P

September 15, 2010

MUHASABAH AIDILFITRI


KEHAIBATAN PUASA Ramadhan ditandai dengan kemenangan kita menguasai nafsu. Ini tergambar di Hariraya Aidilfitri yang hening syahdu..

Pagi itu mulakanlah muhasabah diri berasaskan firman Allah s.w.t. Suratul Baqarah ayat 183

' Wahai orang-orang yang beriman! kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan kepada orang-orang sebelum daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. (Al Baqarah 183).

Saidina Umar Al Khattab pernah bertanya kepada Ubay bin Kaab r.a. mengenai hal taqwa ini.

Jawab Ubay bin Kaab,

‘Apakah kamu pernah berjalan di tempat yang penuh dengan onak dan duri?

Saidnia Umar Al Khattab lantas menjawab,

‘Pernah. Saya sangat berwaspada dan bersungguh-sungguh menyelamatkan diri dari duri-duri tersebut.’

Ubay bin Kaab pula membalas, ‘Demikianlah ibaratnya taqwa.’

(Tafsir Ibn Kathier)

Dari penjelasan Ubay bin Kaab itu, mafhumlah kita bahawa taqwa itu adalah sifat berhati-hati, berwaspada dan bersungguh-sungguh mengelak diri dari perbuatan mungkar dan fahsya’. Teliti dan sentiasa mengamati dalam mengamalkan perkara yang halal, takut jatuh ke dalam perkara syubhah.

Pendek kata sifat taqwa itu menuntut kita meluruskan pegangan: yang halal dihalalkan dan yang haram diharamkan.

Berbalik kepada hal puasa, maka Allah sudah menyatakan bahawa tujuannya ialah untuk memantapkan TAQWA di dalam diri orang yang berpuasa itu.

Kesungguhan menghadapi pelbagai penderitaan menghabiskan puasa sebulan tidaklah berlalu dengan sia-sia apabila berhadapan dengan suasana meriah yang mencabar di pagi raya.

Antara muhasabah diri yang wajar dibuat di bulan Syawal ini ialah:

Di bulan puasa kita dapat mengawal nafsu, mengapa tibanya Syawal ini, nafsu tidak lagi terkawal. Ia jadi melimpah-limpah bagai empang pecah. Bayangkan jika nafsu itu bagai empang, dan ia pecah di hari raya kerana tingkah laku yang tidak terkawal.

HANGIT

Umpat, keji, adu domba, fitnah, dusta menjadi ramuan yang sangat 'menyelerakan'. Habis hangus hangit segala pahala puasa Ramadhan.

BAGAI ASAP KILANG

Sepanjang bulan Ramadhan boleh dan berupaya untuk berhenti merokok, mengapa di hari raya asap keluar dari mulut bagai asap kilang.

Malah di bulan Ramadhan, ujian yang sangat kuat adalah kepada para perokok. Siangnya mereka boleh menahan ketagih rokok lebih dua belas jam. Lepas berbuka tabiat ketagihan itu diulang semula, hinggakan sepanjang malam menjelang sahur beberapa bungkus lagi rokok hangus dihujung bibir. Maksudnya ibadat puasanya gagal menghentikan ketagih merokok.

Jika perangai ini diamalkan oleh semua perokok bermakna pengeluaran rokok meningkat berganda-ganda di bulan Ramadhan.

Kilang-kilang rokok mana yang mengaut untung?

MATI DEK MERCUN

Di bulan Ramadhan, ramai anak yang putus tangan dan jari akibat bermain mercun yang dibeli oleh ibu bapa. Malah ada yang mati akibat stor mercun milik ayah meletup.

Namun di hari raya yang dianggap hari kemenangan melawan nafsu itu, ada lagi ibu bapa yang MENGGALAKKAN anak bermain bunga api dan mercun.

Suasana takbir mengangungkan Allah itu tenggelam dek suara bising mercun.

Kesegaran udara Syawal itu bertukar dengan kotor dan hangitnya bau belerang dari mercun dan bunga api.

Inikah yang dikatakan kemenangan Aidilfitri?

Kata Saidina Umar, ‘Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab kelak.’