P

June 21, 2011

BANYAK CAKAP MENGHALANG TAQWA

BANYAK CAKAP
Sifat suka banyak cakap adalah dicela syara’. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t.
‘Tidak ada kebajikan kepada perbuatan membanyakkan perkataan, melainkan orang yang menyuruh berbuat sedekah (perkara baik) atau makruf atau mendamaikan manusia yang bersengketa.
Surah An Nisak 114
Mafhum dari ayat ini jelas bahawa banyak cakap adalah sia-sia dan tidak mendapat apa-apa kebajikan daripadanya.
Banyak cakap menjurus kepada tambahan pertuturan yang tidak membawa sebarang faedah.
Rasululah s.a.w. juga melarang umatnya mengeluarkan kata-kata yang sia-sia. Sabdanya,
‘Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia memuliakan tetamunya. Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia menghubungkan silaturrahim. Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah berkata yang baik, atau hendaklah mendiamkan diri.
(Riwayat Al Bukhari).
Bahaya banyak cakap:
Sabda Rasulullah s.a.w.
‘Barang siapa yang banyak cakap, maka banyak salahnya. Barang siapa banyak salahnya, maka banyak dosanya, barangsiapa yang banyak dosanya, neraka adalah tempat layak baginya.’ (Hidayah as Salikin).

Biasanya orang yang banyak cakap tidak buat kerja. Renungkanlah firman Allah s.w.t.,

‘Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu memperkatakan apa-apa yang kamu tidak lakukan. Amat besar kemurkaan Allah kerana kamu memperkatakan sesuatu yang tidak kam lakukan.’ Surah Assaf 2-3

Kelakuan umat Nabi Musa yang banyak tanya dan banyak cakap di rakam di dalam Al
Quran.
Firman Allah s.w.t.


67. Ingatlah ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyembelih seekor lembu betina". Mereka berkata: "Adakah engkau hendak menjadikan kami ini permainan?" Nabi Musa menjawab: "Aku berlindung kepada Allah daripada menjadi dari golongan yang jahil.

68. Mereka berkata pula: "Berdoalah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada kami bagaimana -sifat lembu itu?" Nabi Musa menjawab: "Bahawasanya Allah berfirman: Bahawa lembu betina itu ialah yang tidak terlalu tua dan tidak terlalu muda, pertengahan (umurnya) di antara itu; maka lakukanlah apa yang diperintahkan kepada kamu melakukannya".
69. Mereka berkata lagi: "Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada kami apa warnanya?" Nabi Musa menjawab: "Bahawasanya Allah berfirman: Lembu betina itu ialah seekor lembu kuning, kuning tua warnanya, lagi menyukakan orang-orang yang melihatnya".
70. Mereka berkata lagi: "Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada kami lembu betina yang mana satu? kerana sesungguhnya lembu Yang dikehendaki itu kesamaran kepada kami, dan kami Insya Allah akan mendapat petunjuk (untuk mencari dan menyembelih lembu itu)".
71. Nabi Musa menjawab: "Bahawasanya Allah berfirman: sebenarnya lembu yang dikehendaki itu ialah lembu betina yang tidak pernah digunakan untuk membajak tanah dan tidak pula (digunakan mengangkut air) untuk menyiram tanaman; ia juga tidak cacat dan tidak ada belang pada warnanya". mereka berkata: "Sekarang baharulah engkau dapat menerangkan sifat-sifatnya yang sebenar". Maka mereka pun menyembelih lembu tersebut, dan hampir-hampir mereka tidak dapat menunaikan (perintah Allah) itu.
Surah Al Baqarah 66-71

Demikianlah balasan orang yang banyak cakap tetapi tidak melakukan apa-apa seperti yang diucapkannya itu.
Dalam pada itu renungkanlah pula saranan Allah mengenai hal berkata-kata.

FirmanNya,
‘Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang berdakwah ke jalan Allah dan beramal salih lalu berkata, ‘ sesungguhnya aku daripada kalangan orang Islam.
Surah Fussilat ayat 33.

Dalam hal tutur kata ini juga, ada firman yang dapat dijadikan panduan oleh sekelian muslimin dan mukminin.

Contohnya ialah firman Allah s.w.t.

‘Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah, dan ucapkanlah perkataan yang baik-baik dan tepat.
Surah Al Ahzab 70.
Apabila kita mengucapkan kata-kata yang tepat, padat dan jelas maka ia mudah difahami. Oleh kerana itu tidaklah perlu ucapan yang panjang. Kerana itu usaha banyak cakap tidak lagi diperlukan.

Akhirnya hayatilah firman Allah s.w.t.
‘Katakan kepada semua manusia dengan perkataan yang baik.’
Surah Al Baqarah 83.

Kesimpulan:
Banyak cakap dan sia-sia menghalang taqwa.
Kalimah taiyibah membawa taqwa kepada Allah.

Disampaikan dalam kulliah maghrib Masjid Ar Ridha Jenderam Hulu 20/06/2011.

Rujukan: Al Quran, Al Hadith, Riadus Salihin, Hidayatus Salikin
http://albaiyinah.blogspot.com facebook: kamaluddin mad zin email: wadenko@yahoo.com