P

November 27, 2010

BAKTI KEPADA IBU BAPA

Penderitaan ibu bapa membesarkan anak digambarkan Allah dalam firmanNya Surah Al Ahqaf ayat 15:

15. dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah, dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah tiga puluh bulan.

Allah memerintahkan manusia supaya berkhidmat bakti kepada ibu bapa:

“Dan Tuhanmu memerintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai usia tua dalam peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar), sekalipun perkataan ‘uh’ . Dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi ucapkanlah kepada mereka perkataan mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah mereka, dengan berkata, “Wahai Tuhanku, cucurkanlah rahmat kepada mereka berdua seperti mereka mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku ketika kecil.” (Surah al-Israk ayat 23-24).


Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud r.a katanya:


‘Aku pernah bertanya Rasulullah SAW: Apakah amalan paling utama?

Baginda bersabda: ‘Sembahyang pada waktunya.

Aku bertanya lagi: ‘Kemudian apa lagi?

Baginda bersabda: ‘Berbakti kepada kedua ibu bapa.

Aku bertanya lagi: ‘Kemudian apa lagi?

Baginda bersabda: ‘Berjuang pada jalan Allah.

Kemudian aku bertanya lagi kepada baginda, semata-mata ingin menemani dan menjaga perasaan Baginda. (Riwayat Muslim)
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru bin al-'As r.a katanya:

Rasulullah SAW bersabda, ‘Antara dosa besar ialah seorang lelaki mencerca ibu bapanya.’

Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Adakah akan berlaku seorang lelaki memaki-hamun ibu bapanya?

Rasulullah SAW menjawab dengan bersabda:

‘Ya. Seorang lelaki memaki hamun bapa seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu memaki kembali bapanya. Begitu juga sekiranya seorang lelaki memaki hamun ibu seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu juga akan memaki hamun ibunya. (Riwayat al-Bukhari- jamrah)
MENDERHAKA
Rasulullah SAW menganggap perbuatan menderhaka kepada ibu bapa sebagai dosa besar selepas syirik. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a. katanya: Nabi SAW pernah menceritakan tentang dosa besar:

Baginda bersabda, “Ia itu Menyengutukan Allah, menderhaka kepada ibu bapa, membunuh dan berkata dengan kata palsu.” (semuanya itu dosa besar). Riwayat Muslim

Abul-Laith Assamarqandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Ibn Abbas r.a. berkata:

"Tiada seorang mukmin mempunyai kedua ibu bapa lalu ia pagi-pagi taat dan baik pada keduanya melainkan Allah s.w.t. membukakan untuknya daun pintu syurga, dan tidak mungkin Allah s.w.t. ridha padanya jika salah satu ibu atau bapanya murka kepadanya . Ditanya orang, ‘Meskipun orang tua itu zalim?

Jawabnya: ‘Meskipun zalim’. (Tanbih).

Abdullah bin Umar r.a. berkata: "Seorang datang kepada Nabi Muhammad s.a.w dan berkata: "Saya ingin berjihad (perang fisabilillah)."

Nabi Muhammad s.a.w. bertanya:

"Apakah kedua ibu bapamu masih hidup?"

Jawabnya: "Ya, kedua-duanya."

Sabda Rasulullah s.a.w.: "Di dalam melayani keduanya ada jihad.’

Hadis ini menunjukkan bahawa taat bakti kepada orang tua itu lebih besar daripada jihad fisabilillah. Kerana itu maka seseorang tidak boleh keluar untuk juhad jika tidak diizinkan oleh kedua orang tuanya selama panggilan jihad itu tidak umum, maka tetap taat kepada orang tua lebih afdhal dari jihad fisabilillah.

Bahz bin Hakim dari ayahnya dari neneknya berkata: "Saya tanya kepada Rasulullah s.a.w.: "Ya Rasulullah, siapakah harus saya taat?"

Jawab Rasulullah s.a.w.: "Ibumu."

Kemudian siapakah? tanya saya lagi.

Jawab Rasulullah s.a.w.: "Ibumu."

Saya bertanya sekali lagi.

Rasulullah s.a.w. menjawab: "Ibumu."

"Kemudian siapa?" tanya saya lagi."

Rasulullah s.a.w. menjawab: "Ayahmu, kemudian yang terdekat dan kerabat."

ADAB KEPADA IBU BAPA

Imam Ghazali menggariskan adab kepada ibu bapa seperti berikut:

1 mendengar dan mengikut segala perkataan ibu bapa dan segala yang disuruh.

2 Hendaklah berdiri kerana menghormatinya

3 Jangan berjalan dihadapan

4 Jangan mengangkat suara lebih dari suara ibu bapa

5 Segera menjawab panggilan ibu bapa dengan sopan dan membesarkannya, seumpama ‘Saya bapa, saya ibu.

6 Bersungguh-sungguh memelihara keridhaannya, sama ada perkataan atau perbuatan.

7 Jangan mengungkit segala kebajikan (pemberian atau pertolongan) yang diberikan kepadanya

8 Jangan memandang mereka denganpandangan marah atau menyakitinya

9 Jangan memasamkan muka didepan mereka kerana marah

10 Jangan musafir melainkan denganizin ibu bapa, kecuali keran menunaikan haji wajib dan menuntut ilmu.

KHIDMAT KEPADA IBU BAPA SELEPAS MATI

- Mengurus janazah

- Mendoakannya

- Memjelaskan hutang

- Membayar nazar

- Melaksanakan haji

- Menghubungkan silaturrahim dengan rakannya

Seorang lelaki bertanya kepada Rasullah s.a.w. ‘Apakah khidmatku terhenti setelah ibu bapaku meninggal?

Baginda s.a.w. menjawab, ‘Lakukan empat perkara: doakan mereka, mohonkan keampunan untuk mereka, penuhi perjanjian mereka, muliakan sahabat-sahabat mereka, hubungkan silaturrahim dengan yang kenal mereka- Riwayat Muslim.

Dari Abdullah bin Abbas, katanya ‘Seorang perempuan bertanya,

‘Ya Rasulullah bahawasanya fardu haji dari Allah kepada ayahku tiba waktu usia sangat tua. Tidak mampu naik kenderaan. Apakah aku boleh mengerjakan haji gantinya.

Baginda s.a.w. menjawab, ‘Iya.’

Yang demikian adalah pada haji wada’ (Bukhari – Abu Jamrah)

SEDEKAH BAGI ARWAH IBU

Dari Ibn Abbas bahawa ibu Saad bin Ubadah telah meninggal sedangkan Saad pada masa itu tidak hadir. Saad berkata kepada Rasulullah,

‘Ya Rasulullah, ibu ku meninggal sedang aku tiada. Adakah dia dapat menfaat jika aku sedekahkan sesuatu?

Rasulullah s.a.w. menjawab, ‘Iya.’

Maka kata Saad, ‘Aku menyaksikan kepadamu Ya Rasulullah, kebunku yang dikenali sebagai Al Mikhraf, untuk sedekah ibuku. Bukhari – Ibn Jamrah

Ibnu Abbas menceritakan seorang perempuan dari suku Juhainah bertanya Rasulullah s.a.w.

‘Ibuku telah bernazar untuk mengerjakan haji hingga dia meninggal (tidak dapat menunaikannya). Bolehkah saya mengerjakan haji untuk ibuku itu?

Rasulullah s.a.w. menjawab, ‘Ya boleh, buatkanlah haji untuknya. Bagaimana pendapatmu, kalau ibu mu ada meninggalkan hutang? Tidakkah engkau yang membayar hutang itu. Oleh itu hendaklah engkau membayar hutang ibumu kepada Allah, kerana hutang kepada Allah lebih utama dilangsaikan.