P

February 3, 2009

SENDA GURAU LUCAH

SENDA gurau dianggap setengah orang sebagai cara untuk bergembira. Adakah senda gurau diharuskan?

Salah satu bencana yang dilakukan oleh lidah ialah gurauan. Termasuk dalam istilah gurauan ini ialah kelakar, lawak jenaka dan olok-olok.

Sheikh Abdus Samad Falembani dalam kitab Hidayatus Salikin menyebut gurauan itu sebagai ALMIZAH. Beliau membawa hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, 'Jangan engkau bantah saudaramu dan jangan engkau guraukan dia.' (Hidayatus Salikin 170)
Menurut Imam Al Ghazali bergurau itu ditegah oleh syara' kerana ia membawa kepada banyak tertawa. Banyak tertawa mematikan hati dan boleh menanggalkan hati.
Paling dahsyat lagi menurut beliau, guauan boleh membawa kepada derhaka. Ini berdasarkan hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud,
'Seseorang lelaki yang berkata dengan suatu perkataan supaya rakan-rakannya tertawa, maka dia dijatuhkan ke dalam neraka selama tujuh puluh tahun.

Imam Al Ghazali menasihati supaya manusia menjaga lidahnya daripada berkata-kata yang menimbulkan gelak ketawa.
Kata-kata gurau dan senda boleh menghilangkan rasa malu seseorang. Ini kerana dalam mencari bahan ketawa, manusia sanggup membuat cerita bohong dan tidak munasabah. Untuk mereka-reka bahan lucu, mereka cipta cerita ganjil dan tidak masuk akal yang kebanyakannya adalah cerita palsu belaka.
Inilah puncanya orang-orang yang membuat kelakar boleh hilang malu dari dirinya. Pada hakikatnya malu adalah senjata orang yang beriman. Malu adalah alamat atau tanda orang yang beriman. Hilang malu, hilanglah iman.
Yang paling mengaibkan pula, sebahagaian manusia suka membawa cerita lucah dalam perkataan mereka semata-mata untuk menimbulkan gelak ketawa orang lain.
Rasulullah bersabda,
Malu adalah cabang dari Iman.'
Dalam sabda yang lain, 'Malu dan iman adalah seganding. Apabila terongkai salah satu, maka terongkailah keduanya.'
Dapat difaham dari hadith ini, bahawa jika hilang malu dari diri seseorang maka hilang jugalah imannya.