P

August 26, 2009

PERISAI UNTUK YANG BERPUASA

Banyak ruang untuk seseorang mencapai taraf taqwa di dalam bulan Ramadhan.

Muaz bin Jabal r.d. pernah ditanya oleh Rasulullah s.a.w.

‘Mahukan kamu aku tunjukkan pintu-pintu kebajikan hai Muaz.

Jawab Muaz, ‘Mahu ya Rasulullah.’

Maka sabda Rasulullah s.a.w.,
‘Puasa itu adalah perisai. Sedekah itu pula menghapuskan dosa-dosa, sebagaimana air memadamkan api.’
Hadith riwaya At Tarmizi.

Mafhum dari hadith tersebut, bahawa puasa itu berupaya menjadi perisaI kepada diri seseorang dari melakukan perkara mungkar. Yakni dengan berpuasa seseorang mampu menegah dirinya dari melakukan apa yang ditegah Allah s.w.t. Sekali gus dia berjaya menegakkan taqwa dalam dirinya.

Dalam kehidupan harian, perisai itu terdiri dari berbagai jenis. Perisai daripada kayu atau daripada besi.
Untuk lebih terjamin keselamatan, tentu orang memilih perisai dari besi. Supaya dirinya selamat dari ancaman musuh.

Kerana itulah para ahli tasawuf menggariskan tiga jenis puasa.
Puasa biasa, iaitu puasa orang yang hanya menahan diri dari makan minum. Menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa.


Sedangkan anggotanya tidak dipuasakan. Mulutnya tetap becok mengeluarkan kata-kata firnah, dusta, mengumpat dan seumpamanya. Begitu juga anggota-anggota yang lain.

Satu lagi jenis puasa ialah menahan dari perkara yang membatalkan puasa dan juga menahan anggota-anggota lahir dari melakukan dosa. Akan tetapi hatinya tidak dipuasakannya. Perut dan anggota-anggota lain, berpuasa. Hatinya penuh hasad, buruk sangka, inginkan dunia dan nafsu dan seumpamanya.

Ada satu jenis puasa yang sangat disukai oleh para ahli tasawuf, iaitu puasa dari makan dan minum, puasa anggota dan juga puasa hati. Pendeknya, perut puasa menahan lapar dahaga. Anggota teruitama mulut juga puasa. Lebih-lebih lagi hati dipuasakan.

Hati dipuasakan supaya tidak ada keinginan kepada perkara mungkar dan dosa. Hati dipuasa supaya ia bersih dari pra sangaka dan niat tidak elok kepada orang lain. Hati dipuasakan supaya ia ikhlas kepada Allah, dan puasanya adalah kerana ingin mencapai keridhaan Allah.

Itulah dia puasa kelas pertama. Mudah-mudahan ia dapat mencapai tujuan bertaqwa firman Allah s.wt.


‘Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana puasa itu diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. Puasa itu hanya beberapa hari yang ditentukan sahaja.
Suratul Baqarah 183