P

July 3, 2009

RUKUN YANG KUKUH

Kalau kita menegakkan suatu bangunan, perlu ada tiangnya. Begitu juga kalau kita dirikan khemah atau pondok. Perlu ada tiangnya yang kukuh.

Abdullah bin Umar r.a. meriwayatkan bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda,

'Islam dibina (ditegakkan) atas lima rukun: Bahawa engkau bersaksi tiada Tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu Rasul Allah (mengucap dua kalimah syahadat), mendirikan solat, mengeluarkan zakat, puasa Ramadhan dan menunaikan haji.

(Hadith Muttafaq Alaih).

Rasulullah s.a.w. mengibaratkan Islam sebagai bangunan. Lima rukun itulah yang menjadi asas bangunan tersebut. Lemah atau rosak salah satu darinya maka akan runtuhlah bangunan tersebut.

Dalam hadith itu Rasulullah s.a.w. menyebut buniya (dibina). Bermakna Islam seseorang perlu dibina. Dibina dengan kukuh. menggunakan bahan yang terjamin. Kemudian mesti dilengkapkan dan dikukuhkan binaan itu.

Kalau seseorang itu membina rumah, tentulah ada pintunya, tingkapnya, dapurnya dan lain-lain keperluannya. Supaya rumah itu kukuh maka asas binaannya juga mestilah terjamin kukuh.

Seterusnya bagi menjaga jangka hayat rumah atau bangunan itu, mestilah dikawal selia dengan teratur dari perkara yang merosakkannya, seumpama serangan anai-anai, banjir atau perbuatan merosakkan harta benda (vendalism) oleh manusia.

Dengan kata lain, langkah-langkah keselamatan amat perlu bagi memelihara keutuhan binaan tersebut.

Demikian jugalah agama Islam. Perlu kepada usaha mengawal, mempertahan dan mengukuhkannya melalui amalam apa yang diperintahkan oleh Allah dan Rasulnya menerusi Al Quran dan Assunnah. -

Haji Kamaluddin M. Zin - email: wadenko@yahoo.com