P

August 23, 2009

PUASA UNTUK BERTAQWA

Firman Allah s.wt.
‘Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana puasa itu diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. Puasa itu hanya beberapa hari yang ditentukan sahaja.
Suratul Baqarah 183

Ayat ini menjadi dalil wajibnya orang Islam berpuasa di bulan Ramadhan sepemuhnya. Sesiapa yang mengengkari wajibnya maka maka ia menjadi kafir dan dikira terkeluar dari agama Islam.

Dalam ayat tersebut Allah menyatakan; puasa itu seperti telah difardhukan ke atas orang-orang sebelum kamu. Ini adalah satu bentuk kemudahan dan keringanan dalam agama Islam. Allah menunjukkan perbandingan bahawa puasa ini bukanlah sesuatu yang berat untuk ditunaikan. Dan bukan pula sesuatu perintah yang baru, ganjil atau amat payah dilaksanakan.

Allah memberikan bandingan bahawa umat terdahulu juga telah pernah diperintahkan melakukan ibadah puasa. Malah jika disingkap sejarahnya, umat terdahulu lebih banyak puasanya. Nabi Daud a.s. misalnya puasa selang sehari sepanjang tahun. Sedangkan puasa untuk nabi Muhammad hanyalah sekadar sebulan sahaja. Inilah satu bentuk keringanan atau cara memujuk hati umat Islam untuk tidak merasa sesuatu yang berat melaksananannya.

Orang-orang yang beriman. dengan mudah merasa gembira terhadap ayat perintah ini bila mengetahui bahawa umat terdahulu juga telah pernah melakukan puasa seperti yang diperintahkan Allah s.w.t.


Dalam ayat tersebut juga Allah menyatakan objektif umat Islam berpuasa. Objektif tersebut tidak lain dari meningkatkan taqwa seseorang.

Siapakah mereka yang bertaqwa?

Allah berfirman,

‘Mereka yang beriman dengan perkara ghaib, (kuasa Allah), mendirikan solat, dan menginfakkan rezeki Allah kepada Sabilillah (Zakat). Dan mereka yeng beriman kepada apa yang diturunkan kepada mu (wahyu al Quran) dan yang sebelum dari kamu (wahyu kepada nabi-nabi terdahulu, dan mereka yakin akan ketibaan hari akhirat).

Suratul Baqarah ayat 3.

Dalam ayat tersebut dijelaskan bahawa orang bertaqwa adalah orang yang beriman kepada Allah, kepada Nabi dan Rasul, kepada kitab-kitab, dan juga beriman kepada hari akhirat.

Banyak ruang untuk seseorang mencapai taraf taqwa di dalam bulan Ramadhan.

Muaz bin Jabal r.d. pernah ditanya oleh Rasulullah s.a.w.

‘Mahukan kamu aku tunjukkan pintu-pintu kebajikan hai Muaz.

Jawab Muaz, ‘Mahu ya Rasulullah.’

Maka sabda Rasulullah s.a.w.,
‘Puasa itu adalah perisai. Sedekah itu pula menghapuskan dosa-dosa, sebagaimana air memadamkan api.’
Hadith riwaya At Tarmizi.

Mafhum dari hadith tersebut, bahawa puasa itu berupaya menjadi perisa kepada diri seseorang dari melakukan perkara mungkar. Yakni dengan berpuasa seseorang mampu menegah dirinya dari melakukan apa yang ditegah Allah s.w.t. Sekali gus dia berjaya menegakkan taqwa dalam dirinya.