P

February 4, 2009

HASAD DENGKI MEMBINASAKAN DIRI

Hasad dengki adalah salah satu maksiat batin yang membinasakan diri seseorang.
Kata Imam Al Ghazali, ia adalah sebesar-besar kejahatan manusia yang dicela oleh syara'. Katanya lagi,
'Ketahuilah bahawa hasad itu haram. Makna Hasad itu ialah, 'Engkau suka hilang nikmat daripada orang yang engkau dengki itu, atau turun bala kepada orang itu (Hidayatus Salikin 206).
Sifat hasad itu mendatangkan kemurkaan Allah s.w.t. Ia boleh membinasakan seseorang dan amalannya. Sabda Nabi s.w.t.
'Takutlah kamu semua akan sifat dengki, sebab sesungguhnya dengki itu memakan segala kebaikan sebagaimana api memakan kayu bakar. (Hadith riwayat Abu Daud dari Abu Hurairah - Riadhus Salihin jil 4).
Menurut Al Ghazali lagi dengki itu ada tiga macam.
Pertama, menginginkan agar kenikmatan orang lain itu hilang dan ia dapat menggantikannya.
Kedua, menginginkan agar kenikmatan orang lain itu hilang sekalipun ia tidak dapat menggantikannya, sama ada kerana merasa mustahil dirinya dapat menggantikannya atau memang kurang senang memperolehinya, atau sebab-sebab lain. Asal orang itu jatuh, dia gembira. Ini lebih jahat dari dengan jenis pertama.
Ketiga, tidak ingin kalau kenikmatan orang lain itu hilang, tetapi dia benci kalau orang itu akan mendapat kenikmatan lebih dari apa yang dimilikinya sendiri.
Dengki ketiga ini pun dilarang, sebab jelas tidak redha dengan apa-apa yang telah dikurniakan Allah.
Dengki hanya dimiliki oleh orang-orang yang berjiwa rendah dan sifat ini mendorongnya berangan-angan kosong untuk mendapatkan kenikmatan yang dimiliki orang lain. Di dalam diri setiap orang memang ada keinginann kepada persaingan, untuk melebihi atau mendapat yang sama. Sifat ingin bersaing secara sihat adalah halal. Ia dikenal sebagai ghibtah.
Seseorang yang menyedari dirinya serba kurang, apabila melihat orang lain maju dan mendapat lebih nikmat, maka ia berusaha bersungguh-sungguh seperti yang dilakukan oleh orang lain itu. Ini bukanlah dengki namanya.

Ibn Mas'ud r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda,
'Tidak digalakkan adanya perasaan irihati (hasad) melainkan pada dua keadaan.
Pertama, keadaan orang yang dikurniakan Allah harta benda dan membelanjakannya pada kepada perkara kebajikan.
Kedua, keadaan orang yang dikurniakan ilmu pengetahuan agama lalu ia beramal dengannya dan mengajarkannya. (Riwayat Bukhari dan Termizi)
Dalam hadith ini Rasulullah menerangkan bahawa dua nikmat pemberian tersebut amat besar kelebihannya sehingga mustahaklah tiap-tiap orang beriri hati dan berusaha dengan bersungguh-sungguh, semuga Allah mengurniakan nikmat itu.
Dengan itu dapatlah ia menggunakannya menurut cara sebaik-baiknya seperti yang dilakukan oleh dua orang yang tersebut itu.
Kesimpulannya, hasad yang membawa kerosakan dan bala tidaklah dihalalkan. Yang dituntut oleh agama ialah rasa iri hati untuk turut berusaha bersungguh-sungguh mendapat nikma Allah dan menggunakannya kepada perkara yang diredhaiNya.