P

June 24, 2011

GAYA HIDUP BERMASYARAKAT

PENDIDIKAN SOSIAL

Dalam pendidikan sosial, anak-anak hendaklah sentiasa diasuh memilih rakan, sahabat yang baik. Rasulullah s.a.w. mengingatkan supaya berhati-hati mencari kawan.
Sabdanya, ‘Seseorang itu dipandang (diukur) dengan orang yang didampinginya. Maka hendaklah kamu berhati-hati dengan siapa dia berkawan.
Riwayat Tarmizi.
Baginda bersabda lagi,
‘Bandingan teman yang salih dan teman yang jahat itu adalah seumpama orang yang menjual minyak wangi dan seorang tukang besi. Berkawan dengan penjual minyak wangi, sama ada dia memberi minyak wangi, atau engkau membelinya, maka engkau dapat baunya yang enak. Seorang tukang besi mungkin menyebabkan bajumu terbakar atau pun engkau mendapat baunya yang hapak.
Riwayat Bukhari dan Muslim

Sabda Rasulullah s.a.w. ‘Hak Muslim ke atas muslim lainnya ada lima:

1. membalas salam
2. menziarahi ketika sakit
3. mengiringi jenazahnya
4. memenuhi undangannya
5. mengucapkan rahmat kepada yang bersin. (R. Bukhari).

Abdullah bin Amru menyatakan bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w. ‘Islam bagaimanakah yang paling baik?
Baginda menjawab, ‘Hendaklah engkau memberi makan, memberi salam kepada orang yang engkau kenal dan yang tidak engkau kenal.
Riwayat Bukhari.
MENGUCAPKAN YARHAMKALLAH

Sabda Nabi s.a..w.
‘Apabila seseorang bersin hendaklah dia mengucapkan Alhamdulillah. Orang yang mendengarnya hendaklah mengucapkan ‘yarhamkallah. Orang yang bersih itu hendaklah membalas, ‘Yahdikum wa yuslih balakum’.

Pendidikan sosial juga merangkumi kehidupan berkasih sayang satu sama lain.

MENZIARAHI ORANG SAKIT

Anak-anak sangat wajar dibawa menziarahi orang sakit, sama ada ahli keluarga, sahabat handai, jiran maupun kenalan jauh.

Allah memberi ganjaran tinggi kepada orang yang menziarahi pesakit.
Sabda Rasulullalh s.a.w.,
‘Barangsiapa menziarahi orang sakit atau menziarahi sahabat kerana Allah s.w.t., akan berteriak suatu suara, ‘Muga-muga engkau menjadi baik dan baik pula langkahmu, dan engkau telah memperolehi sebuah rumah di syurga.’
Riwayat Ibn Majah dan Tarmizi.
BERKASIH SAYANG

Hadith riwayat Muslim menyatakan sabda Baginda s.a.w.
‘Kalian tidak masuk syurga kecuali beriman, kalian tidak beriman kecuali hidup berkasih sayang. Mahukah kalian aku tunjukkan sesuatu apa bila kamu lakukan pasti kamu berkasih sayang? Sebarkanlah salam sesama kalian. ‘

MEMBANTU DI KALA SUSAH

Tanamkanlah dalam jiwa anak-anak sifat suka membantu orang lain, khususnya saudara yang dalam kesusahan.
Ibn Umar membawakan hadith Rasulullah s.a.w.
‘Seorang Muslim adalah saudara kepada muslim yang lain. Tidak boleh menganiayainya, tidak boleh dibiarkan tanpa diberi bantuan dan pertolongan. Barangsiapa mengambil berat terhadap keperluan saudaranya, maka Allah akan mengambil berat terhadap keperluannya pula. Barangsiapa yang melepaskan seorang muslim dari suatu kesusahan, pasti Allah akan melepaskan daripadanya kesusahan-kesusahan hari akhirat. Barangsiapa yang menutup keaiban seseorang muslim, pasti Allah menutup keaibannya di hari kiamat.
Riwayat Bukhari dan Muslim

MEMBERI HADIAH

Memberi hadiah adalah amalan yang sangat digalakkan. At Tabarani dalam kitabnya Al Ausat menyebut hadith Rasulullah s.a.w.,
‘Bertukar-tukar hadiahlah, pasti timbul rasa kasih sayang di kalangan kamu.’

At Tabarani dalam kitabnya juga mengutip kata-kata Aishah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda,
‘Wahai para mukminat, saling bertukar hadiahlah, walaupun hanya kaki kambing, kerana yang demikian itu menimbulkan rasa kasih sayang dan menghapuskan sifat dengki mendengki.

Ad Dailamy juga membawakan hadith dari Anas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda,
‘Hendaklah kamu memberi hadiah, kerana yang demikian itu membangkitkan rasa kasih sayang dan menghapuskan hasad dengki.’

Selanjutnya dalam hadith yang lain, Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda,
‘Berjabat salamlah, kerana ia menghapus rasa dengki. Bertukar hadiahlah, kamu akan berkasih sayang. Dan terhapuslah rasa permusuhan. (Imam Malik dalam al Muwatta’).
Alangkah baiknya jika anak-anak juga diberi hadiah sebagai ganjaran dan galakan, setiap kali dia berjaya atau melepasi suatu halangan atau kesulitan.


MENCIUM TANGAN
Anak-anak hendaklah dibiasakan dengan adab bermasyarakat termasuk kebiasaan mencium tangan orang tua dan orang-orang yang dihormati. Adab seperti ini meninggalkan kesan mendalam. Dengan itu dia sentiasa bersifat merendah diri, menghormati orang yang lebih tua dan orang yang berkedudukan.
Ada beberapa pentunjuk sebagai asas amalan ini.

Imam Bukhari dan Imam Ahmad dalam kitab al Adab As Saghir telah menyebutkan hal ini. Abu Daud dan Ibnul Arabi pernah menyertai rombongan Abdul Qaith. Katanya, ‘Apabila kami tiba saja di Madinah, kami pun berlumba turun dari kenderaan lalu mendapatkan Nabi s.a.w. serta mencium tangan dan kaki baginda.
Imam Bukhari dalam kitab Adab Al Mufrad meriwayatkan dari Wazik bin Amir, katanya ‘Setelah kita tiba, kita pun ditunjuk kepada Rasulullah s.a.w.. Maka kita pun menangkap tangannya dan kakinya serta menciumnya.
Al Bukhari juga meriwayatkan dalam Al Mufrad daripada Suhaib, katanya, Saya lihat Ali mencium tangan Al Abbas dan kedua belah kakinya.

Al Hafiz Abu Bakar Al Muqirri telah mengeluarkan dari Abu Malik Al Ashja’i, katanya, ‘Saya telah berkata kepada Ibn Abi Aufa: Berikanlah tanganmu yang telah membaiat Nabi s.a.w. Maka diberikannya tangannya. Lalu saya pun menciumnya.


Dari apa yang dinyatakan dalam Al Quran dan As Sunnah dapat dibuat beberapa kesimpulan.

KESIMPULAN
Intisari dari pendidikan sosial ini ialah:
1. mendidik manusia bertaqwa
2. menanam nilai ukhuwah
3. melaksanakan gaya hidup berkasih sayang
4. memelihara nilai hidup jamaah.





TEROKAI ilmu di: Blog: http://albaiyinah.blogspot.com fb: kamaluddin mad zin email:wadenko@yahoo.com - darulghufran.blogspot.com