P

February 2, 2009

BERADAB DI MASJID

MASJID adalah tempat untuk sujud. Apabila dikatakan tempat untuk sujud, mafhumnya tempat itu adalah mulia dan suci. Dengan itu setiap pengunjungnya berkewajipan menjaga status mulia dan sucinya masjid.
Tangggung jawab ini sudah pasti hanya dapat dipenuhi oleh orang-orang yang mantap akidah dan imannya seperti yang digambarkan oleh Allah s.w.t. dalam firmanNya,
'Hanya sesunggguhnya orang yang layak memakmurkan masjid Allah itu ialah mereka yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah. Dengan sifat itu mudah-mudahan mereka menjadi golongan yang mendapat hidayat (At Taubah 12)
Maka bagi orang-orang yang benar-benar beriman kepada Allah, Hari akhirat dan suka sujud di dalam masjid, tentu tidak tergamak untuk mencemarkan masjid dengan sesuatu perkataan atau perbuatan yang di larang Allah.
Mereka tentu dapat menolak godaan dan hasutan syaitan untuk menjadikan masjid sebagai tempat menimbulkan kekecohan atau apa saja perkara yang boleh memecah belahkan masyarakat. Kerja syaitan memang melaga-lagakan manusia hingga timbul kebencian di kalangan mereka.
Firman Allah,
'Sesungguhnya syaitan itu suka menghasut kamu supaya berlaku kebencian dan permusuhan di kalangan kamu. (Al Maidah 91)
Oleh kerana itulah apabila seseorang masuk ke masjid, maka ia perlu menjaga adab. Adab zahir dan adab batin.
Allah menegaskan adab-adab tersebut dalam firmanNya,
'Wahai anak Adam, ambil perhiasanmu tiap kalli kamu memasukI masjid. (Al A;araf 31)
Perhiasan zahir ketika di masjid sudah pasti dengan pakaian bersih, halal, menutup aurat, Perhiasan batin ialah taat, taubat, syukur, khauf, sabar, ikhlas tawakkal dan redha.
Tidak layak seseorang muslim datang ke masjid dengan pakaian indah, sedangkan mulut dan perbuatannya kotor dengan umpat, fitnah dan menimbulkan perselisihan serta kebencian kalangan jamaah.
Dalam satu riwayat dinyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. menegah para penyair menyampaikan syair di masjid dan juga melarang berjual beli di dalam masjid. (Riwayat Termizi).
Duduk beriktikaf selepas sembahyang-sembahyang sunat adalah lebih baik dari mengelurkan kata-kata yang tidak berfaedah. Ini menepati dengan apa yang dibaca ketika masuk masjid,
'Ya Tuhan kami, aku memohon darimu limpah kurniamu.
Ketika melangkah keluar masjid pula berdoa,
'Ya Tuhan kami, aku memohon keampunan dari sisimu.
Dengan doa yang demikian sudah pasti apa yang kita cari dan lakukan di masjid adalah keridhaan Allah semata-mata.