahukan , anaknya Ismail dengan tegas ia menjawab,

‘Lakukanlah apa yang diperintahkan. Insya Allah ayah akan dapati daku dari kalangan orang yang sabar. (As Safat 102).

Nabi Ibrahim menyangka bahawa perintah Allah itu benar-benar untuk menyembelih anaknya yang dikasihinya itu. Semua peralatan menyembelih disediakan. Tiada sebarang gentar dirasai oleh kedua-dua mereka walaupun Ibrahim telah merebahkan anaknya di atas tanah dan parang berada di leher Ismail.

Allah menerima ketaatan yang tulin dari Ibrahim dan anaknya Ismail. Lalu firmanNya,

‘Wahai Ibrahim , engkau telah menyempurnakan maksud perintah Kami. Sesungguhnya inilah perintah yang nyata. Dan Kami tebuskan anaknya itu dengan sseekor hewan yang besar - Surah As Safat 105

Allah gantikan tempat Ismail itu dengan seekor ternakan qurban.

Gambaran yang dipaparkan oleh Al Quran itu mencabar tingkat ketaatan dan semangat korban setiap mukmin.

Visit: Albaiyinah.blogspot.com