P

October 1, 2010

MENGAPA MENANGIS

MENGAPA menangis ketika kehilangan sesuatu yang disayangi?

Anak, isteri, keluarga, harta dan kebun ladang adalah ujian dari Allah.

Firman Allah s.w.t.

‘Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut kepada musuh dan dengan merasai kelaparan, dan dengan berlakunya kekurangan harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang Yang sabar. Al Baqarah 155.

Kesemuanya adalah hak Allah. Semuanya akan kembali kepadaNya.

Namun Rasulullah s.a.w. juga ada kalanya menangis.

Suatu hari Ibn Mas’ud dipanggil Rasulullah s.a.w.

‘Wahai Ibn Mas’ud, Bacakanlah kepada saya Al Quran!

Ibn Mas’ud berkata,

‘Adakah patut aku membacakan kepada Tuan. Sedangkan ia diturunkan kepada Tuan.

Baginda Rasulullah s.a.w. menjawab,

‘Sesungguhnya saya merasa senang sekali mendengar orang lain membacakannya untuk saya.

Mendengar kata-kata ituk, maka Ibn Mas’ud pun mula membaca. Dipilihnya Surah An Nisaa dari ayat pertama. Baginda Rasulullah s.a.w. meneliti bacaan Ibn Mas’ud dan merasa tenang dengan bacaan itu.

Ibn Mas’ud pula meneruskan bacaannya dengan penuh hati-hati. Selang sebentar dia melihat wajah Rasulullah, untuk memastikan bacaannya itu betul.

Namun apabila sampai pada ayat ke 41 surah tersebut, Rasulullah s.a.w. bersabda,

‘Cukuplah, cukuplah tu.’

Maka Ibn Mas’ud pun berhenti membaca. Dia mendongak dan melihat wajah Rasulullah.

Kata Ibn Mas’ud, saya lihat air mata Baginda Rasulullah berlinangan.

Mafhum Surah An Nisaa ayat 41,

‘Maka bagaimanakah (Keadaan orang-orang kafir pada hari akhirat kelak), apabila Kami datangkan dari tiap-tiap umat seorang saksi (iaitu Rasul mereka sendiri menjadi saksi terhadap perbuatan mereka), dan Kami juga datangkan Engkau (Wahai Muhammad) sebagai saksi terhadap umatmu ini? An Nisaa 41.

- Jumaat 22 Syawal 1431