P

October 6, 2010

MUS'AB ANAK JUTAWAN

TINGGALKAN KEKAYAAN KERANA AKIDAH

Anak seorang jutawan Mekah, Mus’ab bin Umair hidup dalam keadaan mewah. Dialah pemuda paling hebat di Mekah dengan sehelai pakaiannya dianggarkan berharga dua ratus dirham. Ibu bapanya menyediakan segala keperluannya dari barang yang berkualiti dan mahal. Mereka sangat menyayanginya.

Namun tanpa diketahui oleh kedua orang tuanya, dia secara sembunyi telah menemui Nabi Muhammad s.a.w. dan masuk Islam.

Ibu bapanya merasa amat marah dan kecewa. Mereka bertindak mengurung dan mengikatnya dengan tujuan tidak membiarkan Mus’ab pergi menemui Nabi Muhammad s.a.w.

Lonjakan iman dalam jiwanya menguatkan semangat Mus’ab. Dengan takdir Allah dia dapat melepaskan diri, lalu meninggalkan rumah yang penuh dengan kemewahan itu demi akidah yang benar.

Dia lebih mengutamakan akidah dari ibu bapa dan kemewahan yang mellimpah ruah.

Suatu ketika sedang Nabi Muhammad s.a.w. duduk berehat, Mus’ab melintas di hadapan Baginda. Keadaannya sangat dhaif. Pakaiannya compang camping, bertampal-tampal. Orang yang melihatnya sungguh merasa kasihan.

Baginda Rasulullah s.a.w. merasa amat terharu. Dengan linangan air mata, baginda menceritakan bagaimana suatu masa dulu sebelum masuk Islam, Mus’ad adalah anak orang hartawan bergelumang dengan kemewahan.

Dalam satu peristiwa di Medan Uhud, beliau adalah seorang tentera yang ditugaskan memegang bendera Islam. Ketika tentera Islam hampir tewas diserang musuh, Mus’ab terus memegang bendera Islam dengan gagahnya.

Dia tetap berdiri di tempat yang dikhaskan mengibarkan bendera dan memberi semangat kepada bala tentera Islam. Tiba-tiba seorang musuh Islam datang secara mengejut lalu menetak tangannya yang memegang bendera. Jika bendera itu jatuh ke tanah bermakna tentera Islam tewas sama sekali.

Mus’ab tidak menghiraukan tangannya telah kudung itu. Dia segera memegang bendera itu dengan tangannya yang sebelah lagi. Lalu bendera itu tetap berkibar dengan memegahnya. Sekaligus menandakan tentera Islam belum kalah.

Musuh Islam masih tidak berpuas hati, lalu menetak tangan Mus’ab yang memegang bendera itu. Dengann itu kedua-dua tangannya kontong. Mus’ab dengan semangat kepahlawanannya memeluk kayu bendera itu ke dadanya dengan tangannya yang kudung itu. Dengan itu bendera terus berkibar.

Namun seorang tentera musuh dengan bengisnya melontarkan lembing kearah Mus’ab dan tepat menembusi dadanya. Dia tewas, tetapi belum sempat rebah ke bumi, seorang tentera Islam berlari segera mendapatkan bendera itu dan terus menjulangnya.

Ketika urusan pengkebumiannya, para sahabat amat terharu. Dia hanya ada sehelai kain untuk menutup jenazahnya. Kain itu tidak mencukupi untuk membalut seluruh badanya.

Baginda Rasulullah s.a.w. merasa amat sedih, lalu bersabda,

Tutupkanlah kepalanya dengan kain itu. Dan tutupkan kakinya dengan daun.

- Dari Fahail a’amal.

27 Syawal 1431