P

August 29, 2009

RAMADHAN PENUH KEMULIAAN



KEUTAMAAN BULAN RAMADHAN


Dari Salman r.a. katanya Rasulullah s.a.w. telah berucap kepada kami pada hari akhir bulan Syaaban, sabdanya,

“Wahai umat manusia, kamu sedang dinaungi bulan Ramadhan yang penuh kemuliaan lagi keberkatan. Bulan yang mengandungi satu malam lebih baik dari seribu malam (Lailatul Qadar). Bulan yang Allah jadikan puasa sebagai suatu fardhu dan disunatkan sembahyang tarawih pada malamnya.

“Barang siapa yang mendampingkan diri kepada Allah pada bulan Ramadhan dengan suatu kebajikan, samalah seperti dia mengerjakan satu perintah yang diwajibkan pada bulan-bulan yang lain. Dan barangsiapa yang menunaikan satu perkara yang diwajibkan pada bulan ini, samalah seperti dia menunaikan tujuh puluh perkara yang diwajibkan pada bulan lain.

“Ramadhan juga adalah bulan sabar, sedang kesabaran itu balasannya adalah syurga. Ia juga bulan untuk bersedekah. Bulan yang ditambahkan rezeki orang-orang mukmin.

“Barangsiapa yang menjamu orang berpuasa untuk berbuka puasa, maka diampunkan dosanya. Dan amalan itu menjadi penebus dirinya dari api neraka. Dan dia dapat pahala seperti pahala orang yang berpuasa yang dijamu itu dengan tidak mengurangkan pahala orang itu sedikt pun.

Para sahabat berkata,

“Ya Rasulullah, kami semua bukanlah orang yang ada sesuatu untuk menjamu orang berpuasa.”

Lalu Rasulullah bersabda,

“Allah memberikan pahala tersebut kepada sesiapa yang menjamu orang berpuasa untuk berbuka sama ada dengan sebiji tamar, atau segelas air sejuk atau dengan sedikit susu bercampur air.”

Sabdanya lagi, “Bulan Ramadhan adalah bulan yang di awalnya dilimpahi rahmat, di pertengahannya keampunan dan di akhirnya dipenuhi dengan pahala penebus diri dari api neraka.”

“Barangsiapa meringankan beban orang gajinya (pekerjanya) dalam bulan Ramadhan, akan diampunkan Allah dosanya dan dibebaskan dari api neraka. Banyakkanlah olehmu mengerjakan empat perkara.

“Dua perkara dilakukan untuk mendapat keredhaan Allah dan dua perkara lagi sangat-sangat kamu harapkan.

“Dua perkara untuk mendapat keredhaan Allah, ialah dengan mengucap syahadat (lailaha illal lah) dan mohon keampunanNya. Dua perkara yang sangat kamu perlukan, ialah memohon dimasukkan ke dalam syurga dan berlindung kepadaNya dari azab api neraka.

“Barangsiapa yang memberi minum seseorang yang berpuasa (ketika berbuka puasa), maka Allah akan memberi minum air dari kolamku (Telaga Al Kauthar). Dengan sekali minum sahaja dia tidak akan merasa haus lagi selama-lamanya hingga dia dimasukkan ke dalam syurga.

(Riwayat Ibn Khuzaimah dalam kitab sahihnya).

Dalam Hadith ini Rasulullah s.a.w. menjelaskan keistimewaan bulan Ramadhan berbanding bulan-bulan yang lain. Ia dianggap sebagai bulan yang agung, penuh keberkatan dan rahmat. Bulan yang diwajibkan berpuasa pada siang harinya dan mengerjakan amal-amal sunat pada sebelah malamnya.

Ganjaran pahala ibadat pula dilipatgandakan.

Rasulullah juga menerangkan bahawa bulan ini adalah bulan kesabaran, dengan erti kata orang-orang Islam dikehendaki lebih banyak bersabar dalam segala hal. Balasan bagi orang yang bersabar itu adalah syurga.

Bulan ini juga untuk umat Islam memperbanyak sedekah, derma dan bantuan kepada yang memerlukan. Selanjutnya Baginda menerangkan rezeki orang-orang mukmin juga semakin bertambah.

Menurut baginda, orang-orang yang bermurah hati memberi jamuan berbuka puasa kepada orang yang berpuasa, akan mendapat keampunan dari Allah terhadap dosa-dosanya.

Malah mereka yang memberi sebiji tamar, atau air sejuk atau susu kepada orang berpuasa untuk berbuka, juga mendapat pahala dari Allah.

Di permulaan bulan ini adalah rahmat, di pertangahannya keampunan dari Allah dan di akhirnya penebus dosa dari api neraka.

Baginda juga menyeru supaya umat Islam sentiasa memohon dimasukkan ke dalam syurga dan dijauhkan dari api neraka.


PENGAJARAN

# Puasa adalah rukun Islam yang diwajibkan kepada umat Islam seperti mana pernah diwajibkan ke atas umat terdahulu.

# Setiap umat Islam wajib menunaikan perintah tersebut dan juga menghidupkan malamnya seumpama sembahyang tarawih dan ibadat-ibadat sunat yang lain.

# Pahala ibadat di bulan Ramadhan dilipatgandakan oleh Allah s.w.t.

# Umat Islam hendaklah sentiasa sabar dalam segala hal terutama ketika melakukan ibadah puasa di bulan Ramadhan.

# Umat Islam digalakkan bersifat pemurah dengan banyak bersedekah dan menghulurkan bantuan di bulan Ramadhan.