P

September 16, 2010

BOLEHKAH TAHAN LAMA

MUHASABAH AIDILFITRI (2)

UNIKNYA ibadah puasa, kerana ia dipatuhi hampir seratus peratus. Dari mula waktu imsak, orang berjaga-jaga dan berhati-hati. Takut terlajak.

Siangnya pula, meludah sana sini, takut tertelan air liur. Dan hendak menunjukkan kepada orang lain yang dia itu berpuasa.

Tidak bercakap banyak, takut batal puasa. Entah kerana letih atau haus.
Mungkin ingat lagi ustaz membaca hadith Rasulullah s.a.w.
''Kalau berpuasa janganlah melakukan perkara keji atau menjerit-jerit tak tentu hala. Kalau ada orang yang memaki dan mengutukmu katakanlah 'Aku sedang puasa.

Bila berjalan pun tunduk saja ke tanah, takut hilang pahala memandang wanita cantik, tambah pula yang tidak menutup aurat.

Yang nyata sangat dipatuhi iallah 'masa berbuka'. Boleh kata tiada yang melengah-lengahkannya.

Berbeza dengan ibadah sembahyang. Kadang-kadang ia dilakukan di penghujung waktu. Nak jimat masa. Habis saja salam terus menyambung sembahyang yang berikutnya.

Sembahyang tarawih pun, masjid dan surau jadi penuh. Tetapi kebanyakannya minggu pertama Ramadhan sahaja. Malah malam pertama, sampai melimpah dan tidak cukup sajadah.

Amalan bertadarus juga agak rancak. Tetapi sebelum tujuh lekor sudah khatam. Al Quran disimpan semula dalam almaari.

Kewajipan membayar zakat fitrah seiring ibadah puasa itu juga sangat dipatuhi oleh umat Islam. Pertengahan Ramadhan sudah ramai yang menunaikan zakat fitrah. Sifat pemurah dan suka bersedekah itu dilanjutkann di pagi Syawal, hingga kanak-kanak jadi 'ketagih' berziarah dari rumah ke rumah, walaupun sudah masuk hari ketujuh raya.

Pendek kata, pendidikan Ramadhan sebulan itu dikira berjaya membentuk sakhsiah seorang muslim bagi mencapai tingkat taqwa seperti yang disebut dalam ayat 183 suratul Baqarah.

Andainya diibaratkan sebagai bateri, adakah kesan ibadah puasa itu dapat berterusan. Adakah ia TAHAN LAMA.

Bolehkah dilakukan muhasabah pada hari ketujuh - yakni seminggu selepas kita merayakan kemenangan itu.

Rasulullah s.a.w. telah mengingatkan,
'Berapa ramai orang yang berpuasa, tetapi tidak didapati apa-apa dari puasanya kecuali dahaga semata-mata. Berapa ramai orang yang menghidupkan malam Ramadhan, kecuali penat berjaga sahaja.

email: wadenko@yahoo.com