P

June 13, 2011

TAQWA ASAS PENDIDIKAN SOSIAL

Asas pedidikan sosial ialah taqwa. Menanamkan taqwa dalam setiap diri manusia. Kerana orang bertaqwa sahaja yang mulia disisi Allah s.w.t. (Surah Al Hujurat).

Umar Al Khattab r.a. bertanya kepada Ubai bin Kaab apa makna taqwa. Kata Ubai,

‘Pernahkah engkau berjalan dalam kawasan penuh duri?

Kata Umar, ‘Aku berusaha dengan teliti dan bersungguh keluar daripadanya’

Jawab Ubai, ‘Itulah taqwa. (Nasih 425)

Pengertian taqwa mesti disebarkan secara meluas melalui pendidikan sosial. Matlamatnya ialah kesejahteraan dunia dan kebahagiaan akhirat. Jenteranya adalah mencari keridhaan Allah di dunia.

Dalam pandangan hidup muslim setiap orang bersaudara antara satu sama lain. (ayat 10 Al Hujurat).

Oleh kerana kita bersaudara sekeliannya, maka wajiblah ditunaikan segala hak dan kewajipannya.

MENJAGA KEHORMATAN

Ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w.

‘Seorang muslim itu saudara muslim yang lainnya. Tidak boleh menganiayainya, atau menyerahkannya kepada musuh, atau mengabaikannya, atau menghinanya. Memada seorang itu dikira membuat kejahatan bila dia menghina saudara muslim. Seorang muslim haram darahnya keatas muslim lainnya, haram hartanya dari diceroboh, Taqwa itu di sini, baginda Rasulullah s,a,w, lalu menuding jarinya ke dadanya.(R. Muslim) Nasih Ulwan 429

KEHORMATAN seorang muslim adalah dilindungi. Tidak boleh dianiayai, tidak boleh diserahkan kepada musuh atau orang zalim. Tidak boleh diabaikan tanpa diberi bantuan, subsidi dan peluang. Tidak boleh menghinanya atau mendedahkannya kepada apa-apa yang menjatuhkan maruahnya. Tidak boleh dibunuh dengan mengenepikan keadilan ke atasnya.

PERKONGSIAN KASIH SAYANG

Sabda Baginda s.a.w.

‘Tidak beriman seseorang kamu hinggalah dia mencintai saudaranya (Bukhari)

Baginda menjelaskan lagi,

‘Bandingan orang beriman dalam hal kasih sayang dan timbang rasa sesama mereka adalah seperti sekujur tubuh. Bila salah satu anggota mengadu sakit, maka seluruhnya berjaga malam dan merasa demam. (Muslim dan Ahmad ).

Hadith ini mengajar kita supaya hidup bertimbang rasa, bersimpati dan mengambil berat hal orang lain yang perlukan bantuan.

KESEJAHTERAAN AWAM

Sabda Rasulullah s.a.w.

‘Tiap anggota itu ada pahala sedekahnya setiap kali matahari terbit. Berlaku adil terhadap dua orang bersengketa ada sedekah. Menolong orang memunggah barangnya keatas kenderaannya ada sedekah. Ucapan kata-kata yang baik juga ada sedekah. Tiap langkah untuk solat itu ada sedekah, malah membuang halangan di jalanan itu pun sedekah.

(Bukhari dan Muslim).

Hadith ini mengajar kita banyak perkara:

1. Allah kurniakan anggota tubuh badan untuk berbagai manfaat.

2. Ringan tulang menolong orang lain adalah pahala

3. Ucapan yang baik, tunjuk ajar dan nasihat adalah pahala. menuduh orang tanpa bukti adalah berdosa.

4. Segala daya usaha untuk menunaikan solat dan perintah Allah yang lain adalah pahala

5. Menjaga alam sekitar dan maslahat awam adalah pahala.

Mengawal alam sekitar dari membahayakan nyawa dan hartabenda ada pahala.

MENGHORMATI TETAMU

Sabda Rasululah s.a.w.
‘Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari kahirat hendaklah dia memuliakan tetamunya. Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia menghubungkan silaturrahim. Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah berkata yang baik, atau hendaklah mendiamkan diri (Al Bukhari).

Hadith ini menyatakan kewajipan sosial orang Islam:

- Menghormati dan memuliakan tetamu

- Menjaga dan mengeratkan silaturahim

- Menjaga tutur kata (komunikasi) yang baik.

KOMUNIKASI YANG BAIK

Sabda Rasulullah s.a.w. ‘Sesiapa yang memiliki tiga perkara Allah akan menghisabnya dengan hisab yang mudah di akhirat dan dimasukkannya ke dalam Syurga. Sahabat bertanya, ‘Apakah dia ya Rasulullah?

‘Rasulullah menjawab, ‘Iaitu engkau memberi kepada orang yang menahan hakmu, engkau hubungkan silaturrahim dengan orang yang memutuskannya, engkau memaafkan orang yang menganiayaimu. Apabila engkau dapat melakukannya pasti Allah memasukkan engkau ke dalam syurga. (Al Bazzar, Al Hakim dan At Tabarani)

TEROKAI ilmu di: Blog: http://albaiyinah.blogspot.com fb: kamaluddin mad zin email:wadenko@yahoo.com - darulghufran.blogspot.com 12/06/11